Saturday, December 25, 2021

Jamadilawal 19, 1443: Usia 80-an, semangat 20-an (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"...dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), untuk menjelaskan dan (juga memberi) petunjuk serta rahmat dan pengkhabaran gembira bagi orang-orang yang tunduk kepada-Nya." (Maksud Ayat 89 Surah an-Nahl)


SUATU petang, ketika memandu kereta, menghantar seorang anak ke stesen bas untuk pulang ke asramanya, saya ternampak seorang lelaki tua berpayung berjalan terhuyung-hayang di tepi jalan. Saya kenalnya, dia penduduk sekampung, berusia 80-an.


Saya memberhentikan kereta, mempelawa dia naik. Fikir saya, apa salah menumpangkan beliau, rumahnya dalam laluan perjalanan kami. Dapat juga pahala kerana menyantuni orang tua.


Dalam kereta, rancak pula dia bercerita. Katanya, minat beliau sekarang adalah berjalan-jalan. Duduk-duduk saja di rumah terasa bosan.


“Awak mahu pergi mana?” tanyanya. “Perak, Kuala Lumpur? Saya mahu ikut!” Eh, senangnya dia berkata begitu, nanti kalau keluarganya ‘report’ kehilangannya pada polis, susah saya.


Saya mendiamkan diri. Sebaik saja tiba di tepi jalan berhampiran rumahnya, saya memberhentikan kereta, menunggu dia turun. Tetapi dia tidak mahu turun sebaliknya bertanya, “awak mahu pergi mana?”


Saya menyatakan destinasi saya, dia berkata mahu ikut. Lalu saya bawalah dia, jadi panjanglah perbualan kami petang itu. Katanya, masa muda dulu dia askar.


“Kamu tahulah orang muda, macam-macamlah saya buat. Ah, orang muda mestilah nakal,” katanya ketawa memanjang. Saya tak tahu apa dimaksudkan dengan nakal itu tetapi otak saya sudah berfikir yang bukan-bukan.


Banyaklah perkara kami bualkan sepanjang perjalanan setengah jam itu, salah satu pertanyaannya, mendatangkan kesan mendalam dalam kepala saya. “Mengapa ya, saya sudah 80-an tetapi semangat saya macam pemuda 20-an?”


“Apa maksud datuk?” tanya saya balik.


“Itulah, kemahuan saya macam orang muda-muda. Saya mahu beli itu, beli ini. Saya bersemangat hendak buat apa orang muda buat…” dia berhenti pada ayat itu tetapi saya tafsirkan sendiri, agaknya dia mahu kahwin anak dara agaknya, mahu ‘enjoy’ macam zaman muda dia dulu.


Serkap jarang saya terhenti apabila dia menyambung: “Tetapi disebabkan tidak mampu, saya diamkan diri saja, tetapi semangat saya meluap-luap mahukan itu semua, yalah macam orang 20-an mahu!” Dia ketawa terkekeh-kekeh.


Susah saya mahu menjawab pertanyaan pesara askar ini. Umur sudah 80-an tetapi bersemangat dan hendak hidup macam anak muda 20-an. Itulah ada orang bijak pandai berkata bahawa dalam kehidupan ini mudah benar seseorang itu tersandung; ketika kanak-kanak dan remaja, ilmu tiada pengalaman pun tiada jadi tersandunglah kita; kemudian apabila muda, tenaga banyak, ilmu dan pengalaman kurang maka tersandung juga kita; kemudian apabila sudah tua, ilmu dan pengalaman sudah banyak, malangnya tenaga sudah habis, maka akhirnya tersandung juga kita.


Ya, orang tua ini asam garam kehidupannya sudah banyak dilalui tetapi tenaga sudah habis, jadi bagaimana dia mahu hidup bagaikan seorang pemuda berusia 20-an? Demikianlah betapa kebanyakan manusia mahu kembali ke zaman silamnya tetapi semua itu adalah fantasi, tak mungkin semalam atau kelmarin akan kembali apatah lagi yang sudah berlaku 10, 20, 30, 40 atau 50 tahun lalu. Namun di akhirat nanti akan ditanya, di mana dan ke manakah usia muda itu kamu habiskan!


Ilmuan agama sentiasa mengingatkan bahawa usah dikenang detik sudah berlalu, yang kita ada saat sekarang, pergunakanlah waktu ini sebaik mungkin untuk memperbanyak bekalan ke akhirat nanti. Esok usah difikir kerana belum pasti sang matahari muncul.


Ada bijak pandai berkata, biasanya apa yang biasa kita buat pada usia muda itulah juga yang hendak kita buat masa kita tua. Jika masa muda kita gila muzik, sudah tua nak masuk kubur pun kita masih gila muzik juga. Penulis dapat saksikan kebenaran ini, seorang lelaki tua berpangkat saudara juga, pada masa sakit menjelang mati, masih melakonkan aksi memukul kompang, pada masa mudanya dia memang seorang juara kompang.


Berdasarkan apa yang penulis saksikan ini, benarlah apa diperkatakan lelaki tua yang menumpang kereta itu; dia berusia 80-an tetapi semangatnya macam dia berusia 20-an. Dia hendak buat itu dan ini seperti dilakukannya 60 tahun lalu, tetapi apakan daya hampir semua anugerah Ilahi seperti tenaga, kekacakan dan keupayaan pancaindera (mata, telinga dan sebagainya) sudah dicabut satu persatu.


Kini nyawa saja masih bergantung kepada badan yang lusuh tetapi mengapa masih terfikir pasal hal ehwal orang muda lagi seperti kahwin baharu, duit dan harta banyak dan paling malang sekali benda haram jadah macam judi? Tidaklah malukah apabila generasi baru berkata; kubur sudah kata mari, dunia kata pergi, tetapi masih terhegeh-hegeh mahu bercerita pasal kelazatan dunia termasuk perkara maksiat.


Namun pengakhiran cerita lelaki tua tadi mengesankan saya. Katanya: “Sekalipun bersemangat muda, Allah Taala telah bagi bagi ‘warning’ (hadiah) kepada saya. Dia bagi saya sakit angin ahmar, dulu saya teruk, sekarang kaki sahaja lemah. Jadi perkara orang muda buat, tidak bolehlah saya buat. Sekarang saya simpan saja semangat muda itu, harap-harap Dia terima taubat saya.”


Sebelum menghantarnya pulang sehingga ke halaman depan rumahnya, saya sempat bertanya: “Boleh pakcik nasihatkan saya; apa pesanan pakcik bagi orang berusia 60+ seperti saya?”


Jawapannya mudah tetapi membuatkan saya termenung panjang. Katanya: “Buatlah apa yang Allah dan Rasul-Nya suruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Insya-Allah kau akan selamat dunia dan akhirat. Amin.”


Lantas dia meninggalkan saya yang masih termanggu-manggu, memikirkan bagaimana nasib saya pada usia senja nanti!


No comments: