Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
BAHARU-BAHARU ini saya menerima sebuah cenderamata bernilai daripada seorang sahabat lama - sebuah buku bertajuk 'Stories of Reflection' (Kisah-Kisah Refleksi / Renungan) yang diusahakan sebuah kumpulan penulis Muslimah yang beriltizam berbakti kepada masyarakat melalui penulisan.
Buku terbitan 'The Writers Resources' itu menghimpunkan karya 18 penulis, sebahagian besarnya sudah pencen (60+). Selain berbakti menampilkan kisah-kisah untuk dijadikan pengajaran / penginsafan serta motivasi kepada insan lain, perolehan hasil buku adalah untuk tujuan kebajikan.
'Stories of Reflections' adalah buku kelima terbitan kumpulan berinisiatif kebajikan itu selepas buku 'Stories for Our Children' (2016), 'Stories of Trials, Tribulations and Hope' (2017), Stories of Life: It All Starts with the Heart' (2018), dan 'Stories of Giving' (2019) yang semuanya dinilaikan sebagai 'berjaya'.
Alhamdulillah, penulis-penulis ini (kebanyakannya 60+) 'bijaksana' (bijak bertindak untuk hidup di sini dan di sana), memanfaatkan reja-reja kehidupan, untuk berbakti kepada diri dan masyarakat melalui kerja-kerja kegemaran mereka - menulis. Mereka tidak rela membazirkan masa yang sudah terlalu suntuk itu secara sia-sia.
Sebuah hadis menjadi panduan; daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Penulis-penulis ini 'bijaksana' tetapi apa yang mendukacitakan, ada anggota masyarakat kita membazirkan masa tua mereka. Ya, masa adalah emas, kata bijak pandai Melayu; orang Arab pula mengandaikannya bagai pedang, jika kamu tidak pandai memanfaatkannya ia akan memotong kepala kamu.
Seorang ustaz dalam kuliahnya yang saya hadiri menyatakan kesedihannya kerana ramai 'orang veteran' gagal memanfaatkan 'reja' (baki) masa mereka termasuk terkinja-kinja di pentas hiburan.
Beliau menceritakan seorang 'datuk' di kampungnya terus leka bermain ayam sabung. Siang malam asyik dengan ayamnya saja. Tidak teringat hendak ke masjid hatta pada maghrib yang tempoh waktu solatnya pendek, dia terus leka dengan dengan ayamnya. Orang kalau pada usia tua bukankah baik perbanyakkan zikir menyebut nama Allah atau berselawat, ini tak, dia asyik kurrrrrr, kurrrrrr, kurrrrrrr sana sini siang dan malam.
Demikian juga kalau seseorang itu sudah gila dengan burung misalnya burung tekukur, siang malam asyik main dengan burung yang dikurung dalam sangkar.
Si tua yang gila mengumpul barang antik pun ada manakala yang lain asyik-asyik memancing ikan dan tak kurang juga terutama perempuan jadi kaki TV.
Ya, kata sang ustaz susah nak tegur orang tua dengan hobi gila-gila ini. Beliau 'mengomen' orang lain dah naik ke bulan, meneroka angkasa lepas, menjelajah laut lepas tetapi sesetengah orang Melayu masih dengan hobi pelik seperti bermain burung, bermain ayam sabung dan bermain gasing.
Akhir sekali sang ustaz 'membasuh' golongan tua yang asyik duduk kedai kopi bermain dam papan. Lepas sepapan sepapan mereka main, dari pagi sampailah maghrib atau malam. Selagi warung tak tutup selagi itulah mereka bermain. Sekali pusingan menghadap papan dam, mereka 'berupaya naik haji' berkali-kali tetapi 'haji' ini bukan menyebabkan mereka semakin 'syok' dan 'leka', lantas tak ingat rumah tangga, anak bini apatah lagi masjid dan surau.
Pemain dan peminat yang mengerumuni papan dam sekalipun minum secawan dua kopi tetapi kebanyakannya kuat hisap rokok. Pada kotak rokok ada perkataan AMARAN, ada gambar besar leher pesakit kanser yang berlubang atau lidah yang bernanah, mereka tak peduli. Sebatang demi sebatang mereka hisap akibat terlalu syok main atau melihat permainan dam aji.
Mereka yang syok dengan dam aji ini tak sedar masa keemasan yang berbaki semakin hari malah sesaat demi sesaat semakin habis. Mereka terus syok dapat 'naik haji demi haji' tetapi bagi menunaikan haji sebenar iaitu Rukun Islam kelima jauh atau tak terfikir dalam benak mereka. Mungkin mereka berfikir, ah aku tak mampu, duit tak ada (tak cukup) jadi bagaimana nak naik haji. Antara syarat tunai haji berkuasa dari segi perbelanjaan, aku tak mampu jadi tak payahlah.
Namun mereka tak sedar, duit belanja beli rokok kalau dihimpunkan tahun demi tahun boleh mencapai puluhan jika tak ratusan ribu ringgit yang jika dapat dijimatkan membolehkan mereka 'naik haji atau umrah' beberapa kali.
Katakanlah seseorang itu menghisap sebungkus rokok sehari yang harganya dianggarkan RM10, dalam sebulan jika tidak merokok dia boleh menyimpan RM300 yang dalam setahun akan menjadi RM3,600. Kalau 10 tahun sudah RM36,000 yang membolehkan dia 'naik haji atau umrah sebenar' sebanyak beberapa kali.
Ini tak, sekalipun setiap hari 'naik haji' beberapa kali atau belasan atau puluhan kali di meja papan dam, dia tetap dulu, kini dan harap-harap tidak selama-lamanya bergelar haji dam...ya wahai orang yang tak beberapa muda...sedar-sedarlah diri bila nak menjejakkan kaki ke masjid atau berangkat ke Tanah Suci...takkan nak tunggu orang usung diri kita ke masjid atau buatkan badal haji untuk kita!
No comments:
Post a Comment