Saturday, October 16, 2021

Rabiulawal 9, 1443: Berperananlah bagai burung cuba padam api bakaran Nabi Ibrahim! (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Menahan jiwanya daripada keinginan yang rendah (hawa nafsu). Syurga itu tempat diamnya." (al-Nazi'at 79: 40-41)


PADA sambutan Maulud Nabi (ulang tahun keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiulawal) yang lalu-lalu, sudah beberapa kali saya mendengar syarahan ustaz yang menyatakan setiap orang perlu berperanan dalam menegakkan kebaikan dan menghalang kejahatan (mungkar). 


Sumbangan itu bukannya perlu yang besar-besar sebaliknya mengikut kemampuan masing-masing.


Kata ustaz-ustaz ini Allah SWT tidak bertanya sama ada kita berjaya atau tidak dalam usaha itu, yang akan ditanya sama ada kita melakukan usaha atau tidak. 


Mereka mengambil kisah seekor burung kecil yang pada ketika Nabi Ibrahim a.s. dibakar oleh Raja Namrud berusaha bersungguh-sungguh menyiram api menjulang itu dengan mencurahkan air yang ditampung dalam paruhnya.


Apabila ditanya kepada burung itu apakah dibuatnya kerana tidak mungkin api itu padam dengan perbuatannya yang nampak sia-sia itu, burung itu berkata dia takut kepada Allah, ia hanya menjalankan tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran dan menghalang kejahatan; untuk api itu padam itu bukan urusannya, itu urusan Allah SWT, Sang Pencipta alam ini. 


Ertinya burung itu menjalankan peranan setakat yang mampu dilakukannya.


Nah, wahai saudara-saudari sekalian (termasuklah diri saya), bukalah mata zahir dan mata hati dan amat-amatilah sama ada kita telah menjalankan peranan kita sebagai penegak kebenaran dan pembasmi kejahatan. 


Malulah pada burung kecil yang berusaha memadam api raksaksa yang membaham Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita duduk membatu menyaksikan kemungkaran di depan mata. Ayuh gerakan tubuhmu yang pasti lebih kuat daripada burung kecil itu.


Biasalah sebagai manusia yang lemah dan kerap membuat kesilapan, jika tiada pihak membuat teguran kita akan besar kepala dan fikir apa yang kita buat adalah benar belaka. Inilah yang terjadi kepada penyakit umat-umat terdahulu termasuklah Firaun, Namrud dan Hamman dan sekarang ini menjangkiti pemerintah dunia termasuk di bumi Arab dan alam Melayu.


Maka tugas kita adalah membuat kebaikan, hatta hanya berperanan sebagai si burung pada zaman Nabi Ibrahim dulu!


No comments: