Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
TIDAK lama dahulu saya diminta mengedit sebuah artikel seorang pelajar dengan tajuk 'Nikah khitbah di mata remaja' saya memutuskan untuk mengulasnya bagi menunjukkan betapa pentingnya seseorang belajar, membuat penyelidikan dan melakukan wawancara sebelum menulis artikel.
Dalam pengajian asas kewartawanan terutama penulisan berita, seseorang itu diminta untuk memenuhi lima persoalan iaitu 5W dan 1H yang menjadi asas pengumpulan maklumat sebelum menulis. Jawapan kepada persoalan ini adalah formula bagi mendapatkan laporan menyeluruh mengenai sesuatu subjek.
Lima W itu adalah 'who' (siapa), 'what' (bagaimana), 'where' (di mana), 'when' (bila), 'why' (mengapa) dan 1H itu adalah 'how' (bagaimana). Untuk menjawab persoalan ini, seseorang itu perlu bertanya; jadi mana mungkin sesebuah berita malah artikel ditulis tanpa ilmu, bertanya atau melakukan wawancara.
Di sini disiarkan sebahagian artikel 'Nikah khitbah di mata remaja' tanpa dinyatakan nama penulisnya:
"Khitbah membawa maksud pertunangan. Nikah khitbah atau nikah gantung menyerupai pertunangan kerana pasangan tidak duduk serumah. Tetapi nikah khitbah adalah pernikahan yang memenuhi syarat pernikahan biasa, cuma tak ada kenduri dan pasangan masih duduk berasingan (sebab itu sering dipanggil nikah gantung).
"Selain itu,ia bermaksud pernikahan di mana pasangan pengantin tidak duduk serumah untuk satu-satu tempoh ditetapkan hasil persetujuan bersama kedua-dua belah keluarga suami dan isteri.
"Dalam kata lain, majlis akad nikah diadakan terlebih dahulu tetapi majlis kenduri kahwin (walimatul urus) diadakan kemudian.
"Penangguhan majlis kenduri kahwin tersebut boleh hingga menjangkau tempoh bertahun-tahun lamanya. Akan tetapi rukun-rukun perkahwinan seperti biasa perlu diikuti iaitu perlu ada suami, isteri, wali, saksi dan akad (ijab qabul).
Tidak ketinggalan juga mas kahwin pun perlu dibayar. Untuk hantaran boleh ditangguhkan dulu. Tujuan utama nikah gantung ini adalah bagi mengelakkan berlakunya penzinaan dan kelahiran anak luar nikah. Setelah kedua-dua pasangan ini melalui nikah gantung, mereka boleh bertemu, 'berdating', dan bermesra. Malah jika melakukan seks pun hingga melahirkan anak ia tidak salah dan tidak haram. Anak yang mereka lahirkan itu adalah sah hukumnya.
"Tanggungjawab pemberian nafkah oleh suami kepada isteri juga diringankan dan boleh dilepaskan."
Ketika membaca perenggan ini, terfikir di minda saya - siapa cakap perkara ini, bagaimana penulis boleh membuat andaian kerana hukum hakam agama bukanlah berdasarkan andaian. Sewajarnya penulis mewawancara seorang tokoh agama, ustaz dan ustazah bagi mendapatkan penjelasan mengenai topik 'nikah gantung' yang ditulisnya.
Bagi mendapatkan penjelasan mengenai subjek 'nikah gantung' ini, saya menemui seorang ustaz dan mewancaranya. Sepatutnya pelajar berkenaan mencari ilmu termasuk mewancara ustaz sebelum menulis artikelnya, ini saya pula (sebagai penyunting) kena tanya ustaz.
Ustaz berkenaan menjelaskan 'nikah gantung' tiada dalam Islam. Katanya, yang ada hanya nikah, apabila berlaku pernikahan termasuk di kalangan pelajar, maka sesuatu pasangan lelaki perempuan itu sudah menjadi suami isteri yang ada perkara haram dalam perhubungan lelaki-perempuan sudah menjadi halal manakala suami dan isteri mempunyai tanggungjawab terhadap satu sama lain yang perlu ditunaikan.
Berkenaan tulisan pelajar berkenaan kononnya "tanggungjawab pemberian nafkah oleh suami isteri juga diringankan dan boleh dilepaskan", ustaz itu berkata, jika perkara itu diniatkan bagi melangsungkan pernikahan, ia sudah menjadi tidak betul kerana matlamat nikah bukanlah sedemikian.
Namun demikian, katanya, jika sudah berlaku pernikahan di kalangan pasangan yang belum mampu dari segi kewangan misalnya sesama pelajar, tanggungjawab nafkah si suami kepada isteri adalah berdasarkan kemampuannya; jika kedua-duanya mendapat biasiswa atau pinjaman boleh dibincangkan bagaimana mahu membiayai kehidupan masing-masing.
Kata ustaz itu, 'nikah gantung' hanyalah istilah dan mengikut kefahaman orang Melayu; ibu bapa yang telah menikahkan anak-anak mereka tidak mahu mereka duduk serumah kerana pelbagai sebab antaranya majlis perkahwinan (berlangsung dan bertandang) belum lagi diadakan. Hakikatnya anak mereka dan pasangannya sudah menikah, mereka adalah suami isteri sah yang tidak perlu 'digantung' dalam hal-hal tertentu lagi!
No comments:
Post a Comment