Wednesday, December 22, 2021

Jamadilawal 16, 1443: Mengusahakan kebarakahan KL, Malaysia...(artikel lama untuk renungan)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


DENGAN perkembangan ICT termasuk media massa dan media sosial, percambahan pemikiran diharapkan membawa perubahan dalam masyarakat Malaysia - pemimpin dan rakyatnya perlu berjiwa besar, tidak lagi dikongkong di bawah tempurung rejim lama yang merasakan dia saja betul lantas tidak memberi sekelumit peluang pihak berlainan pandangan mengutarakan pandangan mereka.


Ya, pada keluaran kali ini, saya mengajak pembaca berfikir sejenak ke satu sisi yang mungkin tidak dipersetujui sesetengah khalayak. Hal ini difikirkan selepas ada yang bertanya adakah kemungkinan negara kita dan khasnya ibu kota yang kita sayangi KL menghadapi bencana alam besar-besaran seperti yang menimpa negara jiran, Indonesia.


Kita berdoa agar Yang Maha Kuasa menjauhi kita daripada bahana itu tetapi hal itu tidak cukup jika kita berterusan membiarkan anggota masyarakat kita berterusan melakukan perbuatan mungkar yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Apabila Yang Maha Kuasa murka, yang baik dan jahat turut menerima akibatnya.


Ada hadis dan huraian bijak pandai mengenai hal ini. Andaikan jika kita menaiki sebuah kapal, penumpang di dek bawah apabila berkehendakkan air menebuk kapal itu tetapi tiada yang melarang termasuk mereka di atas, akibatnya semua orang dalam kapal itu akan 'binasa'.


Demikianlah kita mengundang bala daripada Yang Maha Kuasa apabila  berani menganjurkan pesta larangan-Nya seperti parti arak. Melanggar perintah Allah SWT menyegerakan kehancuran walaupun pada hakikatnya semua 'benda baharu' (manusia, tamadun dan semua yang ada di alam ini) akan musnah jua akhirnya.


Tidak lama dulu ketika menghadiri satu majlis ilmu di masjid yang pengajarnya membicarakan kitab 'Hikam', terpegun saya apabila Tuan Guru bersyarah, menyatakan tiada sesuatu yang baharu boleh kekal, semuanya akan musnah. Perkara baru dimaksudkan di sini adalah alam ini (selain daripada Allah SWT). 


Tersentak saya apabila Tuan Guru berkata, orang berakal tidak melihat pada apa-apa yang bersifat kebendaan, semuanya tidak kekal, semuanya akan hancur, semuanya akan musnah. Hanya orang tidak berakal yang menyanjung kehebatan kebendaan, memikirkannya tidak akan musnah, mahukan ia kekal dan terus kekal. 


Orang berakal akan berfikir bukan saja apa-apa yang hebat itu seperti kota Kuala Lumpur, malah New York, London atau Istanbul, semuanya akan musnah. Kejahatan sesetengah rejim sudah memusnahkan kota Baghdad, Kabul dan Baitulmaqdis.


Sebagai 'makhluk baharu' diri kita sendiri akan musnah, jadi apa nak dihairankan sangat jika Kuala Lumpur musnah atau hancur lebur. Bukti sudah ada depan mata, tetapi kita buat-buat tak pandang dan tak ingat. Bukankah sikit masa dulu, Banda Aceh musnah, dihancurkan oleh tsunami yang melanda ganas, menyebabkan hampir 200,000 orang mati? Bangunan yang hebat-hebat di Aceh runtuh, mayat-mayat bergelimpangan. Sekarang ini gempa dan tsunami menghancurkan bandar lain di Indonesia seperti Palu di Sulawesi.


Jika Banda Aceh yang terletak di seberang Selat Melaka boleh musnah secara mengejut, Allah boleh melakukan apa saja termasuk terhadap Kuala Lumpur dan Malaysia. Kepada-Nya kita berserah diri, usah asyik mengejar kebendaan yang pasti musnah suatu hari nanti. Hari kiamat juga akan menyusul, memusnahkan segala-galanya. 


Dalam al-Quran pun ada kisah kaum-kaum hebat, yang membina bangunan dan tamadun tinggi tetapi musnah akhirnya. Kaum Tsamud begitu hebat, mengukir bangunan dalam batu akhirnya lebur juga. Demikian juga kerajaan Sabak di Yaman, begitu hebat projek pembangunannya termasuk membina empangan Ma'rib yang masyhur itu, akhirnya musnah. 


Firaun dan Haman yang mendakwa diri hebat itu akhirnya musnah juga. Demikian juga Qarun, Abu Jahal dan sebagainya. Dunia akan hancur, apa nak dihairankan, kata Tuan Guru. Semua barang berharga atau tidak berharga, akan hancur, akan rosak. 


Orang ada akal, kata Tuan Guru akan mengejar akhirat. Ini kerana semua yang ada di dunia akan rosak. Semua kehebatan dunia akan hancur. Bangunan akan hancur, Mercedes yang kita sayangi akan binasa, tiada apa yang akan tinggal. 


Orang yang sempurna akal, kata Tuan Guru tidak menganggap dirinya warga dunia. Dia rindu menjadi warga akhirat. Dia siapkan dirinya untuk menjadi warga akhirat. Orang paling rugi dan tak berakal adalah yang tidak menyiapkan bekalannya ke akhirat, asyik dan gila dengan kelazatan dunia yang akan musnah. 


Jika kita meneliti kehancuran kaum Tsamud dan kerajaan Sabak, kedua-duanya dimusnahkan disebabkan kedurhakaan penduduknya kepada Allah SWT. Kemajuan dan kehebatan mereka dalam urusan dunia seperti membina bangunan dan empangan menyebabkan penduduknya lupa akan kebesaran Allah SWT. 


Kuala Lumpur malah Malaysia mengundang kemusnahkan jika kehidupan penduduknya tiada kebarakahan. Maksiat menjadi-menjadi, penyelewengan sudah sebati manakala pemimpinnya bagaikan serigala, mencari saat mencengkam golongan miskin. Saat kehancuran akan tiba jika rasuah dan riba dianggap urusan halal seperti berjual beli. 


Semakin hari, gejala moral semakin teruk di tanah air tercinta. Sudah banyak kes luar biasa seperti ibu bunuh anak, anak bunuh ibu bapa tetapi pemimpin dan rakyat terus hanyut dalam aneka kemewahan dan hiburan yang melalaikan. Sewajarnya kes luar biasa ini dijadikan iktibar, mencetuskan rasa bimbang dan cemas di hati, apa agaknya dosa-dosa dan kesalahan kita sehingga negara dilanda suasana begitu teruk sekali. 

No comments: