Thursday, November 19, 2020

Rabiulakhir 3, 1442: Tepati matlamat, perjalanan berdesup...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu sesungguhnya orang-orang sombong takabur daripada berdoa serta beribadat kepada-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." (Surah Ghafir, ayat 60) 


ANAK 'bongsu' saya belajar di sebuah IPG nun di utara. Baharu-baharu ini IPG cuti, ibu bapa diminta mengambil anak masing-masing. 


Saya dan isteri berkira-kira; kalau berkereta dari Melaka ke Pulau Pinang perjalanan pergi balik boleh mengambil masa 12 jam dan ditambah waktu rehat, meronda, 'shopping' dan sebagainya...subhanallah banyak masa perlu 'dikorbankan'.


Namun disebabkan pelbagai faktor antaranya gejala Covid-19 yang menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenakan 'perintah berkurung' - perjalanan saya dari Melaka ke Pulau Pinang - adalah 'tersangat deras' - jam 11.00 malam Sabtu saya bertolak dari Melaka, jam 4.00 petang keesokan hari ini kami sudah sampai ke rumah dengan membawa si anak guru pelatih itu!


Ini 'satu rekod' perjalanan jauh dari segi masa yang pernah kami catatkan. Biasanya bagi perjalanan jauh, banyak masa dihabiskan dalam kesesakan jalan/lebuh raya, meronda ke sana sini, anak isteri sibuk 'bershopping' yang menyebabkan kami terpaksa bermalam di hotel, rumah inap atau pun tidur dalam kereta,


Kali ini lebuh raya sunyi - pada sebelah malam lebih banyak lori daripada kenderaan persendirian. Kawasan rehat dan rawat di lebuh raya termasuk yang biasanya sibuk seperti Hentian Tapah lengang - entahlah macam dilanggar burung geroda kelihatannya! Hampir semua kedai makan tutup, jadi tak banyak masa dihabiskan di sini.


Selepas sampai di rumah, saya berfikir, matlamat kami adalah mengambil anak untuk dibawa pulang...itu dapat dibereskan berdesup. Yalah, kalau diikutkan 'ragam lama' yang banyak acara sampingan seperti makan-makan, membeli belah dan makan angin...banyak masa dibazirkan.


Itu dalam bab dunia, kalau dalam bab akhirat, jika seseorang itu menepati matlamatnya iaitu mendapat keredaan Illahi, insya-Allah dia akan 'berdesup' mendapatkannya, tidaklah dia menyibuk dalam pelbagai perkara lara.


Dalam menjalani penghidupan di dunia yang singkat ini (hadis menyatakan tempohnya bagaikan seorang pengembara berteduh di bawah sebatang pokok (semacam RR) sebelum meneruskan perjalanan jauh, manusia melakukan pelbagai perkara melekakan dan tipu muslihat untuk menumpuk kekayaan dan menempa kemasyhuran.


Keghairahan manusia untuk berleka-leka atau menipu untuk menumpuk kekayaan dan membina kemasyhuran, sebenarnya untuk apa? Seperti dinyatakan, hidup ini adalah singkat saja sedangkan harta bertimbun dan kemasyhuran tidak mampu membawa manusia ke tingkat kebahagiaan, bahkan membawa kepada kesengsaraan hidup dan kemusnahan semata-mata!


Ingatlah bahawa kenikmatan sama ada dari segi kepuasan nafsu makan minum, pemilikan harta benda, seksual dan keperluan duniawi lain hanyalah bersifat sementara yang pada bila-bila masa boleh ditarik Allah SWT dalam sekelip mata.


Apa guna makanan dan minuman begitu lazat dilambakkan di meja sedangkan seseorang sudah dihinggap kencing manis atau lebih parah lagi apabila pelbagai penyakit sudah bersarang dalam tubuh? Demikian juga apa guna duit bertimbun-timbun dalam akaun bank sedangkan untuk makan seulas durian pun tidak boleh?


Selain menipu dan merompak untuk membina kekayaan, ada orang bersifat lebih dahsyat iaitu memfitnah orang dalam membina kekuasaan dan kemasyhuran diri yang sudah pasti bagi memuaskan nafsu alat antara lutut dan pusat (tentunya nafsu makan dan seksual).


Ulama tersohor Nusantara, Hamka yang telah dipenjarakan selama dua tahun lebih oleh rejim Orde Lama Sukarno, menulis dalam kitabnya, Tafsir Al-Azhar, Juzuk 1: “...manusia-manusia berjiwa kecil, yang menyangka bahawa dengan berbuat dan menyusun fitnah, hasad dengkinya bisa (boleh) dilepaskan, yang merasa diri BESAR kerana pangkat, akan kembali menjadi kepinyuk kecil setelah pangkatnya ditanggalkan daripada dirinya...Zaman bergilir, ada yang naik dan ada yang jatuh, dunia tiada kekal.”


Bagi orang perjuangan, amat-amati apa ditulis oleh Hamka ini agar mereka sedar sama ada perjuangan masing-masing berada di landasan benar atau tidak. Kata Hamka: “Imam Ahmad bin Hanbal pernah mengatakan, bahawanya tanda alamat orang yang berjalan atas yang hak ialah apabila dia mati dihantarkan jenazahnya ke pusaranya oleh ribu-ribu manusia, dengan sukarelanya sendiri.”


Tentunya kita tidak tahu bagaimana keadaan masa kita mati nanti, tetapi kita boleh merasakan naluri hati sendiri sama ada ramai orang akan bersedih dengan kematian kita atau mereka tertawa gembira kerana kejahatan kita sudah berakhir dengan kematian kita atau lebih teruk lagi mereka akan kencingkan kubur kita!


Ingatlah pesan Allah SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dialah yang beroleh petunjuk dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi." (Al-A'raaf Ayat 178)


Perilaku manusia yang degil, tidak mahu tunduk kepada perintah Allah SWT ini yang kemudian dimusnahkan dirakamkan oleh-Nya dalam al-Quran melalui kisah kaum Nabi Nuh, Ad, Tsamut Lut dan sebagainya. 


Sesungguhnya bala daripada Allah SWT tersangat dekat, tetapi tertahan disebabkan adanya orang tua rukuk kepada-Nya, anak-anak muda yang taat kepada agama-Nya, bayi-bayi yang masih menyusu dan binatang melata di muka bumi. 


Ingatlah semua orang akan mati; raja, wazir, hakim, ulama, penulis, penjual ikan tidak terkecuali. Bagaimana terkenal dan hebat pun akan mati. Ketika hidup nama dan segala kehebatan terpampang dan disanjung,  apabila mati, semuanya sirna. 


Demikianlah sebenarnya manusia tidak ada apa-apa, menurut hadis Nabi, hidup seseorang di dunia ini bagaikan pengembara yang berhenti untuk berteduh sebentar di bawah sebatang pokok, kemudian dia akan pergi.


Namun ramai daripada kita berleka-leka - berehat-rehat, makan minum, tidur baring malah ada yang sampai hendak 'membuat rumah' di RR, jadi bila kita mahu sampai ke destinasi sekaligus menjayakan matlamat kita.


Ingatlah kematian semakin hari semakin hampir. Jadi persiapkan diri untuk ke kubur (ini matlamat kita) daripada bersusah payah kerana mahu memuaskan nafsu di dunia fana yang diibaratkan Nabi 'hanya berteduh sebentar di bawah sebatang pokok'! Ya, Mengapa mahu 'membina rumah' di RR sedangkan RR bukan destinasi kita...jika hal-hal seperti ini kita dapat kesampingkan, insya-Allah kita akan berdesup mendapat keredaan-Nya.


No comments: