Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
MUNGKIN kisah ini atau seumpamanya pernah kita dengar...Semasa kanak-kanak, Ali dan Ah Chong yang tinggal di sebuah perkampungan Melayu amat 'kamceng'.
Ah Chong melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat manakala Ali di sebuah universiti tempatan. Bertahun-tahun mereka tidak berjumpa, suatu ketika selepas tamat pengajian mereka terserempak...maka mereka berbual dan berseloroh seperti biasa.
Semasa berbual, mulut Ah Chong tiba-tiba melontarkan 'sesuatu' yang betul-betul 'memakan' hati nuraini Ali. Dalam nada bergurau antara lain Ah Chong berkata..."kau memang kawan aku yang tak guna wahai Ali. Kenapa dulu kau tak pernah nak ajak aku masuk Islam? Kau seorang aje ke nak masuk syurga?
"Di Amerika aku mendapat hidayah. Ada saudara Muslim mendakwah aku di sana.Ya Ali, kalau kau sayang aku dan nak sama-sama ke syurga, kenapa kau tak ajak aku kepada Islam? Namun tak apalah...kita kini sama-sama Islam. Kita bersaudara, lupakan kisah dulu tu."
Sekalipun lega dengan pengakuan Ah Chong untuk terus bersahabat malah bersaudara pula, Ali benar-benar 'terpukul'. Ya, dulu mengapa dia lari atau tidak sedar akan tanggungjawab dan kesempatan untuk 'berdakwah' kepada golongan 'non-Muslim' apatah lagi mereka yang tersangat rapat seperti seorang kawan baik.
Demikianlah wahai pembaca, orang Melayu kurang berdakwah kepada 'non-Muslim'. Kerja-kerja 'tabligh' (menyampaikan) keindahan Islam apatah lagi ajarannya kepada mereka, hatta di kalangan sebuah pergerakan yang aktif di masjid-masjid pun amat kurang.
Jemaah ini asyik mengajak orang setempat ke masjid, saya (penulis) pernah bertanya kepada sekumpulan jemaah, kenapa 'tak dakwah' kepada 'non-Muslim' mereka berkata, "kita dakwah orang Islam dulu, nanti apabila mereka melihat keindahan Islam seperti ramai orang berpusu-pusu ke masjid, mereka akan tertarik kepada Islam."
Suatu ketika, saya pernah bertanya seorang pendakwah Perkim (seorang saudara kita), mengapa orang Melayu gagal dalam ‘dakwah’ mereka kepada orang Cina kerana di Malaysia kini ada hanya lebih kurang 60,000 Cina Muslim daripada 8 juta orang Cina.
Beliau membetulkan angka yang saya beri, katanya kini hanya adalah lebih kurang 40,000 Cina Muslim di kalangan 30 juta rakyat negara ini. Ya, angka ini sungguh kecil, mengapa tidak tertariknya orang Cina kepada Islam, mungkinkah orang Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti tidak langsung berdakwah kepada orang Cina?
Berdasarkan sejarah, mengikut teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara, penduduk rantau ini diislamkan oleh pertamanya, saudagar Arab; keduanya saudagar India dan ketiganya oleh saudagar dan penjelajah Cina dengan contoh utamanya Laksamana Cheng Ho yang beberapa kali belayar melalui laut kawasan ini untuk ke Makkah bagi menunaikan haji.
Ya, dulu orang Cina terbabit mendakwah orang Melayu, maklumlah Islam dikatakan telah sampai ke negara China pada abad ke-7 sedangkan di Alam Melayu, rakyat kerajaan besarnya seperti Sriwijaya masih beragama Hindu dan Buddha.
Jadi orang Melayu sebahagiannya diislamkan oleh orang Cina tetapi kenapa hari ini orang Melayu sebagai penduduk asal rantau ini tidak berjaya menarik jutaan orang Cina kepada Islam?
Pendakwah itu menjelaskan sesetengah watak dan sikap semula jadi orang Melayu itu seperti mudah tersenyum, peramah manakala anak-anak menunjukkan penghormatan kepada orang tua seperti mencium tangan ibu bapa, menambat hati kaum lain tetapi malangnya beliau mengakui orang Melayu tidak membuat kerja-kerja dakwah; ramai yang mengemukakan alasan seperti tidak pandai (tiada ilmu) dan tiada masa. Beliau mengingatkan adalah penting untuk setiap Muslim mencari ilmu, memahaminya, mengamal dan seterusnya menyampaikannya (berdakwah).
Benarkah hal-hal berkaitan Islam tidak sampai kepada orang Cina? Dalam dunia moden apatah lagi pada era perkembangan teknologi komunikasi ini, perkara ini dirasakan mustahil tetapi sebagai manusia, ‘personal touch’ (jalinan peribadi) adalah amat perlu kerana situasi ini boleh menyentuh kalbu bagi membuka laluan seseorang itu mendapat hidayah Illahi.
Pada pandangan saya, ketika seorang dua pemimpin parti politik Cina hebat menyerang Islam seperti memperlekehkan hukum hudud adalah amat penting untuk orang Islam yang cintakan agamanya berperanan untuk menerangkan Islam kepada rakan-rakan Cina mereka. Merekalah diharapkan untuk melakukan ‘personal touch’ , adalah amat merugikan jika sudah bertahun-tahun kita berkawan dengan orang bukan Islam tetapi tidak pernah menerangkan hal berkaitan Islam kepada mereka.
Bolehkah kita biarkan pemimpin bukan Islam yang jahil Islam (mungkin benci Islam) berleluasa memberi gambaran mengenai apa didakwanya sebagai keburukan ajaran Islam? Sesungguhnya pemimpin seperti ini tidak layak bercakap pasal Islam tetapi mengapa kita tidak lakukan sesuatu sebelum ‘percakapan mulut busuk mereka’ masuk ke dalam minda rakan-rakan bukan Islam kita? Adalah malang jika kita menganggap hal agama adalah soal ‘taboo’ yang tidak boleh dibicarakan sesama rakan. Menyampaikan adalah tugas kita, untuk memberi hidayah itu ‘kerja’ Allah SWT.
Pendakwah itu tidak meminta kita (orang Melayu-Islam) melakukan tugas yang berat-berat dalam berdakwah; cukuplah kita bermula dengan menunjukkan akhlak dan contoh baik, mencetak dan mengedar risalah penerangan atau al-Quran terjemahan bahasa Cina dan kalau itu pun kita tidak mampu lakukan, berilah bantuan kewangan kepada pihak yang menjalankannya seperti Perkim!
No comments:
Post a Comment