Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
KEGANASAN rejim Zionis di bumi Palestin dan pencerobohan Amerika di negara umat Islam mungkin ada kalanya dikaitkan dengan sikap bermusuh-musuhan umat Islam sesama sendiri.
Di Afghanistan, ketika kemuncak serangan Amerika ke atas kerajaan Taliban, muncul kumpulan Pakatan Utara yang menyertai tentera penceroboh bagi menawan Kabul.
Selain Pakatan Utara, wujud pelbagai kumpulan yang tidak menyenangi satu sama lain sehingga sanggup menjadi talibarut Amerika.
Hal yang sama berlaku di Iraq. Ketika kemuncak serangan tentera Amerika dan Britain, perpecahan di kalangan rakyat yang sedia wujud, menjadi semakin parah.
Ketika itulah orang Kurdis, orang Syiah dan sebagainya sibuk untuk menubuhkan kerajaan sendiri. Sehubungan itu, tidak hairanlah ada kumpulan yang menyertai tentera penceroboh bagi menumbangkan rejim Saddam Hussein.
Selepas kejatuhan kerajaan Afghanistan, kedengaran rayuan supaya umat Islam bersatu padu. Hal yang sama berlaku selepas Iraq dimusnahkan tentera Amerika. Rayuan demi rayuan dibuat tetapi hasilnya tidak ke mana.
Kenapa hal ini berlaku? Antara sebabnya ialah rayuan perpaduan itu disarankan kepada rakyat saja tetapi tidak sesama pemimpin. Jika dilihat senario dunia sekarang, bagaimanakah keadaan pemimpin umat Islam? Adakah mereka bersatu padu dan hidup bagaikan aur dengan tebing?
Berhubung perkara ini saya tertarik benar dengan kisah hidup pemerintah Mesir, Raja Malikul Muzafar Quthaz yang dapat menewaskan seterusnya menghalang kemaraan tentera Tartar (Mongol) daripada membinasakan dunia Islam pada abad ke 13 atau 14 Masihi dulu.
Selepas menghancurkan kota Baghdad, sekali gus mengakhiri pemerintahan Khalifah Abasiyah pada tahun 1258, tentera Mongol menghala ke Barat dan berjaya menawan satu demi kerajaan Islam.
Antara faktor kejatuhan kerajaan-kerajaan ini ialah sikap talam dua muka pemerintah dan rakyat, sama seperti dihadapi negara umat Islam hari ini.
Pemerintah bertindak zalim, memaksa rakyat bersatu padu tetapi pada masa yang sama mengerah rakyat supaya memenuhi perbendahaan negara (dana) bagi menghadapi musuh.
Bagaimanapul hal ini tidak dilakukan Quthaz, seorang raja yang pernah menjadi hamba tetapi akhirnya berjaya memerintah Mesir.
Dalam menghadapi kemaraan tentera Tartar baginda memanggil alim ulama, amir-amir, menteri, hakim dan pembesar negara untuk berbincang.
Dalam majlis ini Sultan meminta padangan mereka apakah dibolehkan mengutip wang dan mengambil harta rakyat untuk membiayai kelengkapan perang.
Dalam majlis ini, tidak seorang pun berani mengeluarkan fatwa kecuali Syekh Abdus Salam yang berkata, tindakan tersebut wajib dimulakan ke atas amir-amir dan pembesar negara.
Permintaan ini adalah sesuatu yang berat kerana sebelum ini tiada amir dan pembesar negara yang berbuat demikian. Bagi Sultan pula, fatwa Syekh Abdus Salam amat berat - bagaimana baginda mahu memaksa pembesar baginda menyerahkan sebahagian harta mereka?
Di dalam buku 'Wahai Islamku' tulisan Ali Muhammad Baktsir (terbitan Pustaka Nasional Pte Ltd Singapura-1986) ada diceritakan bagaimana Sultan Quthaz menunjukkan teladan bagi dicontohi raja-raja dan pemerintah selepasnya, termasuk pada hari ini.
"Sekarang akulah yang pertama turun tangan, menyetor emas dan perak yang aku miliki kepada Baitulmal. Inilah perhiasan Sultanmu," kata Malikul Muzafar menunjukkan pada peti yang terletak di hadapannya itu.
"Sekarang aku serahkan harta ini kepada Baitulmal. Di hadapanmu sekarang aku bersumpah kepada Allah. Aku tidak mengambil hasil negeri ini selain daripada kebutuhan diriku. Sekali-kali aku tidak akan melebihi bahagianku daripada bahagianmu, katakanlah aku ini menyimpan harta dan kekuatan. Bagaimanalah caranya seseorang Sultan hidup tanpa ada barang simpanan dan kekuatan."
Selain menyerahkan hartanya, Sultan Quthaz juga ke medan perang bagi menghadapi musuh. Bukan saja baginda yang berada di barisan depan tetapi juga pemaisurinya, Jalinar (Jihad).
Dalam pertempuran itu, Jalinar tewas dan apabila hampir menutup matanya buat selama-lamanya, di dalam pangkuan suaminya, permaisuri itu berkata: "Wahai Islamku, wahai Islamku."
Jalinar tidak mengatakan wahai kekasihku (suaminya) tetapi wahai Islamku, menunjukkan betapa cintanya pada Islam sehingga sanggup menyerahkan nyawanya untuk Islam.
Demikianlah betapa sikap dan peribadi Quthaz dan permaisurinya dalam menghadapi musuh Islam. Ciri-ciri yang dimilikinya itulah membolehkan umat Islam menewaskan musuh-musuh Allah termasuk tentera Mongol yang terkenal ganasnya pada masa itu.
Hari ini, kisah ini sewajarnya di semarakkan kembali di kalangan umat Islam bagi mengembalikan kekuatan mereka menghadapi musuh-musuh Allah.
Persoalannya di sini, adakah ada di kalangan pemimpin umat Islam yang mempunyai ciri-ciri dipamerkan Quthaz, seorang raja yang mementingkan agama dan rakyatnya daripada dirinya sendiri?
Jika ciri-ciri ini tiada, bagaimana mereka dapat menewaskan musuh-musuh Allah? Jika mereka laungkan perpaduan di kalangan rakyat bawahan, mereka mesti menunjukkan teladannya terlebih dahulu.
Tidak guna beretorik mengenai perpaduan sedangkan penindasan masih dilakukan ke atas rakyat jelata. Tunjukkan pengorbanan seperti dilakukan Sultan Quthaz yang akhirnya berjaya menewaskan tentera Mongol. Kini siapa pula agaknya yang dapat menghalang pencerobohan Amerika dan Zionis Israel?
No comments:
Post a Comment