Sunday, December 5, 2021

Rabiulakhir 30, 1443: Kisah tawar, manis...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"...dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), untuk menjelaskan dan (juga memberi) petunjuk serta rahmat dan pengkhabaran gembira bagi orang-orang yang tunduk kepada-Nya." (Maksud Ayat 89 Surah an-Nahl)


RAMAI orang guna 'runner' untuk beli barangan keperluan dapur (harian). 'Order' apa saja, mereka akan hantar ke rumah. Beras, sayur-sayuran, ikan, sotong, udang, cili bawang dan buah-buahan, sang 'runner' sedia hantar ke rumah.


Saya perhatikan sekali pun sang 'runner' boleh meraih pendapatan lumayan, mereka menanggung risiko termasuk dimarahi hatta diminta ganti atau diskaun barangan daripada 'customer' yang kurang puas hati. Mereka komplain barang busuk le, tak elok le, dan macam-macam hal lagi.


Sekarang ini zaman ICT, mereka ambil gambar barangan berkenaan dan hantar kepada 'runner' atau  lebih teruk lagi mereka sebar-luaskan dalam alam maya sekali gus menjejaskan repustasi dan masa depan 'runner' atau syarikatnya.


Bercakap fasal membeli barang 'tak berapa baik' ini, teringat saya akan kisah ini. Seorang suami yang salih (baik) membeli sebiji buah tembikai yang segar bugar. Di rumah isterinya, menyambutnya dengan bagus tetapi selepas membelah tembikai itu, mukanya mencuka kerana marah disebabkan tembikai itu 'mangkau' (mangkar = tak baik). Nasib baik dia tidak mencampakkannya tetapi memasukkannya dalam 'fridge'.


Sebagai orang baik, sang suami berdiam diri. Pada malamnya, ketika berbaring-baring, dalam keadaan isteri sudah selesa, si suami bertanya isterinya...Ayang-ayang mana tembikai tadi, saya nak makan...Sambil mengunyah sang suami berkata lembut: "Tadi Ayang marah siapa? Saya ke?


"Kalau marah saya, saya memang nak beli tembikai terbaik, paling manis Tetapi dapat tembikai mangkau dan tawar ini apa nak kata? Sang penjual pun nak menjual tembikai terbaik, begitu juga penanamnya. Semua orang mahu yang terbaik...jadi sebenarnya Ayang marah kepada siapa? Adakah Ayang marah kepada SANG PENCIPTA tembikai yang menjadikannya tak elok (pada pandangan manusia)?


"Kalau Ayang marah-Nya, baik Ayang bertaubat segera...minta ampun kepada-Nya. Dia menjadikan semua yang terbaik bagi kita tetapi masalahnya kita TAK MENGERTI!


No comments: