Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa sesungguh manusia itu dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. (Al-Asr 1-4)
BIJAK pandai berkata rasa hati, sikap, perancangan, pelan tindakan dan akhirnya tindakan seseorang apabila melihat sesuatu menggambarkan dirinya yang sebenar. Ambil contoh mudah laut; bagaimana cara seseorang itu melihat anugerah alam (Allah SWT) ini?
Berdiri di pantai (lokasi) yang sama, seorang pencinta alam (seperti pelukis) mungkin merenung jauh ke laut, dia melihat keindahan pemandangan sang suria terbenam di ufuk barat lantas memuji Yang Maha Pencipta; seorang pengkritik mungkin tidak merenung jauh ke laut sebalik melihat di pantai dan berkata, "alangkah kotornya pantai ini...penuh dengan barangan buangan!"
Seorang kaki pancing apabila melihat laut, mungkin akan berkata, "sekarang musim banyak ikan, besok aku akan turun ke laut"; seorang penyelam mutiara atau pencari harta karun berbisik, "laut sekarang tenang, besok aku akan menyelam..."; seorang 'jurutera minyak' mungkin berbisik, "esok aku akan berangkat ke pelantar minyak...selamat tinggal wahai anak isteriku" manakala seorang penakluk berkata kepada tenteranya, "di sebarang laut ini ada wilayah untuk kita tawan."
Demikian juga pemimpin; apabila melihat 'kuasa di tangannya' ada yang berbisik; "hah ini peluang untuk aku mencurah bakti pada rakyat"; ada yang berkata-kata dalam hatinya, "inilah peluang untuk aku mendapatkan rumah besar, kereta besar dan segala yang besar"; ada yang berkata, "inilah peluang untuk aku balas dendam serta memadamkan rekod jenayahku (tutup kejahatan)" dan yang beriman pula berkata-kata, "kuasa ini amanah Allah, aku akan gunakan untuk berbakti kepada-Nya."
Bercakap mengenai kuasa ini, adalah lumrah untuk yang berkuasa 'menindas' yang kurang berkuasa. Perhatikan bahawa di pejabat bos mendera pekerja, apabila balik rumah si pekerja melepaskan geram kepada isteri, si isteri pula memarahi anak, si anak pula menendang kucing dan kucing pula membalas dendam dengan 'mempermain-mainkan' tikus.
Demikianlah adat permainan dunia, yang kuat menindas yang lemah, yang lemah menindas yang lebih lemah dan yang lebih lemah menindas yang terlalu lemah. Adalah lumrah orang berkuasa menindas orang tidak berkuasa dan orang kaya menindas orang miskin.
Dalam rumahtangga, ada ibu bapa yang mendera si anak, sehingga ada kes menyebabkan kematian si anak. Anak yang tidak mengerti apa-apa, dicucuh dengan puntung rokok, disimbah air panas dan aneka penderaan lain. Ada pula suami mendera isteri dan yang lebih takjub, ada isteri mendera suami.
Di peringkat antarabangsa pula, negara berkuasa dan kaya menindas negara miskin. Tidak menghairankan jika ada negara berkuasa 'membuli' negara lemah. Dan bukanlah sesuatu yang luar biasa jika negara berkuasa dan kaya berpadu tenaga untuk terus berkuasa.
Demikianlah manusia dan tamadunnya berpaksi kepada hukum rimba. Dunia bukan tempat hisab (amal baik dan jahat akan dihitung di akhirat), jadi selalulah berlaku ketidakadilan. Yang berkuasa selalunya terlepas manakala yang lemah dizalimi tetapi ingatlah bahawa hidup adalah ibarat roda - sekejap kita berada di atas dan sebentar lagi kita berada di bawah. Kalau kamu berkuasa hari ini, esok sedar-sedar saja awak 'tidak ada apa-apa lagi'.
Kuasanya sebenarnya tidak berada di tangan seseorang atau sesuatu pihak buat selama-lamanya. Semuanya akan berakhir, hakikatnya kuasa di tangan seseorang atau pihak hanya sebentar saja.
Seorang manusia itu tidak sentiasa akan kuat dan berkuasa. Yang muda akan tua, yang berkuasa akan lemah - semuanya menuju kemusnahan. Yang kuat dan berkuasa tadi akan menerima pembalasan masing-masing.
Orang yang mendera anaknya ketika si anak masih kecil, akan didera pula pada masa tuanya. Mungkin yang mendera itu si anaknya sendiri.
Pemimpin yang melakukan kezaliman lambat-laun akan menerima pembalasannya. Ramai pemimpin ternama dan berkuasa dunia mati dalam keadaan penuh penghinaan. Pada zaman purba, nama-nama seperti Firaun, Hamman dan Qarun dicatatkan dalam al-Quran.
Pada zaman moden ini, ramai pemimpin gah, mengakhiri kehidupan penuh penghinaan. Antaranya diktator Ferdinand Marcos, Idi Amin dan Shah Reza Pahlavi. Muammar Gaddafi (Libya), Saddam Hussein (Iraq) serta Suharto (Indonesia) semuanya tersungkur penuh kehinaan.
Tetapi insan dizalimi mati penuh penghormatan. Nama mereka terus subur, seolah-olah masih hidup di kalangan insan. Antara yang mencatat sejarah sedemikian ialah Syed Qutb, Hassan al-Banna, Hamka dan Maududdi.
Ada peribahasa berbunyi, apa yang ditanam itulah yang akan dituai. Jika kezaliman yang ditanam, kezalimanlah yang akan diterimanya, jika kasih sayang ditanam, kasih sayanglah yang akan dituai.
Sehubungan itu, diingatkan pada diri sendiri dan pembaca sekalian supaya muhasabah diri. Usahlah asyik menuduh orang lain zalim, sedangkan kita menzalimi diri sendiri - selepas mati tidak mungkin kita dihidupkan semula untuk menebus dosa kezaliman kita.
Kepada pemimpin, koreksilah (cermin-cerminlah) diri - apatah aku ini zalim dan apakah nanti akan mengakhiri hidup seperti Muammar Gaddafi atau Saddam Hussein? Tolonglah, jangan 'syok sendiri' dengan kepimpinan kita kononnya dapat mensejahteraan rakyat sedangkan rakyat sudah meluat. Pergilah (berundur) sebelum rakyat memaksa awak pergi!