Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. (Maksud Ayat 1-3 Surah Al-Asr)
KEMBARA solo saya telah membawa saya ke sejumlah negara Asean. Berdasarkan pandangan mata, saya dapati orang Malaysia paling ramai yang gempal, gemok dan boroi berbanding di negara lain seperti Indonesia dan Thailand.
Apa yang saya disaksikan itu adalah sama dengan Laporan 'Mengatasi Obesiti di Asean' yang merangkumi Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam oleh Unit Perisikan Ekonomi pada 2017, meletakkan Malaysia sebagai juara negara obes di Asia Tenggara.
Menurut laporan itu kadar obesiti di Malaysia adalah 13.3 peratus, manakala peratusan rakyatnya yang memiliki berat badan berlebihan adalah 38.5 peratus.
Salah satu penyumbang kepada masalah obesiti dan kesihatan ada makan berlebihan pada sebelah malam apatah lagi pada larut malam dan dinihari. Gaya hidup kurang sihat ini disuburkan dengan wujud dan tumbuhnya macam cendawan gerai dan restoran yang beroperasi sehingga subuh atau lebih teruk lagi dibuka 24 malam.
Hal ini bermakna rakyat Malaysia makan dan terus makan pada bila-bila masa; jadi istilah sarapan, makan tengah hari dan makan malam seolah-olah tidak terpakai lagi.
Situasi ini tidak berlaku di sesetengah negara atau wilayah dan kota yang penguasanya berusaha agar kesihatan penduduk diberi perhatian serius. Sehubungan itu, kita menyambut baik usaha kerajaan Kelantan untuk mengehadkan operasi premis menjual makanan sehingga jam 12 tengah malam.
Bercakap mengenai perkara ini, teringat saya kunjungan saya ke Manipal, India, tidak lama lagi. Manipal adalah sebuah 'bandar ilmu' terutama dalam bidang perubatan dan keadaan bandar ini yang agak unik dari kaca mata saya.
Manipal kira-kira enam dekad dulu, adalah sebuah kawasan berbukit tandus dengan hanya beberapa batang pokok. Tetapi di atas usaha seorang doktor berwawasan tinggi, Dr TM A Pai, bandar yang bermaksud 'kawasan berlumpur di tepi tasik' dalam bahasa Tulu bertukar menjadi pusat ilmu bukan saja menjadi kebanggaan India tetapi masyhur di peringkat antarabangsa.
Universiti Manipal yang sempat saya kunjungi mempunyai 19 kolej, daripada bidang perniagaan, kejuruteraan dan sains kesihatan. Manipal juga berbangga dengan wujudnya Muzium Anatomi dan Pathologi (MAP) yang terbesar di Asia. Muzium ini menempatkan ribuan spesimen asli manusia (bukan plastik) daripada rangka hinggalah alat kemaluan mereka!
'Keunikan' Manipal boleh 'dirasakan' sebaik saja seorang mendaftar masuk ke hotel penginapannya. Hanya sebutir kecil sabun perubatan disediakan dalam bilik (berbanding hotel di tempat lain yang menyediakan pelbagai kelengkapan seperti syampu); nampaknya penghuninya berusaha 'meminimumkan' penggunaan semua jenis barangan termasuklah plastik dan yang lebih penting lagi penjimatan elektrik.
Apa yang mengejutkan saya, mulai jam 9.00 malam (berdasarkan pengamatan saya), bandar Manipal sudah bergelap apabila hampir semua lampu jalan dipadamkan. Pendeknya, kegiatan dan urusan luar rumah dan bangunan sudah terhenti; fikir saya mungkinkah orang Manipal sudah bersiap sedia untuk masuk tidur!
Seorang pelajar mengesahkan dugaan saya itu. Katanya, menjelang tengah malam, hampir semua kegiatan dihentikan; restoran pun perlu menutup kedai pada jam 11.00 malam, demikian juga pelbagai kemudahan awam seperti perpustakaan.
Pendeknya, malam bagi orang Manipal adalah untuk tidur dan bagi 'pemburu ilmu', mereka bersengkang mata di rumah sendiri bukannya 'merayap' di kedai-kedai 'mamak' dan makanan segera 24 jam; suatu fenomena yang semakin menjadi-jadi di negara kita!
Sebagai penghuni 'bandar ilmu', orang Manipal faham bahawa malam dijadikan Tuhan untuk berehat selepas berhempas pulas bekerja atau menuntut ilmu pada siang harinya. Selain itu mereka dapat berjimat dari segi penggunaan elektrik dan tenaga manusia.
Apabila cukup tidur pada sebelah malam, bersemangatlah orang Manipal terutama puluhan ribu pelajarnya memburu ilmu pada siang harinya. Mungkinkah ini rahsia yang membuatkan Manipal semakin dikenali di kalangan cendekiawan dari seluruh pelosok dunia termasuk ribuan pelajar dari Malaysia yang menuntut di sana
No comments:
Post a Comment