Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
KETIKA di 'U' dahulu, lagu 'Namunku Punya Hati' nyanyian kumpulan Revolvers; antara lirik lagunya berbunyi "tidakku minta, lahir ke dunia..." menarik minat saya malah banyak orang. Lagu ini mengisahkan rasa hati seorang OKU; ya siapa yang meminta dilahirkan sedemikian? Namun semuanya adalah atas kehendak Yang Maha Kuasa.
Sebagaimana nasib OKU, seseorang itu tidak meminta dilahirkan sebagai Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Melanau dan Bajau. Demikian juga Inggeris, Perancis, Arab, Parsi dan sebagainya. Bangsa-bangsa yang ada di muka bumi adalah atas kehendak Allah SWT, tiada siapa boleh memilih untuk menjadi Melayu, Cina, India, Arab, Inggeris atau Perancis.
Sehubungan itu adalah tidak tepat untuk berjuang berdasarkan bangsa yang semakin ghairah diusahakan pihak-pihak tertentu di negara kita. Hakikatnya perjuangan perkauman bukan ajaran Islam. Ya, bagaimana kita boleh berjuang berdasarkan sesuatu ketetapan yang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa? Apakah kita mahu mencabar ketetapan-Nya?
Semua manusia, datuk dan nenek kita adalah Adam dan Hawa (Eve). Daripada kedua-duanya lahirlah generasi baharu yang berbangsa-bangsa; tiada siapa berupaya menentukan bangsanya sebelum dia lahir melainkan ia adalah ketentuan Yang Maha Kuasa, bukan atas usaha atau kehendak seseorang.
Berhubung ketidak-wajaran berjuang berdasarkan bangsa, dapat difahami daripada sebuah hadis di mana Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa dan tubuh kamu dan tidak pada harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu." (Hadis riwayat Imam Muslim)
Ya, Allah SWT tidak memandang sama ada kita ini Melayu, Cina, India, Inggeris, Arab atau Parsi. Sehubungan itu perjuangan berdasarkan bangsa adalah tidak wajar namun di negara kita sejak akhir-akhir ini ada pihak begitu lantang 'meneriakkan suara perkauman' dan lebih malang lagi ia seolah-olah mendapat lampu hijau sesetengah individu pemerintah tertinggi negara.
Amalan rasisme ini sekiranya terus disuburkan dikhuatiri akan membiakkan gejala ekstremisme yang sama sekali tidak akan menguntungkan sesuatu bangsa itu sebaliknya akan menjejaskan masa depan negara pada keseluruhannya.
Adalah amat malang jika semangat perkauman terus disemarakkan yang jika diperhalusi adalah untuk kepentingan pihak dan pemimpin tertentu untuk terus berkuasa dulu, kini dan selamanya. Kita bimbang mereka menggunakan sentimen perkauman untuk menutup 'jenayah' masing-masing seperti rasuah dan penyelewengan kuasa yang sudah keterlaluan. Masakan bangkai gajah dapat disorokkan dengan nyiru - pasti lambat laun terbongkar jua.
Di Malaysia, Islam sering dikatakan sebagai Melayu dan Melayu itu sebagai Islam. Dakwaan ini kurang tepat kerana Islam ada untuk semua (Islam for all) dan sehubungan itu, umat umat Melayu Islam sewajarnya menampilkan wajah dan citra hakiki Islam sebagai agama rahmat sejagat. Mereka sewajarnya mengangkat prinsip kemuliaan insan atau karamah insaniyah yang dijamin Allah ke atas seluruh anak Adam tanpa mengira bangsa dan agama.
Ya, manusia berbeza-beza dari segi bangsa dan bahasa, dan di negara kita ada Melayu, Cina, India, Kadazan dan sebagainya; persoalannya mengapa Yang Maha Berkuasa menjadikan sedemikan? Cendekiawan berkata Allah SWT menciptakan manusia berpuak-puak dan berbangsa-bangsa agar mereka saling kenal mengenali dan bermuafakat dan bukan untuk bergaduh apatah lagi berjuang berdasarkan bangsa dan keturunan.
Kata cendekiawan, perbezaan bangsa, bahasa, warna kulit dan pelbagai ciri lain seperti tabiat, kesukaan serta kebencian adalah kepelbagaian yang sewajarnya dimanfaatkan untuk saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain dan bukan 'disalahgunakan' sebagai punca perbalahan serta permusuhan.
Ambil contoh mudah, misalnya dari segi makanan saja, alangkah beruntungnya warga Malaysia disebabkan diversiti bangsa, makanan sinonim dengan sesuatu kaum seperti nasi lemak, yong taufu, roti canai dan tom yom dapat dinikmati semua. Kalau sesuatu bangsa itu 'berlagak' kononnya apa yang ada pada mereka adalah yang terbaik sedangkan apa yang ada pada bangsa lain adalah terkeji, apa manfaat yang diperolehi?
Ya, kita tidak minta dilahirkan sebagai Melayu, Cina, India dan Iban tetapi kita boleh memanfaatkan sepenuhnya 'kemelayuan', 'kecinaan', 'keindianan' serta 'keibanan' kita untuk membina Malaysia dan dunia yang menjanjikan 1,001 harapan!
No comments:
Post a Comment