Monday, October 11, 2021

Rabiulawal 4, 1443: Barangan dunia tiada harga...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"...dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), untuk menjelaskan dan (juga memberi) petunjuk serta rahmat dan pengkhabaran gembira bagi orang-orang yang tunduk kepada-Nya." (Maksud Ayat 89 Surah an-Nahl)


SUATU pagi anak cucu jiran saya datang beramai-ramai ke rumah kecil peninggalan atuk mereka. Datuk mereka sudah meninggal dunia hampir 20 tahun lalu dan sekarang ini baharu mereka berpeluang bergotong royong (melakukan operasi pembersihan) selepas anak lelaki terakhir atuk meninggal dunia baharu-baharu ini.


Anak lelaki atuk ini 'jenis tak kisah' - barangan atuk semuanya termasuk pakaian, selipar, kasut dan alat pertukangan seperti tong dan tin cat dibiarkan bersepah dan dia hidup dalam timbunan barangan itu sehinggalah setahun dua lalu dia pun tak tahan lantas tumpang tidur di rumah seorang kakaknya.


Untuk mengangkut barangan itu, sebuah syarikat pembersihan dipanggil bagi menyediakan sebuah tong (kontena) besar. Saya lihat cucu-cucu atuk bertungkus lumus mengangkat segala jenis barang seperti bekas plastik buruk, rangka basikal lama, kayu buruk malah rangka sebuah kerusi  malas.


Mereka juga terpaksa mencungkil dan mengangkat atap zink berkarat dan hampir menyembam bumi dalam operasi pembersihan itu. Menjelang tengah hari, kontena itu sudah penuh dengan segala sampah sarapnya.


Demikianlah, saya yang melihat; MEMUHASABAH DIRI. Wahai LanH, tak guna kau himpun BANYAK-BANYAK BARANG di dunia ini. Semuanya akan sampai ke penghujung. Semuanya menyemakkan sama ada orang hidup atau ORANG SUDAH MATI. Barangan kau itu tak berguna pun pada diri kau. Orang di dunia ini pun tak suka dengan apa yang kau tinggalkan. Buat menyemak saja.


Alangkah BAGUS jika barangan yang kau ada itu, kau manfaatkan sepenuhnya sebelum kau mati - sedekah atau hadiahkan kepada orang yang boleh manfaatkannya atau kau JUAL dan hasilnya kau sedekah, infak dan membuat pelbagai kebajikan lagi. 


Ya, alangkah bagus jika HASILNYA kau sudah POSKAN ke akhirat.......ya AKHIRATLAH sebenarnya destinasi kita. Kita berkekalan di SANA dan perlukan BIAYA yang banyak. Harta dunia yang kita tinggalkan TIADA NILAI lagi..ya alangkah bagus jika kita sudah sedekahkannya untuk ganjaran akhirat kita.


No comments: