Sunday, June 20, 2021

Zulkaedah 9, 1442: 'Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan'...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Hai anak keturunan Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itu adalah yang paling baik." (Al'A'raf ayat 26)



PADA tahun 70-an penulis bersekolah di Perak dan ketika cuti, dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Melaka kerap singgah di masjid untuk solat. Masih terbayang, kebanyakan pekarangan masjid terutama di Perak ketika itu terdapat papan tanda ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan’.


Slogan ini masyhur dan sehingga kini masih ada pekarangan masjid diserikan papan tanda ini sedangkan papan tanda baru seperti mengenai kepentingan pemakaian topi keledar dan larangan merokok tidak berapa dihiraukan.


Amat menghairankan melihat papan tanda kempen memakai topi keledar di sesetengah masjid sudah rosak dan dibuang sebaliknya papan tanda ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan’ masih utuh.


Tentu ada kelebihan slogan ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan’. Pengertian slogan ini sungguh mendalam, terbayang keikhlasan mereka yang terbabit sama ada pencipta slogan, pembuat papan tanda dan pemasangnya. Pembaca sendiri boleh merasakan keikhlasan itu berbanding slogan pemakaian topi keledar atau maklumat mengenai pengharaman merokok.


Penulis cuba-cuba mencari pencipta slogan itu tetapi gagal menemuinya. Namun pencarian di Goggle menunjukkan ada 16,000 entri mengenai ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan’.


Apa yang menarik ada penyumbang mengubah suai slogan itu menjadi ‘Solatlah di belakang imam sebelum kamu disolatkan di depannya’. Maksudnya semasa hidup bersembahyanglah sebagai makmum sebelum kamu jadi mayat, diletakkan di depan imam untuk disolatkankan.


Sungguhpun slogan ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyang’ menggunakan bahasa amat mudah tetapi ia tidak terlepas dari menjadi polemik. Berikut disiarkan tulisan Dr Ghani Ismail sebagaimana dipetik daripada http://www1.tganu.uitm.edu.my/upena/ARKIB_May2008.htm


“Ungkapan ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangi,’ atau ‘Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan’ sering kita lihat di sesetengah masjid atau surau di negara kita sebagai ingatan kepada umat Islam agar jangan mengabaikan atau meninggalkan solat yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas hamba-Nya.


Langkah menulis ungkapan tersebut sama ada pada papan tanda atau pada dinding masjid/surau adalah satu usaha murni sebagai salah satu cara berdakwah, iaitu sentiasa saling ingat-mengingati sesama kita ke arah melaksanakan perintah agama.


Persoalan yang timbul ialah penggunaan bahasa dalam ungkapan tersebut. Walaupun polemik terhadap penggunaan kata ‘disembahyangi’ atau ‘disembahyangkan’ telah lama berlalu, impaknya jelas bahawa masyarakat kita masih memberikan perhatian terhadap penggunaan bahasa yang betul.


Ini menunjukkan petanda yang baik bahawa penggunaan bahasa Melayu masih tidak diabaikan oleh masyarakat kita.


Berbalik kepada persoalan di atas, sekadar pengetahuan, penggunaan kata ‘disembahyangi’ dikatakan agak kurang tepat kerana pada kebiasaannya penggunaan imbuhan akhiran kata kerja pasif di –i memberi pengertian kausatif atau menyebabkan jadi. Dalam konteks ungkapan di atas, secara mudahnya kata ‘disembahyangi’ mungkin membawa maksud orang yang telah mati menjadi lebih bersungguh-sungguh untuk bersembahyang atau bersama-sama menunaikan sembahyang ke atas jenazahnya!.


Berbanding dengan penggunaan kata ‘disembahyangkan’ adalah lebih tepat kerana penggunaan imbuhan di–kan dalam konteks ungkapan tersebut jelas membawa maksud benefaktif, iaitu melakukan sesuatu untuk orang lain. Memang benarlah bahawa orang lain akan menyembahyangkan jenazahnya nanti. Itulah uniknya bahasa Melayu. Kesalahan menggunakan kata akan menyebabkan maksudnya menjadi kurang tepat.”


Sekalipun sembahyang perkara kedua dalam Rukun Islam, terlalu ramai umat Islam mengabaikannya. Penulis teringat seorang ustaz ketika menekankan bagaimana beratnya solat, merujuk kepada buruh yang mampu mengangkat batu-batan berat tetapi apabila tiba waktu solat tidak mampu menunaikannya; sesetengah tidur pada waktu solat zuhur.


“Ini menunjukkan solat itu amat berat, ada manusia boleh mengangkat batu tetapi tidak mampu menunaikan solat,” katanya.


Beliau juga mengingatkan akan 15 azab menunggu orang yang melalai apatah lagi meninggalkan sembahyang.


Katanya, enam perkara adalah azab di dunia iaitu; dihilangkan keberkatan umurnya, terhapus tanda-tanda orang soleh pada mukanya, segala amalannya tidak dikurniakan pahala, doanya tidak dimakbulkan oleh Allah SWT, tiada doa daripada para solihin untuknya dan yang terakhir keluar roh daripada jasadnya tanpa iman.


Sementara itu azab ketika hampir mati; kematiannya penuh kehinaan, kematiannya di dalam kelaparan yang hebat dan kematiannya di dalam kehausan yang dahsyat.


Dia juga menerima azab di dalam kubur iaitu kubur menghimpitnya sehingga berselisih tulang rusuknya, dinyalakan api di dalam kuburnya lalu ia dibalik-balikkan di atas bara api itu manakala datang seekor ular bernama Syujja' Aqra, suaranya laksana petir, ia berkata, "Hai manusia! sesungguhnya aku diperintahkan

menyeksa kamu dari zuhur hingga asar kerana kamu meninggalkan fardu zuhur, dari asar hingga maghrib kerana meninggalkan fardu asar…” Begitulah seterusnya dan azab ini berkekalan sehingga hari kiamat.


Ada pun azab ketika bertemu Allah SWT; datang malaikat dengan rantai panjang 70 hasta lalu membelenggu lehernya dan disumbat ke dalam mulutnya kemudian disentap keluar rantai itu melalui duburnya, lalu diseret ke Neraka Saqar, tiada rahmat Allah dan tiada keampunan untuknya dan baginya azab amat pedih.


Ingatan untuk sembahyang selalu dipesan oleh ustaz tetapi cabaran melaksanakannya amatlah berat. Ada hadis menyatakan suruhlah anak kamu solat ketika berusia tujuh tahun dan rotannya mereka jika tidak menunaikannya apabila dia berusia 10 tahun. Ini menunjukkan betapa beratnya untuk istiqamah menunaikan solat; hatta seseorang mampu mengangkat batu yang amat berat tetapi untuk solat dia tidak mampu!

No comments: