Friday, June 25, 2021

Zulkaedah 14, 1442: Tak perlu kayakan masjid, kayakan jemaah/masyarakat (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan adapun orang yang bakhil dan berasa dirinya cukup atau tidak perlu kepada Allah, serta mendustakan pahala terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar." (Al-Lail 8-10)


APABILA berselisih jalan dengan seorang siak sebuah masjid tidak lama dahulu, beliau tidak sabar-sabar menceritakan dia sudah meletakkan jawatan. "Mana boleh tahan," katanya. "Nak minta duit beli sabun pencuci dan berus jamban pun susah nak dapat. Kadang-kadang terpaksa guna duit sendiri."


Demikianlah betapa susahnya pengurusan sesetengah masjid mengeluarkan duit simpanan yang dikutip daripada derma orang ramai, sama ada melalui kotak yang diedarkan pada setiap Jumaat ataupun tabung tetap di masjid.


Duit itu adalah sumbangan orang yang mahu melihat masjid diimarahkan dengan program yang dapat mendekatkan masyarakat kepada Ilahi, tetapi lain pula terjadi - ada sesetengah ahli jawatankuasa masjid terlalu berminat menimbunkan wang sedekah dalam bank.


Sesetengah setiausaha dan bendahari masjid bersaing antara satu sama lain, masjid mana yang mempunyai simpanan paling banyak. Mereka yang menyimpan paling banyak bangga, kononnya berjaya mengkayakan masjid, hakikatnya masjid tidak perlu dikayakan, yang perlu dikayakan adalah masyarakat Islam, sama ada dari segi kehidupan harian ataupun keimanan mereka.


Tidak lama dahulu, penulis menghadiri ceramah Dr.........., seorang motivator yang namanya sedang meningkat di Melaka. Beliau yang berceramah di sebuah masjid, bercakap berterus terang: "Kalau jawatankuasa masjid tidak tahu buat kerja, muka pun tak ada ketika solat jemaah, lebih baiklah letak jawatan. Janganlah gila pangkat dan kedudukan, bagilah pada orang yang boleh buat kerja."


Beliau meminta jemaah melihat sekeliling dan berkata: "Lihatlah muka yang datang ke masjid, asyik-asyik muka yang sama. Mana dia anak-anak muda kita? Tanyalah diri sendiri mengapa mereka tidak datang ke masjid?"


Katanya, AJK perlu menguruskan masjid dengan berkesan. Makmurkan masjid. Buat program-program yang dapat menarik minat anak-anak muda. Untuk tujuan ini, tentulah perlukan peruntukan kewangan yang banyak.


"Inilah masanya untuk kita gunakan wang derma orang ramai itu. Janganlah simpan wang banyak-banyak dalam bank, tak mahu keluarkan. Orang yang dermakan wang itu mahu melihat wang itu digunakan untuk manfaat orang ramai, ini simpan dalam bank banyak-banyak buat apa?" tanyanya.


Dr ....... membidas AJK masjid yang gemar berbincang mengenai apa makanan yang hendak disediakan selepas majlis ceramah dan sebagainya tetapi tidak pula membahaskan dan menjayakan program apa yang sesuai bagi memakmurkan masjid terutama bagi menarik generasi muda.


Katanya, pemuda-pemudi sudah tahu aktiviti yang berlangsung di masjid seperti kelas pengajian, majlis marhaban (ketika sambutan Maulidur Rasul), bacaan Surah Yassin pada malam Jumaat, jadi mereka tidak tertarik untuk datang kerana majlis-majlis seumpama itu pada fikiran mereka hanya sesuai untuk orang tua.


“Cuba buat kelainan, buatlah sesuatu yang dapat memikat mereka,” katanya.


Penulis teringat ada pengurusan beberapa masjid sudah menjayakan projek seperti membina gelanggang sepak takraw di tepi masjid. Apabila azan, budak-budak berhenti bermain dan diajak untuk solat berjemaah. Ada pengurusan masjid sudah memajukan kelas komputer, golongan muda dapat dibimbing meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat.


Demikianlah banyak program dapat dimajukan di masjid sebagai pendekatan menarik sebanyak mungkin anggota masyarakat ke rumah Allah itu, tidak kira daripada golongan veteran, wanita, muda-mudi dan juga kanak-kanak.


Bagaimanapun sebahagian besar harapan orang ramai tidak tercapai kerana realitinya kebanyakan pengurusan masjid dimonopoli golongan tertentu yang ada kepentingan. Mereka berada di kedudukan berkenaan bukan dilantik oleh ahli kariah tetapi dipilih pihak berkuasa.


Apabila ini berlaku (pelantikan orang yang tidak mencintai rumah Allah), berlakulah kelemahan pengurusan masjid seperti sekarang. Jika solat waktu pun AJK jarang hadir, bagaimana mereka boleh mengaktifkan masjid?


Selain kelemahan pengurusan, mereka yang mentadbir masjid dan surau juga perlu memperhalusi kaedah mendapatkan derma daripada orang ramai. Ini agar pendapatan yang diperolehi, walaupun daripada derma orang ramai, hendaklah bersih sebersihnya, jauh daripada unsur syubahat.


Ustaz Badrul Tamam yang artikelnya disiarkan dalam portal berita voa-islam.com, membicarakan mengenai hukum mengedarkan kotak infak ketika khutbah Jumaat malah di sesetengah masjid ada petugas berjalan mengutip derma seperti yang lazimnya dilakukan di masjid-masjid di tanah air.


Menurut beliau situasi terbaik ketika imam menyampaikan khutbah Jumaat adalah jemaah diam dan mendengarkan dengan saksama. Tidak boleh melakukan hal-hal yang dapat memalingkan konsentrasi daripada mendengarkan khutbah agar jemaah dapat mengambil manfaat daripada khutbah. Jangan dia berbicara kepada kawannya atau melakukan perbuatan yang boleh mengganggu daripada mendengarkan dan memperhatikan khutbah.


Realiti berbeza sering ditemukan di kebanyakan masjid, kotak amal/kotak infak diedarkan ketika imam naik mimbar dan khutbah sedang berlangsung. Ini adalah kesalahan besar, kerana mengganggu kekhusyukan dalam mendengarkan khutbah.


Di sebagian masjid, kotak amal diedarkan oleh petugas. Dia berdiri ketika khutbah untuk menjalankan kotak amal kepada jemaah saf demi saf. Maka dia telah melakukan kesalahan besar, tapi merasa telah berbuat kebaikan.


Dalam hal ini, kesalahan bukan hanya dilakukan oleh petugas tadi. Orang yang berinfak juga melakukan kesalahan, kerana melakukan kegiatan yang menyibukkan daripada memperhatikan khutbah. Dia memasukkan tangannya ke saku, mengeluarkan wang, dan memasukkannya ke kotak amal. Ini adalah perbuatan sia-sia yang dilarang pada ketika imam berkhutbah.


Barangsiapa yang ingin berinfak, hendaknya melakukannya sebelum dimulainya khutbah Jumaat atau sesudah pelaksanaan solat.


Imam Muslim meriwayatkan dalam shahihnya, dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, bermaksud: "Barangsiapa mengusap-usap kerikil (mata tasbih), maka ia telah melakukan yang sia-sia."


Jika sekadar mengusap-ngusap kerikil atau permaidani saja dinilai sia-sia, lalu bagaimana dengan orang yang berdiri mengedarkan kotak infak atau sibuk memindahkan atau menjalankannya ke sampingnya?


Lalu bagaimana juga dengan situasi orang yang sibuk mengambil wang di sakunya, mengeluarkannya, lalu memasukkan ke kotak amal? Tentu jauh lebih dianggap sia-sia. (Syaikh Wahid Abdul Salam Bali dalam Al Kalimaat al Naafi'ah fi Akhtha' al Sya-i'ah - diterjemahkan dengan 474 Kesalahan Umum dalam akidah dan ibadah beserta koreksinya - halaman 349)


Jadi, mengedar kotak amal pada saat solat Jumaat pada ketika imam berkhutbah hukumnya tidak boleh, kerana mengganggu seseorang daripada mendengarkan dan memperhatikan khutbah. Akibatnya, orang yang melakukan kesalahan ini akan kehilangan keutamaan solat Jumaat. Ibadah Jumaatnya seperti melaksanakan solat Zuhur.


Sebagai gantinya, kotak amal bisa diletakkan dekat pintu sehingga setiap orang yang ingin bersedekah boleh memanfaatkannya, baik sebelum khutbah dimulai atau sesudah solat.


Demikianlah wang sedekah pun perlu diperolehi sebersih-bersihnya agar masjid dapat sentiasa dimakmurkan. Wang masjid adalah untuk digunakan untuk kepentingan umum bukan dihimpun dalam bank!

No comments: