Monday, October 4, 2021

Safar 27, 1443: Kenapa kasih yang cantik sahaja?

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 


Renungan


"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)



KATA bijak pandai sebagai makhluk setiap daripada kita adalah pengemis. Mungkin ada orang terutama yang kaya, berkuasa, ternama dan berpangkat tidak dapat menerima hakikat ini, jadi moleklah saya mengutarakan hal ini yang diharapkan dapat membuka mata dan hati kita semua.


Tidak lama dahulu heboh kisah seorang artis cantik kehilangan seekor kucing yang 'cantik'. Ya, ramai orang 'menyayangi' kucing. Ini kisah seorang daripadanya, tetapi bukanlah membabitkan artis itu. 


Di rumah orang ini ada sejumlah kucing; dan apabila diberi kucing-kucing makan di luar, maka adalah seekor dua kucing termasuk 'kucing kurap' datang untuk menumpang makan. Apa yang menyedihkan, hanya kucing-kucing kesayangan diberi makan sebaliknya si kucing kurap diusir. Ya, kucing-kucing cantik milik sendiri disayangi tetapi yang kurap tidak dikasihani.


Kenapa manusia membeza-bezakan layanan sesama binatang; menyayangi yang comel dan cantik tetapi membenci yang kurap? Mungkinkah orang ini bukan penyayang binatang tetapi menyayangi 'kecantikan dan kecomelan'. Hanya Allah Yang Maha Berkuasa Mengetahui; kepada-Nya kita meminta pengampunan.


Apa yang kita amat kita bimbang, jika kita tidak mengasihi makhluknya di bumi atau melakukannya secara terpilih-pilih, yang di langit (seperti malaikat-Nya) apatah  lagi Allah SWT tidak mengasihani kita atau melakukan sikap terpilih-pilih pula. Inilah yang amat kita takuti. Jika kita mengusir si kucing kurap tanpa belas kasihan, ingatlah Yang Maha Berkuasa pada bila-bila masa boleh menjadikan kita 'manusia kurap'.


Misalnya, sekali Dia tarik satu 'suis' di tubuh kita, maka menderitalah kita dengan penyakit angin ahmar. Lumpuh satu badan. Terbaring kaku di katil tetapi nafas masih ada. Berhari-hari koma kemudian bertukar minggu dan bulan. 


Bahagian bawah badan akhirnya bertokak. Seluruh tubuh mula berkudis. Kerana lama kita dirawat, banyak harta dan wang kita habis. Boleh jadi kita akhirnya jatuh miskin, papa kedana. Orang termasuk anggota keluarga menjadi benci - mereka bertanya, bila 'orang tua ni' nak mati?


Demikianlah akhirnya kita menjadi 'orang kurap'. Dulu kita mengusir si kucing kurap, kini kita pula menjadi 'manusia kurap'. Takutilah, wahai pembaca budiman terutama diri ini, Allah pada bila-bila masa boleh menjadikan kita 'manusia kurap'. Apabila sudah menjadi 'manusia kurap' apakah masih ada harapan kepada kita?


Jawapannya, insya-Allah harapan masih ada, kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang kepada semua hamba-Nya. Bertaubatlah dan merintihlah seperti apa yang ucapkan doa pada awal celoteh ini: "Aku memohon kepada-Mu umpama si miskin yang meminta-minta, aku juga tunduk di hadapan-Mu sebagai orang yang berdosa dan hina. Aku memanjatkan doa kepada-Mu umpama orang yang dicengkam rasa takut dan bahaya sebagai hamba yang patuh dan tunduk di hadapan-Mu."


Selain penyakit; sejarah mencatatkan berapa banyak orang kaya, ternama dan masyhur akhirnya menjadi tinggal sehelai sepinggang atau menjadi pengemis disebabkan bencana seperti berlakunya kebakaran dan bencana alam malah 'dijual' sendiri oleh anak-anak, suami atau isteri dan rakan masing-masing. Malah ada yang 'lingkup' kerana kemerosotan ekonomi dan jenayah kewangan mereka sendiri.


Emperor (Maharaja) Moghul yang masyhur dan kaya raya, Shah Jahan, yang terkenal dengan 'Taj Mahal'nya, pada penghujung hayatnya dikatakan 'dikurung' sendiri oleh anaknya. 


Dari 'kamar tahanan', dia melihat penuh sedih Taj Mahal; kuasa akhirnya sudah terlerai daripadanya; dia hidup penuh kesepian dan kehinaan kerana dunia sudah terlepas dari tangannya sekalipun dia belum mati!

No comments: