Wednesday, November 4, 2020

Rabiulawal 18, 1442: Jurukempen kebaikan terlalu kurang...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Oleh itu, jika mereka bertaubat (daripada kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama, dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui." (At-Taubah Ayat 11) 


UNTUK berjaya dalam dakwah, kita perlukan jurukempen yang kuat dan ramai dengan usaha berterusan, kata seorang ustaz dalam satu tazkirah yang saya hadiri baru-baru ini. 

Kita tidak perlu merujuk jauh, jenguk dan amat-amatilah iklan di televisyen; ada satu iklan berbunyi: "Minum....anda jadi sihat dan kuat." 

Slogan jenama ini diulang-ulang, lagi kerap lagi bagus sehinggalah sekarang ini ia sudah sebati dalam masyarakat. Orang sudah tahu bahawa minum...jadi sihat...dan hampir 100 peratus yakin jika mengambil jenama ini dia akan sihat. Di sini kita tidak berhajat menyentuh kebenaran dakwaan pihak berkenaan tetapi ingin menegaskan apabila sesuatu perkara itu diledakkan dalam kepala seseorang secara berulang-ulang puluhan, ratusan, ribuan, puluhan ribuan atau jutaan kali, akhirnya orang yang dipropaganda itu akan mengaku kalah. 

Inilah juga sebahagian ajaran Menteri Propaganda Jerman era Adolf Hitler, Joseph Goebbels, yang antara lain menyebut: 'a propaganda theme must be repeated' (tema propaganda mesti diulang-ulang). 

Sejumlah pemimpin mengakui akan kaedah propaganda ini. Kata mereka sekarang ini walaupun sesuatu perkara kita yakini tidak betul pada mulanya tetapi akibat propaganda yang agresif, keyakinan kita mula terhakis dan lambat-laun kita mula percaya apa yang dipropagandakan itu. 

Ambil contoh  apabila pemimpin mencanangkan kita terbaik...terbaik...terbaik dan diulang ratusan dan ribuan kali pada setiap ruang dan peluang, maka hampir semua orang akan mengungkapnya kembali, terbaik...terbaik...terbaik. Maka mungkin tiada yang berkata ia tidak baik. 

Orang yang pada mulanya berkata tidak baik, apabila diledakkan dalam otaknya hampir setiap masa manakala ungkapan itu dilihat dalam semua media, akhirnya dia juga akan mengaku kalah dan berkata, terbaik...terbaik...terbaik. 

Berbalik kepada ustaz yang bertazkirah tadi, katanya, kempen ke arah kebaikan juga perlu dilakukan secara agresif; beliau memberikan contoh ini - Seorang ulama tersohor dijadualkan akan berceramah di masjid kita; jadi kita sebagai tukang kempen perlulah bekerja keras; misalnya kita mulalah mencetak dan mengedarkan 50,000 'flyer' (kertas edaran maklumat majlis) di kawasan berkenaan; barulah majlis kita mendapat sambutan. Itu pun jumlah yang hadir mungkin 5,000 atau 10,000 orang saja. 

Jika dengan mengedarkan 50,000 'flyer' kepada orang ramai hanya 1/5 atau 1/10 daripada mereka saja yang datang, bayangkan jumlah hadirinnya kita tidak membuat kempen itu. "Mungkin yang datang adalah macam jumlah hadirin di majlis ini (20-30) orang saja," kata ustaz itu. 

Demikianlah, dalam dakwah kepada masyarakat, jurukempennya (pendakwah) perlu ramai dan melakukannya secara berulang-ulang kali, kata ustaz itu. Misalnya, bercakap mengenai kebesaran Allah, kita terus menerus bercakap mengenai hal ini tanpa rasa jemu dan penat, insya-Allah lama kelamaan akan tertanam juga di hati sebahagian daripada anggota masyarakat akan apa kita nyatakan itu. 

Apabila Allah SWT memberi hidayah, tidak ada apa yang dapat menghalangnya lagi, namun dalam masyarakat kita hari ini, tidak ramai rela berkorban menjadi jurukempen kebaikan. 

Bagi yang sudah menjadi jurukempen kebaikan, teruslah istikamah berkempen tetapi jangan lupa untuk berdoa, memohon kejayaan kepada-Nya, kata ustaz itu.

No comments: