Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasas: 56)
SEMPENA bulan keputeraan Rasulullah, Nabi Muhammad s.a.w. yang kita kasihi (Rabiulawal), teringat saya kisah ini yang diharapkan dapat mengguris sekelumit rasa hati bahawa betapa hebat perjuangan baginda sedangkan kita tidak ada apa-apa.
Menyedari kelemahan diri dalam berkomunikasi secara bersemuka, saya 'belajar-belajar berdakwah' dengan mengedarkan risalah keagamaan; salah satu risalah itu adalah berhubung tata cara bagi wanita berpakaian menutup aurat dengan sempurna.
Ketika berjalan dalam satu-satu 'safar' (kembara), secara senyap-senyap saya menitipkan risalah itu kepada wanita-wanita terutama yang saya lihat bertudung tetapi tidak sempurna penutupan aurat mereka seperti memakai baju-T mendedahkan lengan atau berjeans dan blaus terlalu ketat.
Bagi saya, wanita-wanita bertudung sudah berada di permulaan landasan betul, cuma mereka perlu 'ditolong sikit lagi' dengan menerangkan kepada mereka bahawa menutup aurat itu bukan bermakna bertudung saja.
Apa erti bertudung jika pakaiannya tersangat ketat, lengan terdedah atau mempamerkan akhlak kurang baik di khalayak ramai seperti berpeluk-pelukan dengan teman lelaki atau ketawa berdekah-dekah sesama kawan.
Hal seperti ini dibimbangi memberi gambaran serong kepada sesetengah 'non-Muslim' apatah lagi di kalangan orang Islam sendiri yang 'mencemuh' Muslimah bertudung seperti kata-kata "apa guna bertudung, jika bentuk badan terbonjol sana sini", atau "apa guna bertudung labuh jika perangai buruk."
Sudah bertahun-tahun saya 'berdakwah secara kilat ini'...banyak ragam dan aneka peristiwa serta pengalaman dilalui. Pernah ketika ke suatu destinasi, saya melintasi sekumpulan remaja perempuan (ada yang bertudung dan tidak) lantas memberikan setiap seorang daripada mereka risalah berkenaan.
Selepas menyerahkan risalah berkenaan, cepat-cepat saya 'blah' tetapi ketika menoleh ke belakang, terpandang reaksi mereka yang meruntun hati. Seorang bergolek-golek di lantai sambil ketawa kuat...antara dengar dan tak dengar, dia berkata...hah, hah, pak cik tu nak jadikan kita macam ni (ada lakaran gambar wanita berpakaian lengkap menutup aurat di muka depan risalah itu).
Kumpulan budak-budak perempuan itu ketawa beramai-ramai, mujurlah saya 'sudah cabut' dan jauh dari situ, namun dalam hati tertusuk rasa kepedihannya. Ya pedih, pedih tetapi cepat-cepat saya insaf apalah sangat yang saya lalui itu dengan mengingati perjuangan Rasulullah s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w. dalam misi dakwahnya kepada penduduk Makkah, dikeji, dinista, dilempari najis dan sebagainya membuatkan puteri baginda Sayidatina Fatimah Az-Zahra menangis tersedu-sedu membersihkan kotoran di tubuh baginda.
Selain Makkah, Rasulullah s.a.w. mendakwah penduduk Taif, namun menerima penghinaan paling teruk apabila orang di sana mengusir baginda termasuk menyuruh kanak-kanak membaling batu sehingga kasutnya berlecekan darah - namun Rasulullah tetap sabar malah mendoakan agar penduduk Taif mendapat hidayah.
Mengenang perjuangan Rasululllah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda dan generasi berikutnya yang penuh getir dalam menyebarkan Islam sehingga kita di Nusantara ini sudah beriman, apakah kita tak terpukul kerana tak buat apa-apa untuk Islam? Malah mungkinkah kita sebagai seorang Islam lebih merugikan Islam itu sendiri dengan perlakuan dan cara hidup yang buruk menyebabkan Islam dipandang hina oleh sesetengah 'non-Muslim' dan pencaci Islam.
Disebabkan celoteh ini berkaitan aurat wanita, cuba 'hadamkan' situasi ini - wanita bertudung tetapi berpakaian terlalu ketat misalnya berkebaya kain belah, memakai jeans serta berbaus singkat atau ber-T-shirt' tanpa lengan, menonjolkan 'sana sini' (maaf) termasuk alur bontot...orang 'non-Muslim' mungkin berkata..."kita orang pun tak pakai macam ni."
Dalam kembara saya dahulu, saya kerap ke Hentian Bas Pudu Raya. Saya turut mengedarkan risalah-risalah itu kepada gadis-gadis di kaunter tiket bas. Suatu ketika, saya terkejut apabila seorang gadis kaunter berkata: "Pak cik sudah beri saya risalah ini tiga kali dah. Saya dah pun bertudung."
Syukur gadis itu sudah bertudung. Alhamdulillah. Saya 'mahu kembang bangga' kerana usaha saya berhasil tetapi malam itu ketika menghadiri kuliah di masjid, sang ustaz seolah-olah dihantar oleh Yang Maha Berkuasa memberi pukulan maut kepada saya apabila dalam kuliahnya berkata: "Hidayah ini milik Allah, kita berusaha saja. Kalau kita buat 1,000 kali pun kalau Allah tak izinkan, tak jadi."
Ya tak ya juga...Nabi Nuh berdakwah hampir 1,000 tahun, pengikut baginda dikatakan 83 orang sahaja. Bagi Nabi kita yang kita kasihi, Nabi Muhammad s.a.w. begitu mahukan bapa saudaranya Abu Talib beriman, namun hidayah itu milik Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasas: 56)
Ya, kita sebagai manusia buat sahaja kerja dakwah kita, hidayah itu milik-Nya!
No comments:
Post a Comment