Friday, November 20, 2020

Rabiulakhir 4, 1442: Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


MENGIKUTI laporan gelagat seorang pemimpin di negara Uncle Sam baru-baru ini, teringat saya sebuah peribahasa Melayu berbunyi 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong' yang didefinisikan 'orang yang gemar ikut campur masalah orang lain; orang yang senang menonjolkan diri'.


Definisi yang kedua itu dirasakan lebih tepat...terpulanglah kepada pembaca untuk membuat imaginasi berkenaan isu berkaitan...pada keluaran kali ini penulis ingin mengajak pembaca merenung peristiwa sejarah yang boleh dijadikan iktibar.


Bagi membicarakan isu ini, penulis sekali lagi (perkara ini pernah disentuh sebelum ini) merujuk kepada zaman gerhana Kesultanan Melaka untuk dijadikan teladan - yang baik dijadikan ikutan yang tidak baik dijadikan sempadan.


Zaman gerhana Melaka kerap dirujuk kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) iaitu pemerintah Melaka terakhir. Merujuk kepada sesetengah pengkaji, mereka mendakwa Sultan Mahmud tidak mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Salah satu kelemahannya adalah berkenaan perempuan. Semua perempuan berdahi licin hendak dimilikinya.


Misalnya, Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan kerana telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan Mahmud murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah – masuk jarum.. Alahai sultan, mudahnya terpengaruh. Akhirnya seluruh keluarga Tun Mutahir dibunuh, yang tinggal hanya Tun Fatimah untuk dijadikan isteri Sultan.


Kemaruk Sultan memuncak apabila 'tergilakan' Puteri Gunung Ledang. Puteri bijak menghelah dengan mengemukakan tujuh syarat peminangan termasuklah disediakan jambatan emas menghubungkan puncak gunung itu dengan Melaka, hati nyamuk tujuh dulang dan semangkuk darah anakanda Sultan, Raja Ahmad. Disebutkan pada mula Sultan Melaka berhasrat memenuhi syarat itu - cukai ke atas rakyat ditingkatkan manakala ada menyebut harta mereka seperti emas dirampas. Namun faktor membabitkan kepentingan diri sendiri (semangkuk darah Raja Ahmad), Sultan membatalkan hasrat itu.


Kezaliman Sultan sudah keterlaluan, tetapi adakah orang berani menegur? Jawapan yang zahir adalah tidak kerana mereka tersangat takut kerana orang kanannya sendiri seperti Bendahara bukan saja disingkirkan tetapi seluruh keluarganya dibunuh. Menegur Sultan bermakna mati atau setidak-tidak dihumbankan ke dalam penjara atau 'dibuang ke luar daerah' (dihukum bunuh tetapi diselamatkan Bendahara Tun Perak) seperti dialami Laksamana Hang Tuah.


Menegur Sultan (mengkritik pemerintah) tidak berlaku pada zaman gerhana ini. Apa yang ada terdapat ramai pengampu dan tukang fitnah serta pengkhianat seperti Si Kitol dan Datuk Mendeliar. Sultan diberi 'gambaran indah-indah' - tidak mengetahui situasi sebenar dalam negara yang di ambang untuk jatuh. Ramai yang berarak menyatakan sokongan kepada Sultan, hakikatnya sokongan inilah yang membawa rebah. Ya pemerintah sudah nazak tetapi masih ramai rakyat berarak-arak di jalan raya...


Apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511, dilaporkan angkatan perang Melaka terlalu gagah untuk dikalahkan. Tetapi angkara terlalu ramai pengkhianat (termasuk yang berarak di jalan raya menyatakan sokongan)  yang memberi bantuan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, akhirnya tewaslah Melaka menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa berpindah randah dan akhirnya mangkat di Sumatera pada 1528.


Demikianlah berakhirnya sebuah empayar, peristiwa dalam sejarah kerap berulang-ulang...adakah kita mahu terus membutakan mata dan memekakkan telinga daripada pengajaran sejarah ini. Faktor seperti pemerintah 'dikuasai bini', bersikap boros, menindas rakyat dengan cukai tinggi, membunuh (menyingkir) pesaing termasuk pembantu kanan adalah fenomena biasa pada zaman gerhana.


Ya, itu 'kisah dulu', sekarang ini wahai pembaca, fikir-fikirkanlah sejenak sama ada kita kini di zaman gerhana atau tidak berdasarkan gelagat 'si polan berkenaan' ketika berada di negara Uncle Sam. Mari kita buat perbandingan kisah Sultan Melaka yang terakhir dan 'si polan itu'.


Sultan Melaka dalam meminang Puteri Gunung Ledang sanggup memenuhi semua syarat seperti menyediakan jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka dan ini boleh dijayakan dengan mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat hatta sehingga merampas harta mereka semata-mata bagi memenuhi nafsu serakah beliau.


Pemimpin terkini dalam usaha menonjolkan diri termasuk di pentas antarabangsa sanggup 'mempertaruhkan' wang simpanan berdikit-dikit hasil keringat rakyat yang jumlahnya berbilion-bilion ringgit dalam usahanya 'memenangi hati' lelaki yang dianggap paling berkuasa di dunia. Dalam mengejar 'ke-glamor'an' dunia, pemimpin seakan-akan terlupa langsung akan kemiskinan dan derita rakyat yang ramai daripada mereka adalah penerima skim bantuan.


Jika pemerintah terakhir Melaka 'menjarah' harta benda rakyat termasuk mengenakan cukai yang tinggi, apakah rakyat sekarang senasib 'orang dulu' kerana dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan yang 'mengenai' semua orang - ya si pengemis yang mahu makan roti pun kena cukai demikian juga si miskin yang mahu membayar bil air dan elektrik.


Akhir sekali renung-renunglah sejenak hal ini...Sultan Melaka akhirnya membatalkan niat menyunting Puteri Gunung Ledang kerana tidak sanggup 'miliknya' dikorbankan (permintaan semangkok darah Raja Ahmad) dan dalam kes hari ini, adakah pemimpin sanggup mengorbankan 'miliknya' yang paling bernilai (seperti anak dan sang isteri) untuk memuaskan nafsunya sekalipun ada orang menuduhnya hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong atau kera di hutan disusui anak di riba dibiar kematian?


No comments: