Tuesday, October 12, 2021

Rabiulawal 5, 1443: Dunia makin bersih?

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Demi masa. sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Ayat 1-3 Surah Al-Asr


AKIBAT perintah 'berkurung' gara-gara pandemik Covid-19, dunia kini semakin bersih, dakwa sesetengah orang. Alam menjadi segar dan ceria. Ada yang berkata sudah nampak puncak Gunung Everest dari kejauhan. Sesetengah sungai pula, aliran airnya didakwa semakin bersih.


Alhamdulillah, jika itu kesan daripada 'keberhentian' sementara aktiviti 'mencemar' manusia, baguslah. Namun harap-harap ia tidak bersifat 'sementara' kerana manusia ini sifatnya 'rakus', kebanyakannya pemusnah alam - dari dulu sampailah sekarang.


Apabila orang bercakap sudah nampak puncak Gunung Everest, dulu semasa kecil pada tahun 1970-an, dari nun kejauhan di kampung saya di Melaka Tengah, pada awal pagi ketika menunggu bas sekolah, sekali-sekala saya nampak puncak Gunung Ledang.


Jika Gunung Everest sudah nampak, mungkin Gunung Ledang juga akan kelihatan, saya meneka. Jadi suatu pagi saya keluar rumah, 'menempatkan diri' berhampiran lokasi yang dulunya saya nampak puncak Gunung Ledang.


Hasilnya, 'hempeh'...jarak penglihatan saya cuma 300 meter - di depan saya sudah tercanggak deretan kedai sedangkan di atas tapaknya dulu adalah kawasan bendang yang meluas. 


Pembangunan dan pembangunan sudah mengubah landskap kampung saya yang kini rasanya tidak 'relevan' langsung memakai nama kampung. 


Jika dulu puncak Gunung Ledang boleh dilihat berbalam-balam dari kejauhan hatta dari Melaka (mungkin ini menyebabkan Sultan Melaka termimpi-mimpi siang malam sang Puteri Gunung Ledang), rasanya zaman (keadaan) itu tidak mungkin berulang.


Ini kerana kemuncak tertinggi yang mampu saya lihat dari lokasi yang sama sekarang adalah 'tiang', struktur tinggi 'baldi' (bucket) iklan 'datuk ayam' (KFC). Hasilnya, bermimpilah kita, kalau tak pun anak-anak cucu kita yang asyik-asyik mengidam nak makan ayam goreng 'datuk ayam'!


No comments: