***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Masanya untuk mengerjakan ibadat haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum (dari 1 Syawal, Zulkaedah hingga sebelum terbit fajar pada hari ke-10 Zulhijah)." - Maksud Ayat 197 Surah Al-Baqarah
***
Pemergianku ke Tanah Suci pada tahun 1999 tanpa diiringi mahram. Pada mulanya aku curiga juga, maklumlah dengan status wanita bujang namun setelah mendapat khidmat nasihat daripada seorang ustaz Tabung Haji tentang hukum berkaitannya, aku diizinkan Allah untuk menjadi tetamu-Nya bersama-sama kenalan kakakku yang dipercayai.
Saat-saat pemergian agak mengharukan kerana seminggu sebelum tarikh keberangkatanku ayahku telah menyahut seruan Ilahi. Aku anggap ia sebagai ujian daripada Allah dan aku reda di atas takdir yang menimpa.
Hatiku begitu tersentuh apabila buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Tanah Haram dan melihat sendiri Baitullah yang selama ini hanya dibayangkan sahaja. Terasa betapa diri ini begitu kerdil sekali di sisi Allah. Tanpa disedari air mataku mengalir dan tidak boleh ditahan-tahan.
Sepanjang menjalani ibadat di Tanah Suci, aku tinggal bersama-sama jemaah-jemaah yang lebih tua daripada aku. Mereka terdiri daripada janda-janda dan ibu-ibu berusia emas dan hanya seorang sahaja yang ditemani suami.
Mungkin Tuhan hendak memudahkan golongan ini kerana kebanyakannya tidak tahu membaca dan selalunya akulah yang menjadi tempat rujuk mereka dan sesekali aku membantu mereka ke klinik atau membuat panggilan telefon ke tanah air.
Namun aku bahagia kerana mereka menganggap aku sebagai anak dan sesekali dapat juga aku bermanja meminta diurut kaki kerana kaki aku memang cepat terasa lenguh mengalahkan mereka yang jauh lebih berusia.
Kata orang di Tanah Suci mesti jaga kelakuan dan tutur bicara kerana balasan diterima serta-merta. Mungkin ada kebenarannya seperti mana yang telah berlaku kepada diriku.
Pada suatu hari aku telah membeli secawan air kopi panas dan hatiku berkata-kata sama ada air tersebut telah mendidih atau tidak kerana aku tidak melihat wap panas keluar, lantas semasa aku menyentuh cawan tersebut ditakdirkan airnya tertumpah ke tangan aku dan rasalah betapa panasnya air tersebut.
Aku tersenyum sendirian mengenangkan kejadian tersebut dan menganggapnya sebagai balasan Tuhan di atas buruk sangkaku itu.
Sememangnya sifat aku mudah ketawa dan pada suatu ketika di Madinah, teman sebilikku telah terkena cirit-birit dan dia telah membeli pil untuk menahan penyakit tersebut tetapi malangnya semakin bertambah sakit perut dan bertambah kerap pula ke tandas.
Disebabkan masalah bahasa kemungkinan penjual ubat itu tersalah memberi ubat untuk keluar angin bukannya pil untuk menahan cirit-birit.
Geli hati dengan kejadian tersebut aku pun tertawa sehingga keluar air mata walaupun bukanlah maksud aku untuk mentertawakan teman tesebut.
Pada keesokan harinya aku pula terkena penyakit tersebut sehingga rasa nak pengsan dek kehilangan banyak air.
Oleh kerana aku tidak ditemani mahram, ustaz Tabung Haji melarang aku melakukan umrah sunat walaupun ada antara mereka yang seperti aku membuatnya.
Aku kurang arif tentang hukum tersebut namun aku berpegang kepada ustaz yang memberi penerangan semasa kursus haji di tanah air.
Sebagai gantinya aku melakukan tawaf sunat. Ada kalanya aku tawaf ketika matahari betul-betul tegak di atas kepala, walaupun panas alhamdulillah aku tidak pitam dan selamat mengerjakannya.
Ada juga ketikanya aku tawaf di tingkat atas Masjidilharam dan mengambil pusingan yang jauh ketika mengelilingi Kaabah. Bukanlah tujuan aku nak berlagak menunjuk kuat tetapi ingin merasai pengalaman yang entah bila lagi akan aku rasai.
Semoga mendapat panduan daripada coretanku ini. Hendaknya biarlah kita melakukan ibadat dengan ilmu dan ikhlas kerana Allah SWT. - Nukilan SALWAH SULAIMAN daripada sebuah buku perjalanan haji yang sedang disiapkan penulis.
***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN
Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’
* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam
No comments:
Post a Comment