DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
APABILA tidak lagi berkuasa, bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter dipetik sebagai berkata: "Rakyat awam Palestin dilayan seperti binatang seolah-olah mereka telah didapati bersalah kerana melakukan satu jenayah besar."
"Ini adalah semata-mata kerana mereka telah mengundi calon-calon daripada gerakan Hamas. Amerika Syarikat kini menjadi kuasa utama bagi menghalang rakyat awam Palestin daripada menikmati hak mereka. Mereka dinafikan sebarang bantuan hatta bagi memenuhi keperluan hidupan harian mereka sendiri."
Demikianlah betapa ramai pemimpin dunia yang tidak lagi berkuasa bercakap lantang mengenai hak asasi manusia, perdamaian dan keamanan, kononnya.
Carter dan 'geng pencennya' seperti Bill Clinton, berani bercakap mengenai ketidakadilan dan kerakusan pemimpin kerajaan yang bersemayam di Washington, London, Moscow dan Paris. Mungkinkah mereka berani bercakap demikian sebab tidak lagi berkuasa?.
Kenapa Carter yang sudah lama pencen, baharu perasaan penduduk Palestin dilayan seperti binatang? Tidakkah dahulu ketika beliau menjadi Presiden Amerika, penduduk Palestin juga diperlakukan bagai binatang. Adakah ketika beliau menjadi orang paling berkuasa di dunia dahulu, rakyat Palestin mendapat layanan 'first' atau 'world class'?
Carter dan 'geng' seangkatannya asyik berbincang, berbincang dan terus berbincang, tetapi bagaimana nasib rakyat Palestin. Tidakkah ketika itu mereka pun hidup lebih teruk daripada bintang? Zionis mengganas, Carter pun buat-buat tidak tahu.
Seorang lagi bekas Presiden Amerika, Bill Clinton yang dinobatkan 'sebagai manusia paling berkuasa' di dunia pun, hanya membatu apabila ribuan umat Islam Bosnia disembelih pengganas Serb.
Demikian juga Thatcher, si Wanita Kuku Besi tidak peduli akan nasib manusia di Dunia Ketiga. Clinton selepas tidak berkuasa, cuba-cuba berperanan sebagai Duta Keamanan di Aceh selepas tsunami kononnya, tetapi nampaknya tidak menjadi.
Bekas Presiden Amerika lain seperti George W Bush dan bekas PM Britain, Tony Blair menjadi penyembelih umat Islam di Asia Barat. Ratusan ribu rakyat Iraq menjadi korban perang dipaksakan akibat tuduhan kononnya presidennya ketika itu Saddam Hussein mempunyai senjata pemusnah besar-besaran. Tetapi ternyata semuanya bohong.
Semua pemimpin ini ada rekod buruk mengenai kemanusiaan. Tetapi selepas tidak lagi berkuasa, tahu pula mereka mana yang baik dan mana yang buruk. Lantang pula mereka bercakap mengenai kesamarataan dan keadilan.
Jika dikaji sejarah peradaban manusia, ada tokoh ternama insaf selepas tidak lagi berkuasa atau nyawa sudah berada di halkum. Firaun pada zaman Musa adalah salah satu contoh.
Selepas hampir lemas, baharulah dia mengakui kebenaran dan Tuhan Nabi Musa a.s. tetapi semuanya sudah terlambat. Banyak kisah raja-raja besar dunia mengungkap perkara yang sama.
Harun Al-Rashid, Khalifah Abassiyah yang terkenal dan mempunyai kerajaan dari Timur ke Barat, melolong bertanya, mana barisan askar-askarnya hebat dan lengkap bersenjata itu untuk menghalang kedatangan Malaikat Maut.
Harun insaf bahawa sekuat mana dan sebanyak mana kuasanya, dia pasti mati. Keinsafan itu datang ketika berada di katil pembaringan, menunggu maut.
Tetapi ada insan yang keinsafan itu tidak datang sekalipun berada di ambang kematian. Abu Jahal adalah salah seorang daripadanya. Ketika hampir maut di medan perang, dia mengucapkan kalau masa hidup dia tidak beriman, apatah lagi di ambang kematian.
Di tanah air kita pun, keadaan yang sama berlaku. Ramai orang yang sudah pencen baharu insaf, termasuklah di kalangan pemimpin. Selepas tidak berkuasa baharulah mereka terhegeh-hegeh nampak itu tidak betul, ini tidak betul sedangkan ketika dia berkuasa, semuanya betul sahaja pada pandangannya; pendapat orang lain tidak diterimanya langsung.
Demikianlah perjalanan hidup manusia dipenuhi pelbagai pancaroba. Ada bijak pandai mengungkapkan mengenai kepelikan manusia; semasa kecil, tenaga dan akal kurang bagi mengharungi dunia; apabila muda, tenaga banyak, nafsu tinggi tetapi pengalaman kurang maka mudahlah tersadung; apabila sudah tua, akal banyak, pengalaman pun banyak tetapi tenaga sudah habis, maka terbantutlah segala cita-cita. Yang ada hanya menunggu masa ke kubur!
No comments:
Post a Comment