Tuesday, June 1, 2021

Syawal 20, 1442: Isu negara Palestin sandiwara Barat

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Renungan

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


SUNGGUH aneh, Palestin belum diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membolehkannya menjadi sebuah negara berdaulat sekalipun permohonan dikemukakan presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas bertahun-tahun lalu.


Demikianlah sikap berdolak-dalik PBB berikutan tekanan Amerika Syarikat dan kuncu-kuncu dalam Majlis Keselamatan seperti Britain dan Perancis. Malah Perancis tidak lama dahulu menambah garam di luka apabila mencadangkan Palestin diberi status pemerhati dalam PBB, bukannya sebuah negara beridentiti sendiri. Isu pengisytiharan negara Palestin merdeka bukanlah baharu malah tokoh masa lalunya seperti Yasser Arafat mati dengan berputih mata kerana impinan itu tidak terlaksana.


Isu Palestin adalah sandiwara Barat, terutama oleh Amerika Syarikat yang berterusan menjalin hubungan kejap dengan rejim Zionis. Dahulu ada Presiden Amerika berjanji menjalin hubungan baik dengan dunia Islam, hakikat itu hanyalah menanam tebu di bibir, kini Palestin dan rakyatnya terumbang ambing tidak bernegara dan beridentiti (berdaulat) dan akan berterusan menghadapi kekangan, cengkaman, serangan serta pencabulan rejim ganas Zionis, yang terbaharu ke atas Gaza.


Mengapakah nasib rakyat Palestin dan umat Islam minoriti di rantau lain seperti di Kashmir (India), Xinjiang (China) dan Arakan (Myanmar-Burma) tidak dihirau masyarakat antarabangsa termasuk badan dunia seperti PBB tetapi rantau bukan Islam seperti Selatan Sudan dan Timor Timur (kini Timor Leste) diutamakan untuk mendapat kemerdekaan, malah tidak menghadapi masalah diiktiraf oleh badan dunia itu.


Terkilan juga memikirkan, dunia Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang memayungi lebih 50 negara umat Islam, berterusan mendiamkan diri dalam permasalahan Palestin ini. OIC yang ditubuhkan pada 25 September 1969 selepas berlaku kebiadapan Yahudi membakar Masjid al-Aqsa iaitu kiblat pertama umat Islam, dilihat bisu dalam isu tuntutan Palestin sebagai negara berdaulat.


Kita saksikan OIC lesu dalam menangani permasalahan ummah apatah lagi pada peringkat lebih tinggi seperti permohonan Palestin untuk diiktiraf sebagai negara berdaulat. Hari ini isu kebiadapan rejim Zionis-Yahudi yang menjadi titik tolak penubuhan OIC tetap gagal ditangani.


Tangan-tangan zalim rejim Zionis mengganas di Gaza di samping berterusan mencemar kesucian al-Aqsa dan kawasan sekitarnya di Haram al-Sharif (Temple Mount) manakala nasib orang Palestin tidak berubah sejak puluhan tahun lalu malah menjadi semakin buruk. Ekstremis Yahudi bertindak berani mengorek terowong di bawah al-Aqsa, tetapi apa reaksi ummah, negara dan organisasi yang memayungi mereka? Jika badan dunia seperti PBB tidak dapat diharapkan, mengapa OIC, negara dan umat Islam masih lena tidur?


Apabila umat Islam dan organisasi memayungi mereka seperti OIC membisu, musuh-musuh semakin berani menindas dan menghina umat Islam di seluruh dunia. Lihatlah apa yang terjadi kepada saudara se-Islam di negara di mana mereka kumpulan minoriti seperti di India, Myanmar dan China.


Selain Palestin, Muslim Rohingya, Uighur dan Kashmir menjadi mangsa; sesetengahnya diperangi dan dihalau dari kampung halaman masing-masing. Namun apa dibuat oleh OIC dan negara Islam yang bernaung dalam organisasi ini? Paling kuat mereka mengeluarkan kenyataan mengutuk, lebih menyedihkan sebahagian besar daripadanya memilih membisu seribu bahasa.


Bukan saja umat Islam minoriti dizalimi, malah negara ummah anggota OIC seperti Iraq dan Afghanistan dijarah sepuas-puasnya oleh kuasa biadap tetapi ummah terutama pemimpin mereka mendiamkan diri. Tiada yang berani menyatakan yang hak dan batil malah ada pemimpin bersengkokol dengan musuh untuk menghancurkan Islam.


Kemudian pemimpin zalim, sekutu dan pengikutnya yang menjarah negara umat Islam tanpa segan silu menuduh pula orang Islam sebagai pengganas dan memburu mereka di seluruh dunia. Umat Islam mengiyakan saja, malah sesetengahnya berganding tenaga membantu musuh. Dengan bantuan media massa dikuasai mereka, maka tergambarlah seolah-olah penganut Islam itu ganas, agama itu menganjurkan keganasan.


Berhubung permasalahan Palestin ini, OIC, pemimpin dan ummah perlulah bermuhasabah diri, mengkoreksi dan memperbaiki apa-apa kelemahan yang menyebabkan umat Islam seluruh dunia dihina sedemikian rupa. Hakikatnya selepas kebanyakan tanah air umat Islam dijarah penjajah dan daulah Khilafah Islam terakhir, Uthmaniyah tersungkur pada 1924, kehidupan umat semakin jauh daripada panduan Allah dan Rasul-nya termasuk dari segi pemerintahan.


Yakinilah selagi umat Islam terutama pemimpinnya tidak kembali kepada panduan Allah dan Rasul-nya (termasuk melaksanakan semua hukum hakam Islam tidak terkecuali hudud) selagi itu penghinaan akan dihadapkan kepada umat ini. Kini dari China ke Afrika Selatan, dan dari Amerika Syarikat ke Australia, umat Islam hidup penuh tekanan sehinggakan ada negara berani ke depan dalam usaha menegakkan syariah seperti Brunei Darussalam, hukum-hakam Islam dicemuh walaupun baharu ada ura-ura melaksanakan sebahagian daripadanya.


Demikianlah berapa banyak pun sidang OIC, selagi sebahagian besar pemimpinnya dan juga pemimpin negara umat Islam masih berkiblatkan Washington, London dan Moscow, selagi itulah ummah akan dihina. Ya, cemas memikirkan selepas Iraq dan Afghanistan, ada lagi negara umat Islam akan menjadi mangsa; gara-gara ummah tidak kembali kepada panduan Allah dan Rasul-Nya.


No comments: