Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
ANTARA DUA PANTUN INI, MANA LEBIH TEPAT?
1.
Puas sudah kutanam padi,
Nenas juga ditanam orang;
Puas sudah kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.
2.
Puas sudah kutanam padi,
Lalang juga memenuhi ladang,Puas sudah kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.
SEORANG pembaca memberikan jawapan
Nun di akhirat menjadi taruhan,
Tempat kita merdeka selamanya,
Budi dan emas hanyalah ujian,
Tanda keadilan Yang Maha Kaya.
PADA usia 'tak berapa muda' ini, saya cuba bergaul dengan sebanyak mungkin golongan - daripada jemaah tabligh sehinggalah golongan geladangan termasuk pengemis di jalanan. Sungguh tidak mudah membuang rasa ego; sukar sekali untuk duduk-duduk bersama-sama golongan fukara ini yang amat dikasihi Rasulullah s.a.w.
Suatu hari ketika satu majlis ‘bayan’ jemaah tabligh, terdengar ungkapan ini yang begitu mengesankan hati saya. Kata si penyampai, kalau kita tanam lalang tak mungkin tumbuh padi; tetapi kalau kita tanam padi, insya-Allah lalang (menerung) akan tumbuh.
Apa yang dimaksudkannya, jika kita mengejar dunia (menanam lalang) tidak mungkin kita dapat hasil akhirat (padi) tetapi jika kita menanam benih akhirat (padi), insya-Allah kedua-duanya kita dapat. Malah dunia (lalang) akan tetap mengikut si pengejar akhirat.
Pengalaman saya ketika bertawaf di Kaabah, bacaan paling kerap kedengaran di kalangan jemaah adalah ‘Rabbana atina fiddunya hasanah, wafil akhirati hasana, waqina azabannar’ yang bermaksud “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat; dan peliharalah kami daripada seksa neraka.” (Surah Al-Baqarah, ayat 201)
Ya, koreksilah diri kita, marilah kita sama-sama berusaha mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat. Namun apa yang dapat disaksikan hari ini sebahagian besar manusia jadi pengejar dunia dan jarang benar memikirkan bahagian (saham) mereka di akhirat.
Marilah kita melihat contoh-contoh mudah dalam kehidupan bagi membuktikan kita ghairah mengejar dunia dan mengabaikan akhirat. Sebagai orang media, saya mengambil akhbar sebagai contoh. Dalam dunia penerbitan (termasuklah persuratkhabaran), malah dunia bisnes amnya, matlamat utama adalah untuk mendapat keuntungan – lagi besar lagi baik.
Sumber utama pendapatan akhbar adalah daripada jumlah jualan dan iklan. Bagi menarik pembaca (melariskan akhbar), antara kaedahnya adalah menyiarkan laporan sensasi dan penyiaran gambar artis terlondeh sana sini. Bagi iklan pula, penerbit jarang memikirkan soal haram, yang penting wang masuk. Jadi tidak hairanlah jika iklan perjudian seperti empat nombor ekor terus disiarkan akhbar. Akhbar laris, penerbit, peneraju dan wartawan berasa mereka berada di puncak dunia.
Demikian juga kisahnya dalam dunia penerbitan filem. Bagi memikat orang ramai menonton, diselitkan adegan ranjang dan artis-artis menonjolkan susuk tubuh masing-masing. Sebahagian besar daripada adegan dan aksi itu tidak perlu pun, ia hanya mahu dijadikan gimik atau daya tarikan semata-mata.
Jadi di sini, dapat dilihat betapa pihak-pihak berkaitan berlumba-lumba berusaha untuk mendapatkan bahagian mereka di dunia. Benar mereka boleh mendapatkan bahagian mereka di dunia seperti keuntungan besar seperti yang diidam-idamkan, tetapi bagaimana pula bahagian mereka di akhirat kelak?
Sebenarnya bahagian mereka di dunia itu pun menjadi sia-sia jika rezeki yang diperolehi tiada kebarakahan Allah SWT. Tidakkah kita insaf bahawa ada orang berpendapatan RM10,000 sebulan masih berkeluh kesah mereka tidak cukup wang sedangkan orang bergaji RM2,000 dapat membereskan urusan keluarga mereka dengan baik. Malah dapat menyimpan dan menunaikan haji.
Bagi insan yang sedar akan dosa dan pahala atas setiap apa yang mereka kerjakan; usaha mereka dapat dijadikan modal dalam meraih keuntungannya di akhirat nanti. Misalnya seorang penulis yang berdakwah melalui penanya, mengajak orang membuat kebajikan; selain wang upah didapatinya, balasan pahala juga menantinya di akhirat nanti.
Seseorang yang menulis artikel lucah atau fitnah atau seorang jurugambar mengambil gambar artis separuh bogel juga akan mendapat ganjaran di dunia dan akhirat; di dunia dalam bentuk wang ringgit juga (tetapi tanyalah sama duit itu barakah atau tidak) manakala di akhirat nanti balasan seksa yang tidak terhingga azabnya. Ini kerana dia telah menjual agamanya (melanggar hukam-hakam agama) semata-mata untuk mendapatkan sedikit keuntungan di dunia.
Orang yang melakukan maksiat membabitkan dirinya sendiri seperti melihat filem lucah tentunya tidak sama dosanya dengan si tukang pembuat dan penyebarnya. Demikian juga pengikut dan pemimpin – si pemimpin adalah lebih berdosa kerana telah menyesatkan begitu banyak orang.
Sama seperti pemimpin yang menyesatkan ribuan atau jutaan pengikut, orang media yang menjadi tukang fitnah atau penyebar gambar lucah juga akan menanggung dosa teramat berat kerana sebaran mereka menjangkaui ratusan ribu malah jutaan pembaca.
Jika sebuah akhbar dicetak 350,000 naskhah sehari, kemungkinan jumlah pembacanya 1,000,000 orang; jadi cuba bayangkan dosa yang terpaksa ditanggung jika 2,000,000 biji mata terjojol menatap gambar lucah yang mereka siarkan!
No comments:
Post a Comment