Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
BEBERAPA tahun selepas bersara, saya cuba-cubalah membeli tiket pengangkutan awam khas bagi warga emas, manalah tahu dapat diskaun lumayan, namun hampa.
Di sebuah stesen kereta api, gadis kaunter tiket memberitahu saya; "Pak cik, potongan harga hanya untuk mereka berumur 60 tahun ke atas!"
Sebal muka tetapi tidaklah saya menyalahkan diri sendiri kerana saya fikir asalkan seseorang itu sudah bersara, dia boleh dapat tiket potongan harga pelbagai perkhidmatan seperti pengangkutan awam.
Alhamdulillah, dalam sebulan dua lagi saya akan menginjak ke usia warga emas (60 tahun) dan selepas itu 60+ insya-Allah. Benar saya akan mendapat potongan harga spesial bagi warga emas bagi tiket pengangkutan awam dan sebagainya...tetapi persoalannya apakah itu keutamaan seseorang warga emas?
Subhanallah apakah mana usia warga emas ini? Portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mentakrifkan warga emas sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Ini berpandukan kepada takrifan yang dibuat di 'World Assembly On Ageing 1982' di Vienna.
Turut dipaparkan adalah perkidmatan disediakan jabatan berkenaan untuk golongan ini seperti Bantuan Kewangan, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Unit Penyayang Warga Emas (UPWE)
Sekalipun seseorang pada usia 60 tahun dilihat sesetengah pihak 'sudah senja', ada cadangan oleh JKM agar perubahan definisi umur warga emas ditukar kepada 65 tahun. Ini selari dengan usaha pihak tertentu yang mahu menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 62 sehingga 65 tahun.
Tidak kiralah berapa usia persaraan seseorang, masa depannya selalu dilihat dari segi kekukuhan kewangan....ya benarkah begitu?
Azizi Ali dalam bukunya 'Pesara Jutawan' (Truewealth) mencatatkan: "Persaraan selalu dipotretkan sebagai alam syurga seperti yang dipopularkan oleh media massa Barat. Diibaratkan sebagai sebagai suatu masa apabila orang tua boleh memungut hasil titik peluh mereka, boleh melakukan apa yang mereka suka dan menikmati zaman keemasan mereka. Ini adalah benar - tetapi bukan cerita sepenuhnya."
Apabila melangkah ke usia 'six series', kita semakin hampir ke gerbang kematian. Seorang cendekiawan mencatatkan: "Kita hidup di dunia, tak lama. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: 'Umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, dan sedikit orang yang melampui umur tersebut' (HR. Ibnu Majah: 4236, Syaikh Al Albani mengatakan: hasan shahih).
Dalam waktu yang sebentar itu, kita memerlukan bekal yang banyak untuk mengharunginya. Bahkan kadang kita harus banting tulang demi mencari bekal untuk kehidupan ini.
Jika untuk waktu +-70 tahun saja kita harus banting tulang untuk mencari bekalnya, lalu sudahkah kita banting tulang untuk kehidupan alam barzakh yang mungkin sampai ribuan tahun?
Seorang ustaz dalam ceramahnya yang saya hadiri berkata: "Kebanyakan kita (jemaah masjid) sudah masuk usia warga emas...rebutlah 'emas' (termasuk masa) yang tersisa untuk bekalan ke sana!"
Penulis pernah mencatatkan selepas bersara, kurangilah beban duniamu berdasarkan kata-kata hikmah seorang ahli sufi: "Semakin meningkat usia kita (terutama yang sudah memasuki usia tua, mulai 60 tahun) kurangkan beban memburu dunia sebaliknya meningkatkan amalan untuk ke alam sana.”
Seorang ahli pondok mengungkapkan: “Walau banyak mana pun harta yang kamu kumpulkan di muka bumi ini, suatu hari nanti akan musnah jua hartamu itu hinggalah kamu masuk ke perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah melakukan maksiat di muka bumi ini, maka suatu hari nanti kamu tetap akan diazab dalam perut bumi.
“Walau bagaimanpun kamu berlagak dan bertakabur di atas muka bumi ini, suatu hari nanti kamu tetap akan dihina dalam perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah dengan memakan dan minum minuman haram, suatu hari nanti tubuhmu tetap akan menjadi makanan ulat.”
Ya, sesungguhnya jarak masa kehidupan sekarang ini (berada di atas bumi) dengan berada di bawahnya (memasuki kubur) tersangat dekat, tetapi kebanyakan orang tidak mempedulikannya, mereka dibuai kelekaan untuk memperbanyak habuan dunia seperti harta benda, pangkat dan kuasa. Dalam mengejar impian ini, mereka tidak peduli sama ada perlu memijak kawan dan juga lawan malah sehingga sanggup menikam kawan dari belakang termasuklah melakukan fitnah. Hal inilah berleluasa sekarang.
Seorang bijak pandai pula mengandaikan perjalanan kehidupan ini bagaikan kembara ke puncak gunung. Di kaki gunung (sebelum memulakan pendakian), tentulah beban kita banyak (misalnya makanan, minuman dan pelbagai peralatan) tetapi semakin tinggi dakian kita, bebanan semakin berkurangan kerana sebahagian makanan sudah dihabiskan sehinggalah sampai ke puncak gunung beban dipikul hampir habis; tetapi hal sebaliknya berlaku kepada sebahagian besar manusia.
Selain memikul bebanan yang berat, mereka mengutip sisa-sisa di sepanjang laluan menjadikan perjalanan mereka semakin lama semakin sukar. Mereka sendiri menggalas beban yang tidak diperlukan malah ada yang memikul peti sejuk untuk ke puncak gunung yang bersalji. Cuba kita teliti kehidupan kita, apakah kita sudah rasa memadai dengan apa yang kita ada? Malah ada hadis yang menyebut jika kita ada dua buah lembah emas, kita rasa itu tidak memadai, kita mahu lembah ketiga dan seterusnya.
Demikianlah perjalanan kehidupan yang meletihkan. Peluang hidup disia-siakan, dihabiskan semata-mata bagi mengumpul harta, dinar dan emas perak yang semuanya tidak laku apabila sampai di puncak gunung nanti (matilah).
Apabila emas, perak, pangkat dan kuasa menjadi buruan, berleluasalah gejala sosial yang maha hebat sekarang ini. Masyarakat sudah teruk, bahana keruntuhan institusi keluarga sudah dirasai dengan meningkatnya kes bunuh, bunuh diri, penderaan, zina, pembuangan bayi dan aneka maksiat lain.
Itulah, 'kawan fikir' saya pada majlis tasawuf berkenaan berkata, semakin meningkatnya usia kita yang menghampiri kematian, kurangkanlah sedikit demi sedikit kelazatan dunia sebaliknya tingkatkan amalan ke alam sana sehingga apabila hampir ‘yakin’ (mati), dunia dapat kita tinggalkan dengan reda dengan keberuntungan akhirat seolah-olah sudah memanggil-manggil kita!
No comments:
Post a Comment