Wednesday, December 15, 2021

Jamadilawal 10, 1443: Jalani hidup berkongsi, berjemaah...(U)

DENGAN nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr


ISLAM mengajar kita hidup berkongsi, ya hidup berjemaah. "Share' kata orang sekarang. Misalnya, seseorang yang berharta (kaya), apabila cukup syarat-syaratnya dia perlu berzakat. Hartanya perlu di'share' dengan orang miskin dan asnaf lain.


Mengenai bab haji dan umrah, kosnya mampu ditanggung (agak murah) sebab hampir semua kemudahan dan perkhidmatan disediakan secara berkongsi. 


Naik kapal terbang sudah pasti berkongsi, naik bas berkongsi, bilik berkongsi, tandas pun berkongsi, makan berkongsi (beramai-ramai). Kalau kita pergi sendiri (seorang-seorang) hampir pasti kosnya tidak mampu kita tanggung.


Ya, sesetengah 'orang kita' mampu pergi umrah berkali-kali hatta 'travel' ke USA pun kerana hampir semua kegiatan dilakukan secara berkongsi. Kalau pergi sendiri, entahlah, mungkin tak terbayar kosnya.


Dalam menjalani kehidupan, terutama pada zaman sukar sekarang, kita perlu 'ke depan' dalam amalan berkongsi kerana insya-Allah ia dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban yang kita pikul.


Kini semakin ramai rakyat menghadapi keadaan sukar. Sehubungan itu jalan keluar perlu diusahakan. Di samping mengusahakan kehidupan baharu, di sini disyorkan orang awam menukar gaya hidup bagi mengurangkan sedikit sebanyak tekanan dari segi kewangan.


Bagi menghadapi 'zaman sesak' sekarang ini, ada bijak pandai mencadangkan kepada kita dua pilihan bagi menghadapinya; pertama bertindak segera bagi kesinambungan pendapatan kita seperti mendapatkan pekerjaan walaupun dengan gaji yang kurang daripada dulu atau melakukan lebih daripada satu pekerjaan, manakala satu lagi jalan mengurangkan kos kehidupan. 


Pada detik cemas seperti sekarang kita perlu berjimat cermat. Antara kaedahnya adalah menyemarakkan amalan berkongsi dalam menjalani kehidupan. Ya, terapkan amalan berkongsi bermula daripada di rumah kita sehingga dalam kehidupan bermasyarakat.


Kongsi, kongsi dan kongsilah semaksimum mungkin. Jika kita sebuah keluarga lakukan aktiviti bersama sebagai contoh beli bahan mentah, kongsi (bersama) masak dan 'kongsi' makan...tak payahlah kerap makan di luar kerana ia membabitkan kos besar! Jika kita bersama rakan-rakan dalam sebuah rumah, kita juga boleh kongsi masak dan makan.


Banyak lagi aktiviti kita boleh kongsi. Kongsi tonton TV, kongsi beli bahan bacaan, kongsi barangan keperluan kegunaan bersama dan kalau sesuai, boleh kongsi kenderaan untuk ke pejabat.


Di luar, banyak kegiatan yang kita boleh berkongsi seperti membaca akhbar dan buku di perpustakaan, berkongsi kemudahan di masjid dan 'berkongsi' kenderaan awam seperti bas dan tren. 


Pada tahun baharu nanti bersedialah menjalani kehidupan dengan kaedah berkongsi dengan orang lain. Perkongsian akan mengurangkan kos kehidupan kita...apabila kita bersedia berkongsi, maka harga barangan dan perkhidmatan dapat dikurangkan!


Ada orang kahwin pun kongsi majlis. Ada keluarga kahwinkan dua anak atau tiga anak secara serentak. Ertinya adik beradik kongsi majlis. Yalah, kalau buat tiga majlis, berapa banyak wang dan masa akan habis?


Selain itu, ada 'besan' (mak bapak pengantin lelaki dan perempuan) bergabung tenaga mengadakan satu majlis saja. Tentu ada sebab keluarga pengantin berkongsi majlis atau mengahwinkan beberapa anak serentak. Antaranya untuk mengurang kos...ya kongsi, kongsi dan kongsilah untuk kehidupan yang lebik baik.


Berkahwinlah (bernikah) wahai anak muda, itu sunnah Nabi; jika perlu berkongsi majlis atau berkahwin beramai-ramai teruskanlah; semoga dengan hidup bekeluarga Allah SWT akan menambah kebarakahan kita semua pada zaman yang serba sukar dan mencabar sekarang ini.


Selepas berkahwin, boleh berkongsi 'travel' untuk berbulan madu termasuklah jika mahu ke Makkah buat umrah...harganya lebih murah berbanding pergi sendiri-sendiri. Kemudian pasangan suami isteri baharu kongsilah bilik (sudah pasti, heh...heh...).


Demikianlah bertapa amalan berkongsi dalam kehidupan amat menguntungkan. Ya Islam mengalakkan amalan berjemaah (berkongsi) dalam kehidupan - sembahyang berjemaah, makan berjemaah dan sebagainya. Jadi kongsi, kongsi dan kongsilah dalam kehidupan! Jangan kedekut untuk berkongsi (hidup berjemaah).

No comments: