Tuesday, October 5, 2021

Safar 28, 1443: 50 Travelog Kehidupan Adik

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"...dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), untuk menjelaskan dan (juga memberi) petunjuk serta rahmat dan pengkhabaran gembira bagi orang-orang yang tunduk kepada-Nya." (Maksud Ayat 89 Surah an-Nahl)


PROMOSI BUKU ADIK


CATATAN MD YUSOF HAMID, adik penulis (LanH) daripada Facebook beliau.

Alhamdullilah, buku '50 Travelog Ibrah Kehidupan. Dari Semabok, Melaka ke Greater Manchester, United Kingdom' telah selesai dicetak. Bagi cetakan pertama harga buku COD dan bayaran hantaran  RM30. Penanda buku akan diberi bagi setiap pembelian. Berminat boleh what's app..

www.wasap.my/60195903974


Travelog 1: Kampung Semabok, Melaka (MD YUSOF HAMID)


Saya dilahirkan di Hospital Besar Melaka pada 29 Disember 1975. Emak bertarung nyawa untuk melahirkan anak kelapan dalam keluarga Hj Hamid Bin Mohd melalui kaedah pembedahan. Menurut cerita emak, semasa pembedahan, terdapat bahagian perut saya yang terkena pisau pembedahan dan tanda jahitan itu kekal hingga ke hari ini sebagai tanda kelahiran. Asbab kepada kejayaan pembedahan dan peristiwa ini, emak menamakan nama saya dengan nama doktor yang berjaya menjalankan pembedahan tersebut. Niat dan doa emak ketika itu ialah untuk anak bongsunya itu berjaya menjadi doktor pada masa hadapan. Alhamdullilah, doa dan hasrat emak termakbul, anaknya berjaya mendapat gelaran doktor falsafah walaupun pada asalnya untuk menjadi doktor perubatan. Usaha telah dibuat, laluan pengajian telah betul apabila mengikuti aliran Sains Tulen tingkatan empat di Maktab Rendah Sains Mara Jasin tetapi pengakhirannya tidak seperti diharapkan atas kecuaian dan kesilapan sendiri. Keputusan peperiksaan SPM dalam aliran Sains kurang memuaskan menjadi punca berakhirnya hasrat emak untuk melihat anaknya menjadi doktor perubatan. Malah saya pun tidak teruja untuk menjadi seorang doktor perubatan pada ketika itu. Alhamdulliah akhirnya, hasrat emak tertunai juga apabila 2 orang cucunya berjaya menjadi doktor perubatan.


Nama Md Yusof yang diberi telah melanggar nama keluarga Hj Hamid yang semuanya bermula dengan bunga Ros (Rosli anak pertama hinggalah kepada Roslinah anak ketujuh). Cadangan nama oleh nenek iaitu Rosmanan telah ditolak. Proses pendaftaran nama juga telah membeli kesan kepada sebutan nama saya. Pada tahun 1975 dan sebelum itu lagi proses pendaftaran kelahiran dibuat di balai polis berhampiran. Pada ketika ini, tidak ramai yang boleh membaca dan mengeja dengan baik. Taraf pendidikan juga tidak sama seperti sekarang yang mana rata-ratanya hanya tamat sehingga darjah enam sahaja. Bapak mendaftarkan kelahiran saya di Balai Polis Kandang, Melaka. Semasa mengisi borang nama yang diberi ialah Muhammad Yusof tetapi di sebabkan untuk memudahkan ejaan maka diletakkan Md yang tidak boleh dibunyikan. Kekallah nama ini hingga sekarang hingga ada yang memanggilnya Mat atau Mad.



Bermulalah kehidupan saya di Kampung Semabok, Melaka iaitu sebelum 3 hari ke tahun 1976, yang menjadikan saya sentiasa termuda di dalam kelas atau rakan sebaya. Asal nama Kampung Semabok seperti yang di rekodkan oleh abang kedua saya iaitu Roslan Bin Hamid atau nama penanya LanH, di dalam penulisan beliau di dalam akhbar Berita Harian ketika menjalani latihan praktikal kewartawanan di Melaka ialah berasal daripada perkataan ‘Sir mabuk’. Kisahnya dicatatkan melalui kisah orang-orang lama iaitu semasa pemerintahan British (Belanda?) di Melaka, terdapat pegawai British yang pada ketika itu pulang dari kelab malam di Bandar Melaka dan melalui kawasan kampung ini dalam keadaan mabuk. Orang-orang kampung memanggil mereka ‘Sir mabuk’ dan akhirnya nama ini kekal menjadi nama Kampung Semabok, Melaka.


Enam tahun pertama berada di kampung adalah tempoh yang sangat menggembirakan walaupun berada  dalam keadaan sedikit kekurangan. Emak dan bapak berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan anak-anak dapat dibesarkan dengan baik. Pada ketika usia saya 5-6 tahun, saya mengalami masalah kesihatan iaitu di serang penyakit ashma atau semput nafas. Penyakit ini akan menyerang jika keadaan cuaca sejuk dan terutama pada waktu pagi. Perbagai usaha dan ikhtiar yang diambil untuk mengurangkan dan menyembuhkan penyakit ini. Emak dan bapak berkejar membawa saya ke klinik, hospital dan juga mendapatkan rawatan tradisional serta perubatan Cina. Saya diberi makanan khas iaitu daging burung merpati bagi merawat ashma ini. Pada sebelah pagi, saya hanya akan mandi menggunakan air panas yang dimasak menggunakan cerek di atas dapur para kayu. Rasanya generasi Y dan Z sekarang tidak pernah melihat dapur para kayu dan kesusahan untuk memasak menggunakan kaedah ini kerana kesilapan kecil boleh meyebabkan kebakaran satu rumah. Masalah ashma ini berterusan hingga berusia 8 tahun dan Alhamdullilah berkat usaha dan doa emak dan bapak, ashma ini berlalu pergi dalam kehidupan saya hingga ke hari ini.


Saya menerima pendidikan awal di tadika yang berhampiran dengan rumah iaitu sejauh hampir 1km. Setiap hari emak akan menghantar saya ke tadika menaiki basikal. Dalam kesibukan sebagai suri rumah dan menguruskan kerja sampingan yang lain, emak akan terkejar-kejar mengambil saya dari tadika.



Dalam satu kejadian emak akhirnya terlibat dengan kemalangan kecil apabila basikal yang ditunggangi  terlajak masuk ke dalam parit dan disorak orang ramai yang menjadi penonton di gerai makan berhampiran. Begitulah susahnya dan bertapa besarnya pengorbanan emak dalam memastikan pendidikan awal tidak terjejas. Masalah kesihatan saya juga menyebabkan sering tidak ke tadika dan terlantar di rumah. Kenangan yang masih boleh diingati adalah dilawati kawan-kawan yang prihatin akan keadaan saya walau pun mereka mempunyai kehidupan yang agak selesa berbanding dengan saya. Masa awal kehidupan ini juga banyak dihabiskan dengan menjalani rutin sebagai budak kampung dengan bermain di sawah, menangkap ikan laga, menjaga kambing dan banyak aktiviti mengikut musim seperti musim layang-layang, baling tin, getah gundu, kad ultraman dan banyak lagi. Keadaan Kampung Semabok selepas 45 tahun telah banyak berbeza yang mana sawah tempat saya bermain telah dibina stesen minyak, rumah kedai dan pembangunan yang tidak terfikir pada masa dahulu. Pintu gerbang ‘Welcome to Malacca’ yang menjadi tanda kemasukan pengunjung ke daerah Melaka Tengah juga telah dirobohkan. Kampung Semabok kini gah dengan aliran trafik yang tinggi melalui Lebuh Raya Alor Gajah, Melaka dan Jasin (AMJ).


Mungkin generasi yang baharu tidak pernah terfikir yang dahulu Kampung Semabok menjadi laluan utama orang Johor untuk ke Kuala Lumpur terutama ketika Johor berjaya melayakkan diri ke pertandingan akhir bola sepak Piala Malaysia di awal tahun 1980-an. Atau pun yang lebih jauh, cerita mak dan bapak berkenaan dengan deretan kereta lembu yang melalui Kampung Semabok untuk pesta mandi Safar di Tanjung Kling. Sehingga kini tiada lagi ‘Sir Mabuk’ yang kelihatan di Bandar Semabok ini tetapi yang kekal adalah nama Semabok, Melaka dan yang nyata ia bukan lagi sebagai sebuah kampung.


Ibrah Kehidupan:


1. Tanggungjawab ibu bapa untuk mendoakan dan meletakkan nama yang baik untuk anak yang dilahirkan serta berniat untuk kejayaan anak pada masa hadapan.



2. Usaha, doa dan tawakal kepada Allah dalam setiap usaha termasuk menyembuhkan penyakit adalah dituntut. Jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah.


3. Kehidupan awal sebagai persiapan untuk menghadapi kehidupan atau masa hadapan yang mencabar. Ibu bapa seharusnya melatih dan menyediakan anak untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Sifat berdikari, bertanggungjawab dan yang baik perlu diterapkan hingga ke peringkat umur remaja.


4. Sebagai anak, kenanglah jasa kedua-dua ibu bapa yang tidak pernah jemu membesarkan dan memberi pendidikan kepada kita daripada awal lahir hingga kita dewasa. Hukumnya WAJIB membalas jasa dan mendoakan kedua-dua ibu bapa kita walau apapun jua keadaannya.


5. Sejarah hidup dijadikan panduan dan pengajaran kepada generasi baharu. Kenangi pengorbanan  ibu bapa dan mereka yang banyak berjasa kepada kehidupan awal kita.


No comments: