Thursday, December 9, 2021

Jamadilawal 4, 1443: Kisah Cina petah berbahasa Melayu (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."

"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)


TIDAK lama dahulu, ketika menonton satu siaran berita di TV, saya terdengar nama seorang pegawai tinggi polis disebut. Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Datuk Cheong Koon Kock mengumumkan kejayaan polis melumpuhkan satu sindiket memperdagangkan manusia.


Nama Cheong Koon Kock mengingatkan saya akan seorang rakan di sekolah rendah dulu, ya kira-kira 50 tahun dulu. Bagi saya nama ini 'unik' (tidak terdengar saya orang Cina lain yang memakai nama ini) membuatkan saya membuka mata luas-luas dan memasang telinga...mungkinkah pegawai tinggi polis ini rakan saya itu - sama macam rakan saya dulu, dia bercakap dalam bahasa Melayu sebijik macam orang Melayu (orang Baba Melaka) malah gaya dia pun sama macam dulu; terhanguk-hanguk ketika bercakap.


Entahlah saya tak tahu, tetapi kalau betullah dia rakan lama saya dulu yang bernama Cheong Koon Kock, tahniahlah kerana sudah menjadi pegawai tinggi polis yang sudah banyak dan masih menyumbang bakti kepada negara. Ya, sekali lagi syabas Datuk Cheong Koon Kock!


Terlanjur bercakap mengenai orang Cina ini, tidak lama dulu ada seorang pembaca Cina menghubungi saya yang ketika itu seorang wartawan; memberitahu hal yang unik ini - jadi saya rasa adalah baik saya berkongsi bersama pembaca. Biarlah kita namakan dia Chong saja.


Saya ingat masalah Chong tentulah berkaitan dan berkepentingan dengan dirinya atau persekitaran tempat tinggal beliau seperti permasalahan longkang tersumbat atau kawasan kotor dan jalan berlubang. Tetapi tidak, Chong membawa isu besar membabitkan maruah negara Islam dan imamnya (pemimpin).


Kata Chong, dia sudah tidak tahan lagi dengan kegiatan pelacuran berleluasa di kawasan tempat tinggalnya. Beliau mendakwa perniagaan 'daging mentah' di kawasan itu berlangsung 24 jam - siang dan malam. Rumah-rumah kedai tiga tingkat di kawasan itu jadi pusat pelacuran.


"Sini ada macam-macam bangsa. Melayu ada, Cina ada, India pun ada. Semua sedia beri servis 24 'hours'," katanya.


"Saya tahu tujuh kedai dijadikan pusat pelacuran. Yang saya tidak tahu, tentulah lebih banyak. Saya mahu tanya apa sudah dibuat oleh itu pihak berkuasa. Saya sudah 'report' sama itu polis, pihak majlis tetapi tidak ada apa-apa," katanya.


Chong tidak pula menyatakan dia sudah 'report' kepada Pejabat atau Jabatan Agama. Tetapi sebagai seorang bukan Islam, tmungkin dia keberatan menghubungi atau ke pejabat berkenaan.


Pemuda Cina ini mendakwa pusat pelacuran ini menjadi tempat 'practise' anak-anak muda untuk menjadi perogol. "Apabila sudah biasa ke sana, mereka sudah gian, jadi apabila tidak dapat mereka pun jadi perogol," dakwanya.


"Itu sebab ahhh, banyak kes rogol dan bunuh terjadi. Dia orang sudah 'practise' jadi sudah gian, mereka rogollah orang lain," katanya.


Selain itu, dakwanya pusat pelacuran menjadi tempat penyebaran penyakit berbahaya seperti Aids. "Setiap pelacur layan satu 'customer' 15 minit, jadi berapa ramai 'customer' mereka dapat sehari dan berapa banyak 'customer' berpotensi dapat Aids atau VD," katanya.


"Saya banyak hairan dengan keadaan ini ," katanya. "Di sini tiada masjid. Penduduk sudah lama pohon, sudah dapat tapak tetapi masjid itu tidak dibikin-bikin. Apa kata robohkan itu semua rumah kedai dan bina masjd di atas tapaknya?" kata Chong membuat cadangan.


Chong berpendapat apabila sudah ada masjid, maka kegiatan maksiat seperti pelacuran dapat diatasi. "Takkan dia orang berani buat kes dan kegiatan dekat masjid," katanya.


Selain membangkitkan isu pelacuran, Chong juga marah dengan kegiatan menggalakkan perjudian. "Awak mahu tahu, sebagai seorang Buddhist, saya sangat benci itu Sports Toto dan perjudian di Genting. Saya mahu itu Sports Toto dan Genting ditutup."


Chong juga marah kerana industri tembakau terus dihidupkan. "Itu tembakau, aaah tidak baik. Banyak orang hisap rokok dapat kanser. 'Office' 'manyak' busuk. Banyak orang mati hisap rokok. Apa pihak ini mahu bagi orang matikah?" katanya yang mengesyorkan supaya tanaman tembakau diganti dengan padi.


Chong kata, banyak orang 'Chinese' di tempatnya tidak suka 'ini maksiat'...Ya bijak Chong bercakap...jika Chong seorang awam petah dalam berkata-kata malah bernas pula pendapatnya, maka tak hairanlah Datuk Cheong Koon Kock begitu fasih berbahasa Melayu! Kita berdoa moga-moga mereka mendapatkan hidayah, Amin.


No comments: