Sunday, October 3, 2021

Safar 26, 1443: Di ambang usia warga emas...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Masa penuaian umur umatku dari 60 hingga 70 tahun." (Riwayat Imam Muslim dan Nasai)


TIGA bulan lagi tahun 2021 akan berakhir...termenung saya memikirkan bahawa diri ini yang dilahirkan pada Februari 1962 akan menginjak usia warga emas tidak lama lagi.


Sekalipun kerap memikirkan 'nasib' sebagai warga emas, hati makin cemas apabila mendengar celoteh seorang cendekiawan di sebuah radio tempatan beberapa hari lalu mengingatkan "mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, sebenarnya sebelah kaki mereka sudah berada dalam kubur." Subhanallah, alangkah ngerinya!


Pada peringkat awal menyertai sebuah akhbar harian hampir 40 tahun lalu, editor saya menyuruh saya menjejak golongan pesara bagi mendapatkan cerita mereka bagi dimuatkan dalam kolum diberi nama 'Selepas 55'.


Umur persaraan wajib bagi kakitangan kerajaan dan sebahagian pekerja sektor swasta ketika itu adalah 55 tahun (sekarang 60 tahun); selepas pencen ramai yang terus bekerja seperti menjadi usahawan, pengarah syarikat dan tak kurang menjadi 'jaga' (pengawal keselamatan).


Sekarang ini saya pula berada dalam golongan layak diwawancara untuk kolum 'Selepas 55' itu...demikianlah dunia sudah berubah...yang bayi sudah remaja, yang muda sudah tua dan yang tua sudah masuk kubur...


Ketika memulakan kerjaya di akhbar berkenaan saya berusia pertengahan 20-an, jadi hampir semua cerita pesara yang saya kumpulkan adalah berkaitan kegiatan keduniaan sesuailah dengan kehendak editor dan wadah akhbar berkenaan.


Kini dalam usia 'senja' titipan-titipan saya dalam ruangan ini insya-Allah kebanyakannya akan menyentuh hal-hal kerohanian...ya dalam bahasa mudah - wacana-wacana sebagai persediaan masuk kubur!


Teringat saya akan majlis-majlis bayan 'budak tabligh' yang kadang-kadang saya sertai di mana si tukang cakap kerap mengingatkan hal ini - kalau sebuah lori membawa tembikai, apakah agaknya yang akan bertaburan (termuntah) jika lori itu berlanggar? Tentunya tembikai...jadi demikianlah dengan mulut kita ini, jika sibuk berzikir, insya-Allah apabila 'eksiden' (nak mati) nanti akan 'termuntahlah' kalimah-kalimah suci.


Sebagai 'cerita tambahan' bagi menambah takut akan kematian, ada yang membawa kisah bagaimana seorang pemandu teksi yang kerap menyebut destinasi teksinya iaitu 'JB' apabila nak mati asyik sebut 'JB, JB, JB' saja!


Semua orang akan mati, tidak kira tua atau muda. Namun ulama menegaskan bahawa usia tua adalah tanda hampir kematian. Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda bermaksud: "Masa penuaian umur umatku dari 60 hingga 70 tahun." (Riwayat Imam Muslim dan Nasai)


Tidak kira si kaya atau si miskin, tua atau muda, raja atau perdana menteri berupaya mengelakkannya. Yang pasti kematian itu tetap datang dan inilah digeruni semua orang apatah lagi orang sudah tua seperti saya. Tua adalah sinonim dengan kematian!


Seorang pemikir menyatakan betapa azabnya menjadi seorang tua berdasarkan rintihan seorang tua ini:


* Malam hari ketika aku diperlukan tidur (masa orang lain berdengkur) aku tak boleh tidur. Aku resah di atas tilam empuk sekalipun duitku berkepul dan hartaku menimbun. Pusing sana pusing sini, tidak dapat tidur juga. Malamku yang penuh resah, sungguh panjang sekali. Anehnya pada masa aku tidak diperlukan tidur misalnya pada majlis tazkirah atau zikir malah ketika solat, aku berdengkur pula. Kadang-kadang ketika ceramah di masjid, aku yang bersandar di tiang, tup-tup sedar majlis sudah habis…


* Kadang-kadang datang keinginan meluap-luap aku nak makan sejenis atau dua lauk. Aku pun kerah anak atau isteriku memasaknya. Mengidamlah tu Tetapi apabila aku cicahkan saja lauk itu ke dalam mulut aku, tidak pula terasa sedapnya. Selera aku nak makan tumpul sama sekali. Apabila ini berlaku, anak bini berkata aku mengada-ngada, nak makan itu dan ini tetapi selepas dimasakkan tak makan pula!


* Hajat aku besar, nak buat itu dan ini. Kata orang nafsu besar, tenaga tak ada. Berhajat juga kahwin muda. Malah dah pun kahwin muda pun. Kepada seorang rakan baik aku membisik-bisikan hal ini. “Macam mana ini Mat, ‘dia ni (isteri mudaku) hari.. harimau’ (hari-hari mau).” Mat menjawab gampang: “Kereta usia 70 tahun masakan padan dengan enjin 20-an!”


Demikianlah banyak azabnya menjadi orang tua, tetapi persoalannya mengapa nafsu kita masih membuak-buak? Itulah, tuntutlah ilmu, misalnya kalau ada ilmu tahulah kita hanya tiga perkara membawa manfaat kepada seseorang selepas dia mati iaitu anak salih yang mendoakannya, ilmu yang bermanfaat dan akhirnya sedekah jariah, jadi perbanyaklah sedekah sebelum mulut dipenuhi tanah. Nasihat ini bukan untuk pembaca saja, saya juga yang sudah tua ini!


Sebelum menamatkan celoteh ini, renung-renunglah kisah bekas guru, Bahrum Bakar dari Damansara Heights, yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 baharu-baharu ini (rujuk laporan Bernama mengenai kisah inspirasi ini agar kita terus 'steady' menghadapi hari tua).


No comments: