Monday, November 30, 2020

Rabiulakhir 14, 1442: Dosa orang diuar-uarkan, dosa kita bagaimana?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." - Maksud Ayat 190 Surah Al-Baqarah 


TERSENTAK saya mendengar seorang pemimpin besar menguar-uarkan tujuh dosa besar pihak tertentu. Renungkanlah, jika jari telunjuk kita dihalakan dalam menuduh seseorang, tiga lagi jari akan menuding balik ke arah kita. 

Apabila kita menyatakan seseorang atau pihak melakukan tujuh dosa besar, berapa banyak pula dosa besar kita? Tidakkah ia sebanyak 21 dosa besar iaitu 7X3 atau lebih banyak daripada itu? 

Orang baik (atau beriman) adalah orang yang takut akan dosa dilakukannya, bukan menyibuk akan dosa orang lain. Dosa orang lain dia tanggunglah sendiri dalam kuburnya, yang perlu dibimbangi ialah dosa-dosa kita sendiri. Hakikatnya dosa kita sudah terlalu banyak untuk kita renung-renungkan seterusnya mengambil langkah bertaubat daripada menyibuk akan dosa orang lain. 

Tidak payahlah kita pergi jauh untuk memikirkan seterusnya cemas akan dosa kita sendiri. Dalam rumah tangga sendiri pun kita sudah tahu betapa banyak dosa kita. Kalau kita seorang bapa, apakah anak-anak kita sudah terdidik dengan ajaran Islam sepenuhnya dan mengamalkannya? 

Betulkah anak-anak mengikut pesanan kita atau mereka 'bersandiwara' saja? Misalnya, ada anak-anak yang pura-pura solat; mereka melakukan bacaan solat dengan kuat ketika kita melepasi bilik mereka sedangkan mereka masih di atas katil! 

Kisah seorang anak saya ini diharap dapat dijadikan iktibar dan menyuntik semangat ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Ketika si anak ini dalam Tahun 2 (lapan tahun) termenung panjang saya apabila saya menyedari dia 'menyeludup keluar' sejenis permainan daripada sebuah pasar raya. 

Tentunya saya 'menggelupur kepanasan', tetapi selepas 'timbang punya timbang', saya bersyukur kerana Allah dedahkan perbuatan kurang baik itu ketika dia masih kanak-kanak. Kalau dia sudah jadi macam Sazali. anak P Ramlee (dalam filem) itu sudah terlambat. 

Ya, inilah masa untuk mendidik si anak. Saya berhasrat memberi pengajaran yang mungkin tak dilupakan sepanjang hayatnya. Ketika dalam satu perjalanan, saya terus memandu kereta memasuki sebuah balai polis. Tentunya si anak tak nak keluar dari kereta. Saya berjumpa dengan seorang pegawai polis, menceritakan hal yang berlaku dan merayu dia berlakon mahu menangkap anak saya. Pendeknya dia 'acah' saja, selepas itu dia nasihatkan anak saya jangan buat 'kerja-kerja tak baik' lagi. 

Demikianlah bukan senang untuk membesarkan seorang anak agar dia menjadi insan berguna. Jika mereka gagal menjadi seorang Muslim yang baik seperti tidak solat, apakah kita boleh berlepas tangan saja? Jawapannya tidak, dosa kita terlalu banyak - terhadap Allah SWT, terhadap ibu bapa, anak isteri dan sebagainya. Jadi, fikir-fikirkan akan dosa kita yang banyak itu bukan bertindak sebaliknya seperti menguar-uarkan dosa pihak lain, malah dosa besar pula! 

Berceloteh mengenai pendidikan anak-anak, seorang pembaca mahu berkongsi pandangannya dengan pembaca yang beliau e-mel kepada saya: 

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh; semoga Saudara LanH dan keluarga serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa sihat bahagia senyum sentiasa dalam masa kecederaan menunggu pembubaran Parlimen. 

Syukur kepada Maha Pencipta dan rantaian terima kasih buat Saudara yang sudi menyiarkan pandangan rakyat biasa yang tiada kepentingan kecuali rasa kasih melimpah-ruah buat agama dan anak bangsa. Justeru apabila membaca coretan Saudara, hati tua tersentuh kemudian terbit linangan air mata. Terbayang di mata dan terdengar-dengar di telinga keluhan Saudara terhadap anak-anak sekarang yang menuduh kita menyibuk, sehingga tidak terkeluar ayat untuk bertanya, solat subuh hari ini? 

Itulah hakikatnya orang Melayu beragama Islam pada hari ini Saudara. Ustaz dan ustazah di sekolah pun dituduh menyibuk sekiranya bertanya, solat subuh pagi tadi? Ingin juga hati tua ini bertanya, murid yang tidak cukup sembahyang lima waktu, berada di 'band' mana dalam pentaksiran berasaskan sekolah?

Justifikasi kita orang tua, senang sahaja Saudara. Tidak sembahyang, tidak berterima kasih kepada Allah. Tidak cukup solat sehari semalam, tidak adalah rasa syukur, terima kasih kepada Tuhan bukan saja pada rezeki hatta oksigen yang disedut. 

Fikiran tua ini berpandangan, mengingatkan sembahyang (detik berterima kasih rasmi kepada Maha Pencipta) ini bukan kerja ustaz ustazah sahaja tetapi semua guru. Guru pula akan menambah, mak dan bapa juga kena selalu ingatkan anak-anak mereka. 

Mak, bapa, nenek, datuk pula akan menuding pada tuan guru dan ulama, ini autoriti tuan guru, mufti. Tok guru pula kata, ini kerja pemimpin dan pemerintah. Pemimpin tak jaga solat, rakyat pun ikut sama. 

Oleh sebab itu, mohon sangat kepada Saudara agar dihebah kepada rakyat jelata, hidup berkat disayangi Allah SWT lebih diutama. Pilihlah pemimpin yang sayang dan takut akan Maha Pencipta. Pemimpin inilah ulul-amri yang orang awam seperti hamba tua ini wajib dan mohon sentiasa diberi ingat akan kemenangan di dunia dan kemenangan di akhirat. Manusia berada di maya pada ini bersebab, bukan mati terus menjadi tanah. 

Kepada mak dan bapa beragama Islam, jangan marah ustaz, ustazah yang menegur aurat anak-anak Dato', Datin, Tuan, Puan. 

Jangan naik angin dengan soalan, solat subuh pagi tadi? Mak-mak pun jangan melatah, golongan bapa menambah dua, tiga atau empat. Golongan bapa pun dengan hujah mereka, tiada manusia yang boleh adil dalam soal kasih sayang (buktinya anak-anak kita sendiri - yang sulung, yang tengah, yang bongsu). Oleh hal yang demikian, pemerintah setaat Umar Abdul Aziz sangat diperlukan di Malaysia. 

Pemerintah yang sangat takut akan Tuhannya, sangat menjaga perbendaharaan negara, sangat menjaga keluarga daripada menggunakan harta milik negara, sangat memikirkan jawapan yang akan diberikan di Padang Mahsyar, pemimpin Malaysia yang akan menjawab di hadapan Allah SWT bagi pihak 30 juta rakyat. 

Malaysia memang sudah lama menunggu pemimpin yang amanah, ikhlas, cerdik dan membetulkan semula semua jentera kerajaan yang sudah jelas bobrok di makan anai-anai. 

Mohon saudara khabar-khabarkan. Sekian. Terima kasih kepada Allah SWT. Terima kasih Saudara.

Sunday, November 29, 2020

Rabiulakhir 13, 1442: Khalifah Umar pun cari rakyat miskin...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


BAHARU-BAHARU ini saya ke pejabat pos. Sudah lama saya tidak menghantar surat atau bungkusan melalui pos. Bagi generasi baru, mereka mungkin tidak tertedah dengan 'kaedah lama' ini. Apabila tiba giliran, di kaunter saya menyerahkan satu sampul surat sederhana besar berisi sebuah buku dan bertanya petugas berapakah harga setemnya jika dihantar secara pos biasa.

Kerani wanita itu menimbang sampul surat itu dan menyerahkannya kembali kepada saya sambil berkata, satu ringgit lima sen (RM1.05). Saya menyerahkan wang RM2, kemudian mengambil baki wang (tanpa mengiranya) serta setem dan terus menuju ke kaunter sisi yang ada disediakan gam untuk menampal setem.

Ketika mahu menampal setem, saya terperasan setem itu tertera RM1.00 saja, mana pula setem 5 sen itu, fikir saya. Mungkin tercicir agaknya atau kerani itu terlupa memberikan saya, Saya kembali ke kaunter, bertanya sang petugas mana setem 5 sen itu.

'Tidak pasal-pasal' di kaunter itu saya 'dimalukan' apabila kerani itu dengan agak keras berkata: "Lima sen tu adalah GST, kan saya sudah beri awak resit tu. GST tu enam sen, tetapi kita kira lima sen saja."

Dengan muka merah padam, saya kembali ke meja sisi meneruskan 'kerja' saya mengepos surat itu. Ya sejak 1 April 2015 hampir semua perkhidmatan dan pembelian barangan dikenakan GST. Ini termasuklah hal remeh temeh seperti pembelian setem yang saya alami, pembayaran bil elektrik dan air malah pembelian mi segera yang kerap menjadi 'santapan'  budak 'U'. GST pada 2015 mengutip hasil RM27 bilion, pada 2016 RM41 bilion dan jangkaan RM42 bilion pada 2017.

Setiap transaksi RM1, pembeli atau pengguna dikenakan GST enam (6) sen iaitu pada kadar 6 peratus. Jika transaksi RM10, GST yang dikenakan adalah 60 sen tetapi sungguh menghairankan apabila seorang editor dalam sebuah akhbar harian tabloid dalam kolum 'Komentar' dengan tajuk 'Kemakmuran kisah indah Malaysia' baru-baru ini terlebih 'bodek' sehingga 'terlupa diri' apabila menulis: "Kalau anda belanja RM10 sehari, cukainya 30 sen sahaja."

Antara lain beliau menulis: "Negara kita tetap kekal makmur pada era kejatuhan harga petroleum yang teruk sejak beberapa tahun lalu kerana ia diimbangi oleh GST yang turut dirasai segenap lapisan masyarakat."

Editor ini merasionalkan senario ini bagi menggambarkan 'kemakmuran kisah indah Malaysia': "Ramai rakyat Malaysia masih mampu makan di restoran mewah yang GST-nya juga tinggi, menonton wayang seperti biasa malah mampu melancong sehingga ke luar negara. Mereka juga menggunakan telefon bimbit mahal-mahal, melaram dengan pakaian berjenama malah membeli-belah di pasar raya ternama."

Bagi saya editor ini 'tidak turun padang' - 'tidak merakyat' dalam pemerhatian dan tulisannya. Dalam setiap masyarakat (negara) ada rakyat yang kaya, sederhana dan miskin tetapi nampaknya sang editor memfokuskan kepada kumpulan berkemampuan lantas merasionalkan mengapa GST perlu dikenakan - anda 'mempersembahkan' apa yang anda lihat secara zahir dan mahu pembaca mengesahkannya sedangkan apa yang tersirat tidak mahu diambil peduli.

Dalam sejarah Islam, Khalifah Umar Al-Khattab telah memberikan contoh terbaik. Jika Umar mahu hidup mewah, beliau boleh berbuat demikian. Demikian juga pegawai-pegawainya. Dengan hidup dalam lingkungan golongan mewah, bagaimana pemimpin boleh tahu keadaan sebenar rakyat?

Umar turun padang - pada malam hari beliau 'mengendap' sana sini. Tahulah dia ada rakyat tak ada makanan. Salah satu kisah, ada ibu 'memasak batu' sebagai helah supaya anak yang lapar tertidur kerana penat menunggu. Umar sendiri memikul gandum pada malam itu kerana takut Allah akan menyoalnya.

Jika Umar, sang khalifah (pemimpin tertinggi daulah Islam), berkorban turun padang bagi melihat keadaan sebenar rakyat, apakah penulis (editor) 'yang mulia' tak 'ingin menjengah' celah-celah jalan kota, meninjau kehidupan gelandangan, singgah di kawasan setinggan dan ke desa menyapa si Mat yang padinya tidak menjadi, si Bedul yang hutangnya bertimbun-timbun 'angkara Felda' atau si Midah yang ditinggalkan laki penghisap dadah!

Atau paling kurang, santunilah si Shah yang sudah setahun lulus MBBS tetapi masih menunggu panggilan 'housemanship', atau si Karim yang baru dibuang kerja! Santunilah mereka, santunilah mereka wahai sang penulis, janganlah kamu asyik melihat kemeriahan di KFC, Jusco, Hilton dan meneropong jauh ke Dubai, Paris, London dan New York, takut-takut nanti anda 'terteropong' si dia yang sedang membeli cincin permata dan beg tangan berjenama Birkin...jeng,jeng,jeng!


Saturday, November 28, 2020

Rabiulakhir 12, 1442: Jika mahu jadi artis, jadilah artis bertakwa...

DENGAN nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)


APABILA Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang terbaharu (ke-33) dipolemikkan, saya seperti dipanggil-panggil untuk membaca sejumlah komentar mengenainya sama ada dalam media cetak atau elektronik. 


Ini kerana saya pernah bekerja di syarikat akhbar ini selama lebih 12 tahun; kata orang tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain...


Dalam celoteh ini tiadalah saya berhajat mengulas komentar-komentar berkenaan - sama ada yang pro padanya atau tidak tetapi memusatkan perhatian kepada artis dan dunia artis apatah lagi selepas saya menonton sebuah  filem bernaunsa Islam melalui Bioskop TV Al-Hijrah membawakan kisah Hanum dan Rangga dalam filem '99 Cahaya Di Langit Eropa'.


Filem ini adalah Bahagian 1 disiarkan mulai jam 9 malam pada 21 November lalu dan pada 28 November nanti akan siarkan Bahagian 2, juga mulai jam 9 malam yang menggambarkan suami isteri itu berada di Cordova yang menjadi pusat keilmuan (termasuk kebudayaan dan kesenian) Islam terhebat suatu ketika dahulu. 


Islam adalah yang terhebat dalam semua bidang kehidupan - hatta dalam bidang kesenian sekalipun. Islam tidak melarang seseorang itu untuk berjaya dalam bidang apa pun selagi ia tidak bercanggah dengan syariat.


Apabila seseorang itu mematuhi hukum-hakam dalam apa juga bidang diceburinya maka apabila dia menjadi seorang jurutera dia akan menjadi seorang jurutera bertakwa; apabila dia menjadi seorang ahli politik dia menjadi seorang politikus bertakwa; jika dia menjadi seorang wartawan dia menjadi seorang wartawan bertakwa dan jika dia menjadi seorang artis dia menjadi seorang artis yang bertakwa. Kalau dia pembuat filem, dia akan menjadi pembuat filem bertakwa.


Namun kerjaya terakhir dinyatakan (artis) menimbulkan tanda tanya, kerana apa yang dimaksudkan dengan artis yang bertakwa itu? Mungkin gambaran seorang artis bertakwa terlalu kabur pada pandangan masyarakat sekarang ini berdasarkan dunia kehidupan artis yang digembar-gembur dan diprojekkan sekarang ini. Dunia artis yang dipertontonkan sekarang ini terlalu hitam, hampir semuanya (nilai, penampilan dan paling utama niat) adalah berpaksikan kehendak dunia Barat yang mementingkan nafsu, kebendaan, eksploitasi dan sebagainya.


Soal persembahannya, soal pakaiannya, soal perangainya, semuanya mengambil contoh dari sana. Jadi dunia artis kita adalah berkiblatkan Hollywood, Bollywood, Hong Kong, Korea dan Jepun. Masing-masing berkarier untuk memenuhi kehendak, kantung (duit) dan nafsu dunia Barat; tidak ada kena mengena langsung dengan kehidupan seorang Muslim.



Jadi persoalannya bagaimana menjadi artis bertakwa? Pertama, perbetulkan niat. Aku mahu menjadi artis kerana Allah Taala. Apabila niat sudah berada di jalan lurus seperti diminta sekurang-kurangnya 17 kali sehari (dalam solat), seseorang itu sudah bersiap sedia untuk menjadi artis bertakwa. Sebelum terjun ke bidang ini, diselidiki dulu apa yang boleh dan tidak boleh (soal halal dan haram). Sepanjang perjalanan, tentunya banyak onak dan duri yang tersangat dahsyat akan ditempohi. Itulah sebenarnya perjalanan seorang anak seni yang mahu menjadi artis bertakwa.


Ganjarannya bukan keuntungan duniawi semata-mata seperti difahami dunia Barat dan orang-orang sealirannya, tetapi kebaikan di dunia dan akhirat seperti lazim kita berdoa, Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah waqina azaban naar.



Apabila berazam menjadi artis bertakwa, tentunya panduan kehidupan bukan lagi nilai Barat yang disogokkan melalui gegak gempita Hollywood, Bollywood dan Hong Kong. Tentunya bukan lagi mencontohi cara hidup songsang artisnya termasuk dari segi pakaian, tingkah laku dan pergaulan. Tentunya bukan lagi berpakaian bagai tak cukup kain di karpet merah; tentunya bukan lagi tutur bicara takabur, satu sifat yang hanya layak dipakai Sang Pencipta Alam. Namun semuanya terarah kepada kehendak-Nya, berpandukan kepada kitab dan sunnah; dengan alam ciptaan-Nya menjadi inspirasi insan bergelar anak seni – semuanya dikaitkan dengan keagungan Yang Maha Kuasa.



Semua ini bukan kerja mudah. Puncanya kerana kita sudah terlalu lama terpesong jauh. Dunia artis kita hari ini adalah dunia jahil – menyamai zaman jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Namun kita tidak bermaksud menyalahkan dunia artis semata-mata kerana dunia politik kita (maraknya fitnah dan segala kebusukan lain seperti rasuah dan pembohongan), dunia kewartawanan, dunia perniagaan dan sebagainya yang berkiblatan nafsu keduniaan, semuanya menuju zaman jahiliah.



Apa yang paling menakutkan; seluruh sistem kehidupan kita menghampiri zaman punah itu. Fitnah, bunuh, zina, riba, rasuah; semuanya sudah membarah dalam masyarakat. Hanya dengan kembali kepada Islam dengan segala ilmu dan pengamalannya, kita menadah tangan merintih memohon-Nya menyelamatkan kita daripada bahana akhir zaman ini. 


Ingatlah firman Allah SWT yang bermaklsud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)

Friday, November 27, 2020

Rabiulakhir 11, 1442: Kos hidup tinggi: Belajarlah menikmati bukan memiliki...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


SEMASA budak-budak dulu salah sebuah cerita yang menarik perhatian saya adalah kisah seorang kaya kurus dan jirannya yang miskin tetapi gagah perkasa. Puas sudah si kaya memikirkan bagaimana dia tetap kurus dan kurang sihat sekalipun makanan dihidangkan kepadanya sedap-sedap belaka sedangkan si jiran makan seadanya.


Suatu hari sedang si kaya duduk-duduk di beranda rumahnya, terbau masakan sungguh menyelerakan dari dapur. Tukang masaknya sedang menyediakan makanan paling sedap. Tiba-tiba dia terpandang sosok si miskin di depan rumahnya. Timbul perasaan jahat di hatinya. Mungkin si miskin segar bugar kerana dia mencuri makananku; iaitu baunya. Lantas si kaya menyaman si miskin.


Di mahkamah, selepas mendengar dakwaan si kaya dan keterangan si miskin, hakim memutuskan bahawa si miskin bersalah. Si hakim bertanya si kaya nilaian ganti rugi dituntutnya. Dia berkata 100 keping emas. Hakim memerintahkan dibawa kepingan emas itu dan kemudian beliau memisahkan si kaya dan si miskin dengan sehelai tabir.


Hakim kemudian memerintahkan si miskin menjatuhkan kepingan emas itu satu persatu dan menyuruh si kaya dan miskin mengiranya kuat-kuat. Selepas kiraan ke-100, hakim memerintahkan kepingan emas itu disimpan balik dan berkata kepada si kaya dan si miskin bahawa kes itu sudah selesai.


Si kaya terkejut, lantas bertanya, "Mana wang saya?" Jawab hakim; "Jiran kamu hanya menikmati bau makanan kamu; sebentar tadi bukankah kamu sudah mendengar bunyi wang kamu? Kes selesai, pulanglah kamu berdua!"


Demikianlah, si miskin boleh 'menikmati' tetapi tidak 'memiliki'. Hari ini boleh dikatakan hampir semua anggota masyarakat kita gila memiliki harta dan segala perkara bersangkutan dunia tetapi gagal menikmati kehidupan.


Kita juga biasa dengan cerita bagaimana si miskin dapat tidur lelap berdengkur sedangkan si kaya yang tidur dengan tilam empok Maya Karin dan bilik 'air-cond' tidak dapat melelapkan mata. Ya, peralatan 'kesedapan' seperti tilam gebu boleh dibeli tetapi tidur iaitu sebahagiaan daripada kenikmatan dunia tidak boleh dibeli hatta dengan emas seluruh dunia!


Perhatikan rumah tangga moden hari ini, saban hari sang suami dan isteri bekerja 'macam nak mati', mengumpulkan wang ringgit. Esoknya sama juga, lusa pun macam itu. Minggu bertukar bulan, bulan bertukar tahun. Mungkin duit mereka banyak tetapi mereka tidak ada masa menikmati wang itu. Mungkin untuk makan dan bermesra dengan anak-anak pun mereka tidak ada masa apatah lagi pergi bercuti.


Pada era kos hidup tinggi sekarang ini, makin ramai orang bekerja 'macam nak mati'. Bukan saja suami isteri bekerja, bagi mereka satu kerja tak cukup. Mereka buat dua atau tiga kerja ditambah pula dengan bisnes 'online'. Hampir 24 jam mereka bekerja, jadi pada masa bila mereka hendak menikmati hidup ini?


Pada pendapat saya yang 'naif' ini, untuk menikmati kehidupan kita perlu perlahankan rentak (slow down) hidup kita. Tidak perlulah kita bekerja 'macam nak mati'. Subhanallah, kalau betul-betul kita mati, orang lain pula akan menikmati wang dan harta yang kita kumpulkan macam nak mati.


Salah satu cara untuk kita menikmati kehidupan ini adalah dengan mensyukuri apa saja yang ada lantas mengaitkannya dengan kehebatan Illahi di samping menjalani kehidupan secara berjemaah. Misalnya kita tidak perlu memiliki sendiri sebuah taman bunga yang indah di rumah kita sebaliknya keindahan ciptaan Allah di dunia ini termasuk taman-taman awam sudah dapat 'membungakan' hati kita.


Dari segi kehidupan berjemaah pula, sebagai contoh kita tidak perlu memiliki penghawa dingin sebaliknya dengan pergi ke masjid untuk solat berjemaah lima kali sehari kita dapat menikmati kedinginan 'air-cond'. Di masjid pun kita boleh nikmati 'karpet tebal terbenam kaki', air 'water cooler' yang dingin dan banyak kemudahan lain.


Kita juga tidak perlu memiliki surat khabar, majalah dan buku tetapi boleh menikmatinya dengan pergi ke perpustakaan. Ini sebagai contoh saja, sebenarnya ada banyak perkara yang kita tidak perlu memiliki tetapi boleh menikmatinya.


Mengenai menikmati dan memiliki ini, saya ada terbaca sebuah artikel dari seberang (Indonesia) yang antara lain penulisnya mengungkapkan (ejaan dan istilahnya dikekalkan): "Banyak orang salah kaprah dan beranggapan bahwa memiliki itu jauh lebih penting. Karenanya, mereka berusaha mendapatkan harta lebih banyak dan lebih banyak lagi. Padahal, harta yang banyak itu membuat mereka senantiasa diliputi rasa takut. Akibatnya, mereka tak bisa lagi menikmati hidup yang aman, damai dan sejahtera.


"Banyak orang yang memiliki, tapi tak sempat menikmati. Sebaliknya, banyak juga orang yang tak memiliki tapi bisa menikmati. Cobalah lihat vila-vila yang kini menjamur di kawasan Puncak. Siapakah yang memiliki vila tersebut? Namun, siapakah sebenarnya yang selalu menikmatinya? Bukankah si pembantu rumah yang selalu di situ sedangkan pemiliknya ke sana sini berbisnes?


"Ada juga cerita mengenai seorang pengacara terkenal yang suatu ketika mengunjungi pameran mebel. Ia tertarik dengan meja makan berharga ratusan juta dan tanpa pikir panjang langsung membelinya. Yang menarik, setelah meja tersebut dikirim ke rumahnya, ia menjadi kebingungan. Perabot di rumahnya sudah sangat banyak dan tak ada lagi tempat tersisa. Inilah contoh dari memiliki tetapi tidak menikmati.


"Kunci kebahagiaan kita sebenarnya tidak terletak pada apa yang kita miliki, tetapi pada apa yang kita nikmati. Bahkan, orang yang kaya dalam arti yang sesungguhnya bukanlah orang yang memiliki banyak hal, tetapi orang yang dapat menikmati apa pun yang ia miliki."

Thursday, November 26, 2020

Rabiulakhir 10, 1442: Transferring' people's money into our pockets, accounts...(U)

In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful; blessings and peace be upon Prophet Muhammad s.a.w.

Reflection

The Declining Day (Al-'Asr)

1. By the declining day,

2. Lo! Man is in a state of loss,

3. Save those who believe and do good works, and exhort 

one another to truth and exhort one another to endurance.


MANY, many years ago a motivator cum business manager told me: "There's a lot of money around us - they are inside people's pockets, in their wallets, in the banks, in the drawers of shopkeepers and even under the beds of some people - the 'problem' is how are we going to 'transfer' them into our own pockets, wallets or bank accounts!


He said there are two ways to do it - one is the 'haram' (forbidden) way and the second is the 'halal' (permissible) way. Simple examples of the 'haram' ways are like robbing or cheating people of their money and examples of 'halal' ways are like coxing them into buying our 'trustworthy products' or rendering them our services or work for them.


By doing 'those work', - money from their pockets would eventually 'be moved' into our pockets! But it is up to you; to do it the 'halal' or 'haram' ways! Generally the harder you work or win their hearts, more money would be transferred from their pockets into your pockets.


I felt interested and started thinking how 'nice' it would be if I have 'the power' to 'withdraw' money from other people's pocket and made them mine. The motivator then coaxed me into joining his multi-level business, selling a product. 


It was a direct selling job; one has to be a member of the said company. I became a member of that company after paying RM10 for registration. Then after a simple briefing and paying another RM50 for the company’s products that were multipurpose detergent in plastic containers, I was on my journey ‘to become a rich and famous businessman one day’. 


Yes, I was naive in the thinking that it was easy to make people pull out their money from their pockets to buy my 'wares'. For six consecutive days I sold nothing during my rounds and on day 7; I went to the business manager's office, returned the wares and got my money back. 


From that day, I realized that business was not my line of work. I was no good in coaxing people in giving up their money. That experience gave a great impact on me; the pain of failure in business scared me and I realized that it was not that easy to made people searched for money inside their pockets and 'surrendered' them to me!


After that, I tried to do a few more business ventures such as selling books and opening a tuition centre but they all failed, I was convinced that my hands did not suit businesses; perhaps they are good at other fields such as writing. I admitted I did not had 'the skill' or bold enough to pull people's money by doing business.


If I fail badly in making people 'surrendering' their money to me, I was amazed at certain people who could coaxed me into giving my money to them.


For example years ago, a team of young women came to my mother's house and after examining some kitchen wares, told my mother that her cooking utensils such as frying pans and pots were too old and needed to be change. They unveiled some new and shinning cooking utensils which they claimed all were priced at RM1,000 but they would gladly sell them at half the price, RM500.


My mother agreed, but as she did not have enough money, she turned to me who was busily attending to other chores at that time. Without checking the items, I 'surrendered' RM500 to the ladies. Later on that evening only I realized that I had been conned...the items they sold to my mother could not be more than RM200!


After working for about 25 years in the media industry, I opted to retire at the age of 50. I started gardening in a small plot of land owned by my wife. I planted 'easy to grow' plants such as 'serai' (lemon grass), 'ubi kayu' (tapioca) and 'tebu' (sugarcane).


About five years ago, I had planted some 'rambutan' trees - only two 'survived' on the 'hard and barren land'. A few years back, they started 'producing' fruits by the 'abundance'. 'Syukur' alhamdulillah (All praise be to Allah), He had given me the opportunity 'to make money' with the 'new ventures' but sadly, I was no good in doing business - I failed in marketing 'my products'. Yes, once again I  must admitted that I was no good in making people 'surrendering' their money to me.


When the rambutans were ripe and 'abundance' in the trees, I placed I notice board on a side of the tree which read: "These rambutans are for 'sadaqah', please pluck them yourself."


I read a 'hadith' with the meaning: "If a Muslim plants a tree or sows seeds, and then a bird, a person or an animal eats from it, it is regarded as a charitable gift (sadaqah) for him." - Imam Bukhari


In Sahih Muslim, it was reported: "Our Prophet (peace be upon him) said: “Never does a Muslim a plants a tree, but that he earns the reward of charity because what is eaten from it; and likewise what is stolen from it, what the wild beasts eat out of it, what the birds eat out of it, and what people take from it is charity for him.”


Well, only now at 'old age' I realized that 'money is not everything'; perhaps during my younger years, I was greedy for money and wealth but it seemed that Allah did not wish 'fast and huge' amount of money 'to fell into my hands'.


About greediness, I was not alone because men are men, they are greedy for material wealth; in a hadith narrated by Anas bin Malik, the Prophet s.a.w. said: "If Adam's son had a valley full of gold, he would like to have two valleys, for nothing fills his mouth except dust. And Allah forgives him who repents to him." (Bukhary) 


For some of us having a lot of money would spoiled us for one of the most wisest person in the world, Sayidina Ali bin Abi Talib said: "Learned men live after death; ignorant men are dead although alive." He also said that you need to guard your property and wealth but if you have knowledge it would protect you. 


Subhanallah, why think a lot about money and properties, why not have a thought on what's the purpose we are sent into this world? In 'ayah' 56 Surah of Surah l-dhāriyāt (The Wind that Scatter) Allah SWT says: "And I did not create the jinn and mankind except to worship Me."


Our journey in this world is to please Allah SWT before 'we met' Him in the Hereafter; therefore should we burdened ourselves with having a lot of money (at old age our needs such as food is so little) especially which is not ours. What's the point of having billions and billions of ringgit transferred into our accounts if it involved 'haram' transaction!

Wednesday, November 25, 2020

Rabiulakhir 9, 1442: Baca akhbar boleh; untuk percaya, tunggu dulu! (U)

DENGAN nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)


KETIKA menemu duga seorang calon untuk jawatan wartawan di Harakah tidak lama dulu, beliau memberitahu antara sebab dia memilih Harakah berbanding syarikat media lain kerana kadar kepercayaannya kepada akhbar ini lebih tinggi.


Beliau meletakkan kadar kesahihan berita akhbar Harakah di tahap 80 peratus manakala akhbar Melayu yang mendakwa sebagai media arus perdana di tahap 50-60 peratus saja.


Demikianlah, berdasarkan tanggapan calon berkenaan, bukan semua disiarkan dalam akhbar layak dipercayai. Banyak perkara yang boleh dibaca tetapi seseorang pembaca itu perlu berfikir banyak kali dan membuat penyelidikan bagi mengetahui kebenaran beritanya.


Ini kerana apabila membaca akhbar, seseorang itu bukan saja menemui berita dan rencana ‘yang baik-baik’ tetapi juga artikel dan gambar yang tidak senonoh yang boleh merosakkan minda. Akhbar Melayu juga tidak terkecuali menyiarkan gambar artis yang terlondeh sana, terlondeh sini.


Ada juga iklan tidak senonoh dengan budaya orang Islam disiarkan secara meluas.


Jika difikir-fikirkan perkara ini secara mendalam, membaca akhbar bukan saja memanfaatkan diri kita (kita betul caranya) tetapi juga menambahkan dosa.


Oleh itu, tidak hairanlah mengapa khatib Jumaat di sebuah masjid di Kedah mengingatkan jemaah tentang bahaya media dan berusaha memulaukan sesetengahnya.


Apakah salah memulaukan akhbar-akhbar dan majalah yang menyiarkan artikel dan gambar lucah ini?


Jengoklah gerai akhbar. Ada macam-macam akhbar yang majalah dengan gambar muka depan yang menjijikan dipamerkan secara terbuka.


Tidakkah kita berasa berdosa dan mahu mengambil sesuatu langkah untuk menghalang umat Islam daripada diracuni media yang hanya bermatlamat memuaskan nafsu ‘antara perut dan lutut’ ini?


Masyarakat kita hari ini sudah kronik dan jika ditambah dengan kehadiran media ‘pelepas nafsu’ ini, dikhuatiri anak-anak muda kita akan terus hanyut, dibuai khayalan demi khayalan yang menyesatkan.


Kita patut bersyukur kerana kehadiran cendekiawan agama seperti tok guru, khatib, imam, ustaz, ustazah dan penceramah yang tidak mengenal putus asa dalam memberi nasihat dan ingatan kepada masyarakat.


Tetapi jika ingatan itu dituduh sebagai permainan politik pula, dikhuatiri suatu ketika nanti tiada pihak yang berani menyatakan yang mana satu benar, yang mana satu salah. Bukankah agama itu berkisar kepada amal makruf, nahi mungkar?


Kepada pihak yang percaya dan meyakini media adalah 100 peratus sahih, mereka perlu diingatkan bahawa dalam pengumpulan hadis sekalipun, ada yang diterima dan ada ditolak.


Malah dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” – Ayat 6, Surah Al-Hujurat.


Tuesday, November 24, 2020

Rabiulakhir 8, 1442: Jenayah menjadi-jadi, hukum Allah penyelamat manusia (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


PADA suatu majlis ilmu antara waktu maghrib dan isyak di sebuah masjid berhampiran kediaman saya tidak lama dulu, tok guru mengingatkan bahawa setiap Muslim tidak akan terlepas daripada ditanya usaha mereka dalam menunaikan kewajipan agama termasuklah menjayakan hukum jenayah Islam yang terbahagi kepada tiga iaitu hukum hudud, qisas dan takzir.


Tok Guru berkata, dalam menunaikan kewajipan beragama ini ada yang boleh dilakukan sendiri seperti solat dan ada yang tidak boleh dilakukan sendiri, ia membabitkan negara seperti melaksanakan hukum jenayah hudud, qisas dan takzir. Sekalipun ia membabitkan pihak berkuasa, tidak ada Muslim yang terlepas daripada ditanya oleh Allah SWT mengenai peranannya dalam pelaksanaan hukum jenayah ini, kata tok guru.


"Jadi kepada orang awam seperti kita ini, apa kita boleh buat untuk menghadapi pertanyaan Allah nanti?" tanya tok guru yang sendiri menjawab: "Pertama, kita mesti mengaku bahawa hukum-hakam ini wajib ke atas diri kita kerana ia difardukan Allah sama seperti sembahyang dan puasa. Kedua kita mesti berniat untuk melaksanakannya tetapi memohonlah keampunan bersungguh-sungguh kepada Allah kerana tidak ada daya untuk melakukannya.


"Ketiga kita hendaklah mendoakan agar pemimpin yang memerintah kita hari ini terbuka hatinya untuk melaksanakan hukum Allah ini. Kita berdoa bersungguh-sungguh agar mereka dapat menerima Islam sepenuhnya."


"Keempat," kata tok guru, "kita hendaklah membantu sedaya upaya jika ada pihak yang berusaha ke arah melaksanakan hukum-hakam ini, dan yang kelimanya kita tidak pula berusaha menggagalkan pihak yang mahu melaksanakannya termasuklah membantu pihak berkenaan," kata tok guru.


Tok guru mengingatkan selalulah berbuat kebajikan dan jika kita tidak boleh berbuat baik, janganlah berbuat jahat kerana itu sudah dikira ibadat juga. Jika kita tidak mampu membuat kebajikan, jangan pula menghalang orang yang mahu berbuat kebajikan.


Berbicara mengenai bab hudud ini, sebagai seorang Muslim saya dengan rendah diri ingin mengingatkan diri sendiri dan pembaca bahawa ini hukum Allah, setiap Muslim perlu ada niat dan usaha untuk melaksanakannya dan sebagai penulis saya menyatakannya secara terbuka dalam kolum ini.


Hari ini kes jenayah berleluasa. Kenapa jenayah menjadi-jadi? Kenapa orang tidak takut melakukan jenayah? Kenapa suami tergamak mencurah asid atau mengelar kemaluan isteri? Mengapa orang tidak takut berzina dan membuang bayi?


Jawapannya kerana hukam-hakam Allah SWT yang menciptakan manusia tidak tertegak. Dalam hukum-hakam Allah ada kehidupan, itu jaminan-Nya tetapi kita tidak mengendahkannya. Kita berlaku zalim, menggubal dan menuruti hukum-hakam berasaskan nafsu-nafsi manusia. Apabila manusia berani menolak hukum-hakam Allah, mereka sudah menempa kebinasaan diri.


Ambil contoh ketegasan hukum qisas. Hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.


Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga. Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.


Allah SWT berfirman maksudnya: " Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya." (Surah al-Maidah ayat 45)


Dengan tidak tertegaknya hukum-hakam Allah ini, masyarakat tidak menjadi gerun; tidak ada ketakutan bagi mereka melakukan jenayah. Cuba bayangkan bagaimana gentarnya anggota masyarakat untuk membunuh jika mereka tahu pengakhiran mereka dibunuh juga, pencurah asid akan menerima pembalasan dicurah asid ke mukanya pula manakala yang mengelar tubuh mangsa, akan dikelar juga tubuhnya.


Masyarakat juga perlu disedarkan akan mahalnya diat (denda) yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta; jika seekor unta RM3,000, nilaian diat adalah RM300,000!


Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.


Demikianlah hukum-hakam Islam adalah untuk menjaga keselamatan semua; Islam menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Apabila itu terjaga, terselamatlah semua, bukankah kedatangan Rasulullah s.a.w membawa rahmat kepada seluruh alam. Jadi mengapa kita menolak hukum-hakam-Nya? Tidak sombong dan takaburkah kita?

Monday, November 23, 2020

Rabiulakhir 7, 1442: Gagal menatap ‘anak sulung’ dunia penulisan (U)

DENGAN nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)


KETIKA sibuk membongkar barang-barang lama, saya terjumpa koleksi majalah sekolah menengah saya dulu. Dalam salah satu majalah itu (tahun 1978 semasa saya di tingkatan empat), terdapat sebuah sajak tulisan saya. Itulah karya pertama saya yang tak tersiar di mana-mana penerbitan.


Menanti Hari Esok


Hidup di dunia diibaratkan pelangi pagi

cukup detik hilanglah sinaran

dan hilanglah cahaya yang ghairah

tiba-tiba datanglah cahaya garang suria

titik-titik embun pun pergi…ibarat manusia sebagai insan biasa

cukup detik pulanglah kepada Yang Kuasa

insan biasa yang datang dengan tangan

dan dada kosong

yang menerokai sendirian apakah erti kehidupan

cukup masanya akan datang jua akhirnya

sebuah perkhabaran yang paling bahagia.


Pelangi pagi takkan kunjung lagi

sinaran ghairah tidak mungkin berulang

hanya tinggal awan dan suria yang garang

membendung seribu kedukaan dan keinsafan

hadapilah kegagalan dengan kesabaran

kejayaan pasti pada hari depan

dalam menghadapi pancaroba kehidupan

perjuangan demi perjuangandemi kebahagian.


Segala apa yang berlaku

usahlah ditangis atau dikesalkan

pasti pada suatu masa

sinaran suria pastikan menjelma

mungkin pada hari esok akan ada bahagia

tak tertahan jiwa nan raga

menanti hari esok…


Saya ketawa tatkala membaca semula sajak yang ditulis hampir 30 tahun lalu. Ketawa kerana idea sajak ini saya adaptasi daripada sebuah sajak karya Sasterawan Negara, A Samad Said yang saya tidak ingat tajuknya dan filem ‘Menanti Hari Esok’ yang membawa kemasyhuran kepada seniman Jins Shamsuddin dan seniwati Noorkumalasari.


Meneliti dan mengkaji sajak ini, mengingatkan saya akan sesuatu – sebenarnya saya sangat terpengaruh dengan penulisan Pak Samad, kerana karyanya banyak membantu membentuk saya menjadi seorang penulis.


Penyiaran sajak ini adalah pemangkin kepada usaha saya terjun dalam dunia penulisan. Pada

peringkat awal, saya cuba menghantar tulisan ke forum-forum pembaca, malangnya tidak disiarkan kecuali sekali, itupun di sebuah akhbar mingguan kanak-kanak.


Apabila menginjak dewasa, saya cuba menulis cerpen dan rencana. Beberapa cerpen yang dihantar di pelbagai penerbitan, tiada khabar berita, hilang begitu saja. Demikian juga rencana,

tiada editor ambil peduli.


Pada tahun akhir di pusat pengajian tinggi, saya tidak pedulikan lagi soal menulis cerpen. Tetapi aneh sungguh, suatu hari saya menerima sepucuk surat yang di dalamnya ada sekeping cek RM40. Kandungan surat itu menyatakan cek itu adalah honarium sebuah cerpen saya yang tersiar dalam salah satu keluaran Mingguan Perdana. Akhbar ini laris dan terkenal pada awal 1980-an.


Wah, saya melompat kegembiraan. Tidak sangka, akhirnya cita-cita saya untuk menjadi seorang cerpenis tercapai jua. “Seluruh Malaya akan tatap namaku,” aku mulai berangan-angan.


Persoalannya, saya belum lagi melihat tulisan saya itu. Ini kerana selepas kecewa berbulan-bulan tidak melihat tulisan saya disiarkan, saya tidak lagi membaca apatah lagi membeli akhbar berkenaan.


Saya bersyukur dengan wang RM40 yang saya terima, tetapi sebagai penulis, tentulah lebih bermakna jika saya dapat menatap tulisan saya itu. Saya mahu memandangnya puas-puas. Saya mahu melihat nama saya (byline) terpampang dalam akhbar. Apatah lagi cerpen itu adalah buah tangan sulung saya yang disiarkan.


Melalui seorang sepupu saya, saya diberitahu seorang ibu saudaranya peminat akhbar berkenaan. Dia membeli dan menyimpan koleksi akhbar itu di rumahnya. Mendengar perkhabaran gembira itu saya pun bermotosikal dari Shah Alam ke rumah wanita berkenaan di Cheras bagi membongkar longgokan akhbar lama miliknya.


Berpandukan surat berserta cek yang dikirimkan kepada saya yang ada dinyatakan bilangan dan tarikh cerpen saya disiarkan dalam akhbar berkenaan, saya pun meneliti satu persatu akhbar itu. Saya bekerja keras berjam-jam lamanya, tetapi alangkah hampanya kerana selepas semua akhbar dibongkar, naskhah yang menyiarkan cerpen saya gagal ditemui.


Saya buntu memikirkan bagaimana cara mendapatkan naskhah akhbar yang amat bernilai sentimental pada diri saya itu. Disebabkan sibuk dengan tugasan dan kuliah, akhirnya pencarian itu saya pendamkan saja.


Beberapa tahun kemudian, selepas memasuki alam pekerjaan, seorang rakan yang mendengar keluhan saya menyatakan mengapa tidak ke pejabat akhbar berkenaan bagi melihat naskhah-naskhah lamanya.


Dia memberitahu, pada kebiasaannya syarikat akhbar menyimpan setiap naskhah akhbar yang diterbitkan untuk tujuan rujukan. Saya gembira tetapi kemudian kembali mendung apabila teringatkan akhbar berkenaan sudah ‘bungkus’ (tidak diterbitkan lagi).


Pencarian saya gagal dan sehingga hari ini saya tidak dapat menatap ‘anak sulung’ saya dalam dunia penulisan. Saya menganggap cerpen itu sebagai ‘anak sulung’ kerana karya-karya terdahulu disiarkan dalam majalah sekolah dan akhbar kanak-kanak, bukan media massa dalam erti kata sebenarnya.


Saya akan rasa bertuah jika ada orang atau pihak yang dapat menjejak dan menghantar kepada saya salinan cerpen berkenaan. Saya tidak ingat tajuk cerpen itu, tetapi kisah cerpen berlatarbelakangkan Kampung Pinang Sebatang yang masih tiada bekalan elektrik walaupun negara sudah berpuluh tahun merdeka.


Suatu ketika tiang-tiang elektrik sudah didirikan, tetapi terbiar lama dalam keadaan ‘togel’ tanpa sambungan pendawaian. Penduduk kampung yang kemudiannya mendengar ‘orang besar’ akan melawat kampung itu, bersepakat menggantung tempurung kelapa di tiang-tiang elektrik ketika kunjungan berkenaan. Mereka kemudian keluar beramai-ramai memalu tiang dan tempurung, menunjukkan protes.


Hasilnya, kampung itu mendapat bekalan elektrik. Mungkinkah kisah yang saya gambarkan melalui cerpen yang disiarkan Mingguan Perdana kira-kira 25 tahun lalu mempunyai persamaan dengan rakyat dan pengundi sekarang.


Kalau rakyat mahu pembangunan segera di kawasan mereka, doakan wakil rakyat cepat mati kerana jika itu berlaku akan diadakan pilihan raya kecil dan ‘ibu segala projek pembangunan’ akan dihantar secepat kilat ke kampung mereka!


Sunday, November 22, 2020

Rabiulakhir 6, 1442: Ekonomi parah, kian ramai 'jiwa kacau'...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


PADA kuliah subuh tidak lama dahulu di sebuah masjid berhampiran rumah saya, ustaz antara lain menyuarakan bahawa sekarang ini semakin ramai orang mengalami sakit jiwa. Katanya, ramai rakyat kini menderita 'jiwa kacau' - persoalannya apakah penyebab perkembangan menakutkan ini?

Benar kata ustaz, kerana menurut Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah di Perlis, Dr Ruzita Jamaluddin penyakit mental dijangka menjadi kedua tertinggi dihidapi rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada 2020.

Beliau berkata laporan statistik mengenai penyakit itu sangat membimbangkan kerana pada 2008, sejumlah 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan.

"Malah jumlah itu terus meningkat di mana sebanyak 2,000 kes baharu schizophrenia dilaporkan setiap tahun. Lebih membimbangkan jumlah ini berkemungkinan tidak menggambarkan bilangan sebenar.

"Masalah ini bertambah rumit apabila kurangnya pengetahuan berkaitan bahaya penyakit ini dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai memilih tidak mendapatkan rawatan atau hanya merawat secara tradisional," katanya.

Menurutnya, masalah kemurungan dipercayai menjadi punca utama kepada penyakit mental dan kebelakangan ini, media melaporkan banyak kes bunuh diri, mencederakan diri atau orang lain.

“Kemurungan kronik yang antaranya disebabkan tekanan hidup boleh menyebabkan pesakit mengalami halusinasi dan keinginan mencedera atau membunuh diri, sekiranya tidak dirawat segera," katanya.

Ya, tekanan hidup seperti keadaan ekonomi rumah tangga yang tak stabil membawa kepada pelbagai masalah. Ada laporan menyebut hal ini menyumbang kepada jumlah penceraian suami isteri yang tinggi - lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai antara 2011-2015.

Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun 2016. Berdasarkan statistik itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam (6) kes bagi setiap jam!

Dari segi ekonomi kenapa suami isteri bercerai? Ada suami tidak mampu atau kurang memberi nafkhah menyebabkan berlaku 'perang rumah tangga'.Kemudian ada keluarga dihimpit hutang keliling pinggang - terdapat laporan menyebut ada suami membunuh diri disebabkan masalah ini.

Masalah ekonomi terutama pada pademik Covid-19 sekarang ini, bukan menghimpit orang berkeluarga tetapi juga orang bujang. Misalnya anak muda yang hendak berkahwin, mereka perlukan puluhan ribu ringgit untuk melunaskan hal-hal seperti wang hantaran dan kenduri perkahwinan sedangkan sekarang ini ramai muda-mudi hatta graduan pun tiada kerja.

Ketidakmampuan rakyat dari segi ekonomi ini sebahagiannya disebabkan tata kelola negara yang bermasalah; kenaikan harga barangan keperluan 'angkara' pengenaan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan seperti GST, kenaikan harga minyak dan tambang pengangkutan awam.

Demikian rakyat begitu 'stress' (termasuk perlu melakukan dua atau tiga kerja)...hal ini menyumbangkan kepada sakit jiwa dan bagi yang gagal mengawalnya akan memasuki senarai ratusan ribu pesakit psikiatri sekarang ini. Sungguh membimbangkan penyakit 'jiwa kacau' ini akan berada di kedudukan kedua selepas penyakit jantung pada 2020!

Dari segi keagamaan pula, bagaimana menghadapi ancaman 'jiwa kacau' ini? Ustaz menjelaskan minda perlu direhatkan dan salah satu caranya adalah melalui solat. Beliau lantas membacakan sepotong ayat Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah (berjiwa kacau) lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia berkeluh kesah. Apabila ia mendapat kebaikan, ia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang tetap mengerjakan solatnya.” (Al-Ma’ārij 19-22)


Saturday, November 21, 2020

Rabiulakhir 5, 1442: 'Lambat sesaat sudah mati kena tembak'...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


BAPA mentua saya bekas askar. Kini beliau sudah meninggal dunia. Marilah kita berhenti sejenak, menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepadanya. Al-Fatihah.

Isteri saya berkata semasa muda, bapanya sangat berdisiplin dengan masa. Kalau beliau mengarahkan keluarga 'ready' jam 8.00 pagi untuk sesuatu urusan seperti balik kampung, tepat pada waktu itu semua sudah berada dalam kereta, dia bertolak tepat jam 8.00 pagi.

Dia memberitahu keluarganya; "dalam operasi ketenteraan kalau awak lambat sesaat, jawapannya awak mungkin sudah mati ditembak musuh. Kalau awak lambat melepaskan tembakan walau sesaat awak telah menyebabkan rakan-rakan sepasukan terbunuh. Jadi tepatilah masa.

"Demikianlah masa sangat berharga. Masa adalah modal untuk kita mencari sebanyak mungkin laba untuk keuntungan dunia apatah lagi akhirat. Namun maaf cakap, ramai orang (termasuk diri ini) gagal menepati dan memanfaatkan masa termasuk orang 'di persekitaran masjid'. 

Hal ini sewajarnya tidak berlaku kerana berdasarkan amal ibadat yang kita diperintahkan mendirikannya adalah sangat menepati waktu. 

Contoh terbaik adalah solat fardu lima waktu sehari semalam. Setiap solat ada tempoh bermula dan berakhir.  Katakan masuk waktu zuhur di tempat saya 1.13 petang. Tepat waktu ini, jam di masjid akan berbunyi dan bilal terus melaungkan azan. Tanyalah diri kita sendiri apa akan terjadi jika bilal azan ikut suka hati dia - jam 1.30 petang atau 2.00 petang.

Pada bulan Ramadan, waktu terutama maghrib 'begitu sensitif' bagi sesetengah orang. Katakan maghrib masuk jam 7.10 petang, apakah reaksi orang kampung jika bilal azan jam 7.30 petang atau lebih 'haru' lagi jam 7.45 malam?

Ya pada bulan puasa ini, terutama waktu berbuka, ramai orang sedar akan kepentingan menepati masa tetapi amat-amatilah wahai pembaca dalam kehidupan kita, maaf cakap, (saya minta keampunan) ada di kalangan kita termasuk 'orang masjid' yang tidak menepati serta memanfaatkan masa.

Sebagai contoh, ada kuliah dijadualkan bermula selepas solat maghrib tetapi ada ustaz lambat datang malah sesekali tak datang langsung. Kalau sesekali ustaz lambat atau tak datang kerana 'ada hal' seperti sakit, kita fahamlah tetapi kalau selalu buat begitu tanpa memaklumkan melalui panggilan telefon atau SMS tidakkah itu 'mencuri masa' hadirin. 

Jika seorang kehabisan masa 30 minit, jika ada 50 hadirin masa dihabiskan adalah 25 jam. Ya berlaku pembaziran 25 jam yang sia-sia!

Ada ustaz yang datang lewat tak minta maaf pun demikian juga dengan ustaz yang tak datang (seperti memaklumkan melalui telefon). Jika ustaz tak datang, kebanyakan jemaah akan menghabiskan masa dengan berbual-bual kosong. 

Hanya segelintir memanfaatkan masa untuk membaca al-Quran, berzikir dan melakukan pelbagai ibadat lain. 

Sewajarnya, jemaah perlu bijak memanfaat masa, kata orang Arab, masa itu pedang, kalau kamu tak potongnya, dia akan potong kepala kamu! 

Orang Melayu pula kata, masa itu emas; apapun masa amat-amat perlu dihargai dan dimanfaatkan sepenuhnya tidak kiralah di kalangan ustaz ke, orang awam ke, pemimpin ke, setiap daripada kita perlu memaksimumkan penggunaan modal amat penting ini untuk kebahagiaan di dunia apatah lagi di akhirat.

Bercakap mengenai ketepatan masa ini, saya yang sudah pencen ini, hampir setiap pagi mengikuti siaran secara langsung 'Tanyalah Ustaz' di TV9. Syabas saya ucapkan kepada pihak terbabit kerana menepati waktu iaitu rancangan bermula tepat jam 7.00 pagi.  (Sekarang ini bermula jam 6.30 pagi).

Tidak pernah pula saya 'terjumpa' rancangan bermula jam 7.15 atau 7.30 pagi.Jika ustaz-ustaz di siaran 'Tanyalah Ustaz' istiqamah muncul tepat jam 7.00 pagi setiap hari, harap-harap ustaz-ustaz di luar sana termasuk pada pengajian di masjid dapat muncul tepat pada waktunya, insya-Allah. Maaf jika hamba keterlanjuran dalam 'posting' kali ini...Ya Allah, Kau ampunkan hamba-Mu yang kerdil ini.

Friday, November 20, 2020

Rabiulakhir 4, 1442: Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


MENGIKUTI laporan gelagat seorang pemimpin di negara Uncle Sam baru-baru ini, teringat saya sebuah peribahasa Melayu berbunyi 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong' yang didefinisikan 'orang yang gemar ikut campur masalah orang lain; orang yang senang menonjolkan diri'.


Definisi yang kedua itu dirasakan lebih tepat...terpulanglah kepada pembaca untuk membuat imaginasi berkenaan isu berkaitan...pada keluaran kali ini penulis ingin mengajak pembaca merenung peristiwa sejarah yang boleh dijadikan iktibar.


Bagi membicarakan isu ini, penulis sekali lagi (perkara ini pernah disentuh sebelum ini) merujuk kepada zaman gerhana Kesultanan Melaka untuk dijadikan teladan - yang baik dijadikan ikutan yang tidak baik dijadikan sempadan.


Zaman gerhana Melaka kerap dirujuk kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) iaitu pemerintah Melaka terakhir. Merujuk kepada sesetengah pengkaji, mereka mendakwa Sultan Mahmud tidak mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Salah satu kelemahannya adalah berkenaan perempuan. Semua perempuan berdahi licin hendak dimilikinya.


Misalnya, Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan kerana telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan Mahmud murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah – masuk jarum.. Alahai sultan, mudahnya terpengaruh. Akhirnya seluruh keluarga Tun Mutahir dibunuh, yang tinggal hanya Tun Fatimah untuk dijadikan isteri Sultan.


Kemaruk Sultan memuncak apabila 'tergilakan' Puteri Gunung Ledang. Puteri bijak menghelah dengan mengemukakan tujuh syarat peminangan termasuklah disediakan jambatan emas menghubungkan puncak gunung itu dengan Melaka, hati nyamuk tujuh dulang dan semangkuk darah anakanda Sultan, Raja Ahmad. Disebutkan pada mula Sultan Melaka berhasrat memenuhi syarat itu - cukai ke atas rakyat ditingkatkan manakala ada menyebut harta mereka seperti emas dirampas. Namun faktor membabitkan kepentingan diri sendiri (semangkuk darah Raja Ahmad), Sultan membatalkan hasrat itu.


Kezaliman Sultan sudah keterlaluan, tetapi adakah orang berani menegur? Jawapan yang zahir adalah tidak kerana mereka tersangat takut kerana orang kanannya sendiri seperti Bendahara bukan saja disingkirkan tetapi seluruh keluarganya dibunuh. Menegur Sultan bermakna mati atau setidak-tidak dihumbankan ke dalam penjara atau 'dibuang ke luar daerah' (dihukum bunuh tetapi diselamatkan Bendahara Tun Perak) seperti dialami Laksamana Hang Tuah.


Menegur Sultan (mengkritik pemerintah) tidak berlaku pada zaman gerhana ini. Apa yang ada terdapat ramai pengampu dan tukang fitnah serta pengkhianat seperti Si Kitol dan Datuk Mendeliar. Sultan diberi 'gambaran indah-indah' - tidak mengetahui situasi sebenar dalam negara yang di ambang untuk jatuh. Ramai yang berarak menyatakan sokongan kepada Sultan, hakikatnya sokongan inilah yang membawa rebah. Ya pemerintah sudah nazak tetapi masih ramai rakyat berarak-arak di jalan raya...


Apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511, dilaporkan angkatan perang Melaka terlalu gagah untuk dikalahkan. Tetapi angkara terlalu ramai pengkhianat (termasuk yang berarak di jalan raya menyatakan sokongan)  yang memberi bantuan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, akhirnya tewaslah Melaka menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa berpindah randah dan akhirnya mangkat di Sumatera pada 1528.


Demikianlah berakhirnya sebuah empayar, peristiwa dalam sejarah kerap berulang-ulang...adakah kita mahu terus membutakan mata dan memekakkan telinga daripada pengajaran sejarah ini. Faktor seperti pemerintah 'dikuasai bini', bersikap boros, menindas rakyat dengan cukai tinggi, membunuh (menyingkir) pesaing termasuk pembantu kanan adalah fenomena biasa pada zaman gerhana.


Ya, itu 'kisah dulu', sekarang ini wahai pembaca, fikir-fikirkanlah sejenak sama ada kita kini di zaman gerhana atau tidak berdasarkan gelagat 'si polan berkenaan' ketika berada di negara Uncle Sam. Mari kita buat perbandingan kisah Sultan Melaka yang terakhir dan 'si polan itu'.


Sultan Melaka dalam meminang Puteri Gunung Ledang sanggup memenuhi semua syarat seperti menyediakan jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka dan ini boleh dijayakan dengan mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat hatta sehingga merampas harta mereka semata-mata bagi memenuhi nafsu serakah beliau.


Pemimpin terkini dalam usaha menonjolkan diri termasuk di pentas antarabangsa sanggup 'mempertaruhkan' wang simpanan berdikit-dikit hasil keringat rakyat yang jumlahnya berbilion-bilion ringgit dalam usahanya 'memenangi hati' lelaki yang dianggap paling berkuasa di dunia. Dalam mengejar 'ke-glamor'an' dunia, pemimpin seakan-akan terlupa langsung akan kemiskinan dan derita rakyat yang ramai daripada mereka adalah penerima skim bantuan.


Jika pemerintah terakhir Melaka 'menjarah' harta benda rakyat termasuk mengenakan cukai yang tinggi, apakah rakyat sekarang senasib 'orang dulu' kerana dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan yang 'mengenai' semua orang - ya si pengemis yang mahu makan roti pun kena cukai demikian juga si miskin yang mahu membayar bil air dan elektrik.


Akhir sekali renung-renunglah sejenak hal ini...Sultan Melaka akhirnya membatalkan niat menyunting Puteri Gunung Ledang kerana tidak sanggup 'miliknya' dikorbankan (permintaan semangkok darah Raja Ahmad) dan dalam kes hari ini, adakah pemimpin sanggup mengorbankan 'miliknya' yang paling bernilai (seperti anak dan sang isteri) untuk memuaskan nafsunya sekalipun ada orang menuduhnya hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong atau kera di hutan disusui anak di riba dibiar kematian?


Thursday, November 19, 2020

Rabiulakhir 3, 1442: Tepati matlamat, perjalanan berdesup...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu sesungguhnya orang-orang sombong takabur daripada berdoa serta beribadat kepada-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." (Surah Ghafir, ayat 60) 


ANAK 'bongsu' saya belajar di sebuah IPG nun di utara. Baharu-baharu ini IPG cuti, ibu bapa diminta mengambil anak masing-masing. 


Saya dan isteri berkira-kira; kalau berkereta dari Melaka ke Pulau Pinang perjalanan pergi balik boleh mengambil masa 12 jam dan ditambah waktu rehat, meronda, 'shopping' dan sebagainya...subhanallah banyak masa perlu 'dikorbankan'.


Namun disebabkan pelbagai faktor antaranya gejala Covid-19 yang menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenakan 'perintah berkurung' - perjalanan saya dari Melaka ke Pulau Pinang - adalah 'tersangat deras' - jam 11.00 malam Sabtu saya bertolak dari Melaka, jam 4.00 petang keesokan hari ini kami sudah sampai ke rumah dengan membawa si anak guru pelatih itu!


Ini 'satu rekod' perjalanan jauh dari segi masa yang pernah kami catatkan. Biasanya bagi perjalanan jauh, banyak masa dihabiskan dalam kesesakan jalan/lebuh raya, meronda ke sana sini, anak isteri sibuk 'bershopping' yang menyebabkan kami terpaksa bermalam di hotel, rumah inap atau pun tidur dalam kereta,


Kali ini lebuh raya sunyi - pada sebelah malam lebih banyak lori daripada kenderaan persendirian. Kawasan rehat dan rawat di lebuh raya termasuk yang biasanya sibuk seperti Hentian Tapah lengang - entahlah macam dilanggar burung geroda kelihatannya! Hampir semua kedai makan tutup, jadi tak banyak masa dihabiskan di sini.


Selepas sampai di rumah, saya berfikir, matlamat kami adalah mengambil anak untuk dibawa pulang...itu dapat dibereskan berdesup. Yalah, kalau diikutkan 'ragam lama' yang banyak acara sampingan seperti makan-makan, membeli belah dan makan angin...banyak masa dibazirkan.


Itu dalam bab dunia, kalau dalam bab akhirat, jika seseorang itu menepati matlamatnya iaitu mendapat keredaan Illahi, insya-Allah dia akan 'berdesup' mendapatkannya, tidaklah dia menyibuk dalam pelbagai perkara lara.


Dalam menjalani penghidupan di dunia yang singkat ini (hadis menyatakan tempohnya bagaikan seorang pengembara berteduh di bawah sebatang pokok (semacam RR) sebelum meneruskan perjalanan jauh, manusia melakukan pelbagai perkara melekakan dan tipu muslihat untuk menumpuk kekayaan dan menempa kemasyhuran.


Keghairahan manusia untuk berleka-leka atau menipu untuk menumpuk kekayaan dan membina kemasyhuran, sebenarnya untuk apa? Seperti dinyatakan, hidup ini adalah singkat saja sedangkan harta bertimbun dan kemasyhuran tidak mampu membawa manusia ke tingkat kebahagiaan, bahkan membawa kepada kesengsaraan hidup dan kemusnahan semata-mata!


Ingatlah bahawa kenikmatan sama ada dari segi kepuasan nafsu makan minum, pemilikan harta benda, seksual dan keperluan duniawi lain hanyalah bersifat sementara yang pada bila-bila masa boleh ditarik Allah SWT dalam sekelip mata.


Apa guna makanan dan minuman begitu lazat dilambakkan di meja sedangkan seseorang sudah dihinggap kencing manis atau lebih parah lagi apabila pelbagai penyakit sudah bersarang dalam tubuh? Demikian juga apa guna duit bertimbun-timbun dalam akaun bank sedangkan untuk makan seulas durian pun tidak boleh?


Selain menipu dan merompak untuk membina kekayaan, ada orang bersifat lebih dahsyat iaitu memfitnah orang dalam membina kekuasaan dan kemasyhuran diri yang sudah pasti bagi memuaskan nafsu alat antara lutut dan pusat (tentunya nafsu makan dan seksual).


Ulama tersohor Nusantara, Hamka yang telah dipenjarakan selama dua tahun lebih oleh rejim Orde Lama Sukarno, menulis dalam kitabnya, Tafsir Al-Azhar, Juzuk 1: “...manusia-manusia berjiwa kecil, yang menyangka bahawa dengan berbuat dan menyusun fitnah, hasad dengkinya bisa (boleh) dilepaskan, yang merasa diri BESAR kerana pangkat, akan kembali menjadi kepinyuk kecil setelah pangkatnya ditanggalkan daripada dirinya...Zaman bergilir, ada yang naik dan ada yang jatuh, dunia tiada kekal.”


Bagi orang perjuangan, amat-amati apa ditulis oleh Hamka ini agar mereka sedar sama ada perjuangan masing-masing berada di landasan benar atau tidak. Kata Hamka: “Imam Ahmad bin Hanbal pernah mengatakan, bahawanya tanda alamat orang yang berjalan atas yang hak ialah apabila dia mati dihantarkan jenazahnya ke pusaranya oleh ribu-ribu manusia, dengan sukarelanya sendiri.”


Tentunya kita tidak tahu bagaimana keadaan masa kita mati nanti, tetapi kita boleh merasakan naluri hati sendiri sama ada ramai orang akan bersedih dengan kematian kita atau mereka tertawa gembira kerana kejahatan kita sudah berakhir dengan kematian kita atau lebih teruk lagi mereka akan kencingkan kubur kita!


Ingatlah pesan Allah SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dialah yang beroleh petunjuk dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi." (Al-A'raaf Ayat 178)


Perilaku manusia yang degil, tidak mahu tunduk kepada perintah Allah SWT ini yang kemudian dimusnahkan dirakamkan oleh-Nya dalam al-Quran melalui kisah kaum Nabi Nuh, Ad, Tsamut Lut dan sebagainya. 


Sesungguhnya bala daripada Allah SWT tersangat dekat, tetapi tertahan disebabkan adanya orang tua rukuk kepada-Nya, anak-anak muda yang taat kepada agama-Nya, bayi-bayi yang masih menyusu dan binatang melata di muka bumi. 


Ingatlah semua orang akan mati; raja, wazir, hakim, ulama, penulis, penjual ikan tidak terkecuali. Bagaimana terkenal dan hebat pun akan mati. Ketika hidup nama dan segala kehebatan terpampang dan disanjung,  apabila mati, semuanya sirna. 


Demikianlah sebenarnya manusia tidak ada apa-apa, menurut hadis Nabi, hidup seseorang di dunia ini bagaikan pengembara yang berhenti untuk berteduh sebentar di bawah sebatang pokok, kemudian dia akan pergi.


Namun ramai daripada kita berleka-leka - berehat-rehat, makan minum, tidur baring malah ada yang sampai hendak 'membuat rumah' di RR, jadi bila kita mahu sampai ke destinasi sekaligus menjayakan matlamat kita.


Ingatlah kematian semakin hari semakin hampir. Jadi persiapkan diri untuk ke kubur (ini matlamat kita) daripada bersusah payah kerana mahu memuaskan nafsu di dunia fana yang diibaratkan Nabi 'hanya berteduh sebentar di bawah sebatang pokok'! Ya, Mengapa mahu 'membina rumah' di RR sedangkan RR bukan destinasi kita...jika hal-hal seperti ini kita dapat kesampingkan, insya-Allah kita akan berdesup mendapat keredaan-Nya.


Wednesday, November 18, 2020

Rabiulakhir 2, 1442: Perihal perkahwinan tak lagi glamor...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


SEORANG saudara saya yang tak jadi mengadakan majlis perkahwinan anaknya Mac lalu akibat 'perintah berkurung', alhamdulillah selamat mengadakan majlis itu 25 Oktober lalu.


Saya yang pergi berseorangan selepas solat zuhur agak terkejut kerana tetamu ketika itu tak sampai 20 orang. Demikianlah pada fikiran saya,  para jemputan  semakin takut datang ke majlis-majlis keramaian, al-maklumlah kes Covid-19 semakin mencemaskan akhir-akhir ini.


Ketika makan, sempat saya mencapai 'flyer' (risalah) promosi pakej katering perkahwinan. Ada iklan pakej ekonomi tertera perkataan besar WOW 1,000 tetamu = RM10,000. Ada pakej makanan sahaja; 1,000 tetamu = RM6,000.


Selain itu ada juga iklan pakej lengkap (antara lain jurugambar, DJ dan sistem PA, set khemah, pelamin dan andaman, kompang, 'gooddies' (buah tangan tetamu) dan kek perkahwinan) 1,000 tetamu = RM13,000.


Subhanallah, harga pakej majlis perkahwinan sudah menjunam ke paras mungkin paling rendah. Ini berita baik bagi mak bapak bakal pengantin. Dahulu pakej lengkap sederhana boleh mencecah 1,000 tetamu = RM18,000 atau RM22,000 tetapi disebabkan ekonomi rakyat merudum sekarang ini, sebahagiannya disebabkan pandemik Covid-19, harga sesetengah barangan dan perkhidmatan sudah menjunam!


Perkembangan sekarang memberi peluang orang awam (masyarakat) merenung akan kegilaan mereka mengadakan majlis perkahwinan penuh glamor dan pembaziran pada masa-masa lampau. Ada yang tak mampu, tapi sanggup berhutang dan bergolok gadai semata-mata untuk 'berglamor'!


Sebahagian kisah cinta dan mahligai bahagia (atau tak bahagia) didirikan melalui majlis walimatulurus, tidak ramai yang mengutamakan dari sudut kehendak Islam. Pendeknya soal ketepatan hukam hakam agama tidak banyak diberi perhatian.


Pelbagai aspek urusan perkahwinan yang merupakan soal ibadat, telah tersasar daripada kehendak Islam. Ada perkahwinan glamor tersimpang dari segi agama dan adat tetapi kata bijak pandai semuanya tertutup dengan wangi-wangian dunia iaitu kecantikan, wang ringgit, kemasyhuran, pangkat dan pelbagai elemen firdausi lain.


Ada pihak mengejar laba dan syurga dunia daripada sesuatu perkahwinan itu. Daripada orang bisnes yang sibuk dengan aneka persediaan seperti katering, lokasi, pakaian dan dekrorasi membawa kepada pengantin, keluarga pengantin dan tetamu, tak kurang yang mabuk dengan elemen kemasyhuran, nama, cinta dan seumpamanya.


Semuanya dipandang indah manakala agama tersisih di tepi. Dalam perkahwinan biasa dan di kampung pun, ada mak bapak pengantin perempuan mengambil khidmat tukang andam lelaki (kadang-kadang mak nyah!). Mereka masuk bilik pengantin, sarungkan pakaian, solekkan pengantin dan apa lagi dibuat tidaklah diketahui.


Alangkah rugi si pengantin lelaki kerana kecantikan isterinya sudah dilihat lelaki lain. Bukan saja lelaki lain itu dapat lihat, dia dibayar lumayan pula! Pembaziran, entahlah?


Sudah menjadi trend segelintir wanita mengaku Islam - kejap bertudung, kejap hampir berbogel. Macam iklan biskut pula. Kejap ada, kejap tak ada. Nikah di masjid bertudung litup tetapi pada majlis resepsi, buka bahu dan dada! Apa nak jadi agaknya sebahagian orang Melayu/Islam ini?


Tuesday, November 17, 2020

Rabiulakhir 1, 1442: Biasakan zikir, zikir jadi kalimah terakhir...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya." (Surah Al-Kahfi, ayat 109) 


SEKARANG ini 'zaman susah'. Sehari dua ini saya lihat dua pemuda memakai pelitup muka hitam, berjualan di sebuah persimpangan berlampu isyarat teramat sibuk berhampiran rumah saya. Saya cuba cam apa dijual mereka...oh ya, jeruk mangga (buah-buahan) dalam botol dengan harga RM10.


Berjualan di lampu isyarat biasa di negara jiran seperti Indonesia. Tetapi kini ia sudah dapat disaksikan di Malaysia. Apa sebabnya? Mungkinkah ekonomi (poket) rakyat makin kering menyebabkan mereka ketepikan rasa mahu demi mencari sesuap nasi pada zaman sukar ini?


Berceloteh mengenai zaman susah ini, teringat saya kisah saya mengutip barangan makanan 'free' suatu ketika dahulu - kangkung dan 'ikan longkang'.


Aahh kangkung, ada apa dengan kangkung? Orang kampung macam saya memang sinonim dengan kangkung; ya sayur kangkung kampung mudah diperolehi, ia hidup subur dalam parit, longkang, kolam dan sawah.


Untuk 'membiakkan' kangkung kampung tak susah; campakkan saya potongan-potongan kangkung terutama yang sudah tua ke dalam parit atau kolam, insya-Allah tumbuhlah ia. Dua minggu selepas itu, dapatlah kita makan pucuk kangkung lembut yang sedap digoreng begitu saja - tetapi tentulah kena dibubuh perencahnya seperti ikan bilis yang sudah ditumbuk lumat.


Ya, kalau sudah ada sayur kangkung, jangan lupa satu lagi bahan makanan yang boleh didapati secara 'free of charge' dari takungan dan saliran air seperti parit, longkang, kolam dan sawah. Itulah antara 'sumber protein terhebat sesetengah orang kampung - ikan darat seperti betuk (puyu), sepat, keli dan haruan.


Ketika zaman kanak-kanak dulu, saya adalah 'raja longkang' - 'pemburu' ikan-ikan darat di sekitar kampung saya. Pantang saja ada peluang memancing atau 'menggogoh' (menangkap ikan dengan tangan), saya maksimumkan.


Nasib baiklah ketika zaman kecil saya, ibu saya sudi memasak ikan-ikan tadi, jadi dapatlah saya menikmati 'resepi eksotik' seperti ikan haruan masak lemak yang ditaruh bunga kantan dan daun kesum; ohh sungguh sedap baunya dan menyelerakan sekali.


Kangkung yang saya ambil dari parit pula, dimanfaatkan untuk dijadikan lauk seperti 'pencuk kangkung' (semacam masak lemak berempah) tetapi biasanya digoreng saja. Aiii, kalau dapat lauk ikan darat masak lemak dan pencuk kangkung, 'ana rasa dunia ini ana yang punya'!


Itu cerita zaman saya kanak-kanak dulu. Selepas kahwin, 'kisah lama itu tidak berguna diulang lagi'.


Orang rumah hamba, bukannya pemakan ikan-ikan yang disebutkan itu. Ada pernah hamba beli ikan keli hidup-hidup seperti yang ada di jual di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Selepas beli, hamba sianglah sendiri...selepas itu serahkan kepada 'bini' untuk 'proses seterusnya'. Pembaca mahu tahu apa yang berlaku?


Ketika membersih-bersihkan ikan itu, orang rumah hamba menjerit kuat - terpaksalah hamba bergegas ke dapur, lantas bertanya, apa hal? "Ikan-ikan itu masih hidup bang, ketika saya tekan dagingnya, ia masih bergerak-gerak," katanya.


Memanglah, ikan darat kalau sudah disiang, kadang-kadang masih bergerak-gerak anggota badannya. Itu normal bagi saya tetapi tidak bagi isteri saya. Mukanya sudah pucat, sejak itu saya sudah putuskan, tidak payahlah saya beli ikan masih hidup seperti keli atau betuk.


Sudah lama saya 'melupakan' cara hidup kampung ini. Tetapi apabila 'dah pencen' teringin pula nak merasakannya balik. Saya pun cari ikan darat. 'Last-last' saya kena siang dan masak sendiri. Demikian juga dengan sayur kangkung. Sendiri cari, sendiri siang, sendiri masak...dan akhirnya saya sendiri makan sebab seluruh anggota keluarga saya tak makan 'benda-benda' dari longkang ini...Hai, 'apo, nak dikate'...


Sebenarnya kisah lama tak payah diulang. Ulama menasihatkan manusia ada tiga masa - semalam, hari ini dan esok. Semalam adalah sejarah, esok belum tentu, jadi gunakan hari ini semaksimum mungkin untuk mencari kebahagiaan dunia akhirat. Ketika ini musim Maulidur Rasul, jadi pada penghujung celoteh saya manfaatkannya untuk ingatan bersama.


Dalam satu ceramah, saya dengar ustaz menasihatkan: "Berselawatlah ke atas Nabi sebanyak mungkin. Penuhkan dada dengan selawat dan zikir. Insya-Allah, akhir kalimah kita nanti, Lailahaillallah..."


Seorang sahabat saya daripada Jemaah Tabligh pula selalu memberi nasihat dengan kisah-kisah ini: "Sebuah lori penuh muatan tembikai, apabila berlanggar, tentulah buah tembikai 'akan terhambur' dari lori itu.


"Seorang pemandu teksi yang asyik menjerit, "JB, JB, JB" dikisahkan kerap menyebut "JB, JB, JB" ketika 'nak mati'." Demikian ibaratnya, jika dada kita penuh dengan kalimah Allah dan lidah kita sentiasa basah dengannya, insya-Allah ketika 'direntap nyawa' nanti, kalimah Allah akan terucap dari mulut kita..."


Sempena Maulidur Rasul sekarang ini, basahkanlah lidah kita berselawat kepada junjungan kita, Rasulullah s.a.w. - Allahumma solli'ala Muhammad wa'ala aali Muhammad (Ya Allah berilah rahmat dan kesejahteraan kepada junjungan kita Nabi Muhammad dan keluarga Muhammad).


Monday, November 16, 2020

Rabiulawal 30, 1442: Presiden AS perlu matang dalam hubungan dengan dunia Islam

 DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu sesungguhnya orang-orang sombong takabur daripada berdoa serta beribadat kepada-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." (Surah Ghafir, ayat 60) 


KETIKA bertugas sebagai pengarang luar negara sebuah akhbar harian tidak lama dahulu, pemilihan Presiden Amerika Syarikat sentiasa menarik perhatian saya. Namun sayang seribu kali sayang, saya tidak pernah dihantar bertugas membuat liputan pilihan raya malah ke negara 'Uncle Sam' pun saya tak pernah.


November ini (2020) menyaksikan calon Demokrat, Joe Biden, 77, berjaya 'mengnyahkan - mengunci mulut'  Si Celupar, Donald Trump (Republikan) termasuk dalam isu membabitkan umat Islam, sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46.


WELCOME BACK AMERICA - demikian ucapan tahniah sebahagian besar pemimpin dunia kepada Biden sebagai Presiden dan Kamala Harris (ibunya kelahiran India, ayah kelahiran Jamaica) sebagai Naib Presiden.


Dunia mengharapkan Biden dapat mengembalikan peranan Amerika sebagai 'pemegang keamanan dunia' (polis dunia) tidak seperti Trump dengan lagaknya untuk semata-mata mengangkat kesombongan Amerika dengan slogan 'Make America Great Again'.


Dalam biografi Biden (Joseph Robinette Biden Jr) yang merupakan Naib Presiden semasa pentadbiran Barack Obama, ada dinyatakan beliau tidak  minum minuman keras kerana sejarah masalah ketagihan alkohol pernah berlaku dalam keluarganya.


Fakta mengenai Biden yang tidak minum arak ini, menarik perhatian untuk mengaitkan peranan Presiden Amerika dalam menangani permasalahan berkaitan dunia dan umat Islam.


Sangat menarik untuk menilai bagaimana nanti sikap, pendirian dan tindakan Biden terhadap umat dan negara Islam. Demikian juga sebaliknya, bagaimana reaksi umat dan negara Islam terhadap Biden? Ya dahulu, bukankah Trump pada awal pentabirannya lagi antara lain telah 'menjuarai' Zionis Israel, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota negara Yahudi?


Bagi Trump dahulu beliau diingati semasa kempennya mengesyorkan supaya orang Islam dilarang memasuki Amerika Syarikat. Trump menimbulkan kemarahan di kalangan umat dan negara Islam termasuklah Turki yang tidak lama dulu menyaksikan percubaan rampasan kuasa tentera yang nyaris menyingkirkan Presiden Tayyeb Erdogan. 


Berdasarkan perkembangan semasa, Presiden Amerika perlu matang dalam hubungan dengan umat, negara dan dunia Islam. Ini kerana perkembangan terkini di negara umat Islam seperti Turki menyaksikan pemimpin dan parti bernaunsa Islam menerajui kuasa selepas berlaku kebangkitan rakyat manakala di rantau lain seperti di Xinjiang (China), Kashmir (India), Chechnya (Rusia), Mindanao (selatan Filipina) dan Rakhine (Myanmar) umat Islam berterusan ditindas dan dizalimi walaupun dilaporkan sudah diusahakan pelan damai di wilayah bergolak berkenaan.


Diharapkan Presiden Amerika terkini tidak mengulangi kesilapan presiden-presiden terdahulu seperti George W Bush yang menyumbang kepada kemusnahan Iraq dan kehancuran Afghanistan. Sebaliknya, Presiden Amerika diharapkan dapat menyumbang dalam menjadikan dunia tempat aman untuk didiami seluruh insan.


Sejarah merakamkan bahawa tentera Amerika yang hebat dan sofistikated itu tidak pernah terbabit dalam peperangan di negara sendiri sebaliknya menunjukkan kejantanan dan membasahi darah bumi yang jauh seperti Timur Tengah, Afghanistan dan Vietnam. Namun, kuasa Ilahi tidak mampu dihalanginya; kini dunia Barat (termasuk Amerika Syarikat) malah di serata dunia gempar dan gentar dengan siri pengeboman dan letupan yang dituduhkan ke puak militan.


Dunia menanti pemasyhuran Presiden Amerika yang baharu (biasanya Presiden Amerika memulakan tugas pada awal tahun baru - mulai 20 Januari) dengan penuh harapan, moga-moga beliau dapat menjadikan dunia lebih aman, namun pemimpin negara umat Islam tetap menunjukkan reaksi berhati-hati. Presiden terdahulu seperti Bush Jr dan Obama dilaporkan cuba memahami Islam termasuk mengadakan majlis berbuka puasa untuk sejumlah pemimpin umat Islam, persoalannya aspek Islam mana yang difahami oleh mereka. 


Jika Bush melabelkan orang Islam sebagai pengganas selepas serangan ke atas WTC manakala Obama mengambil sikap lebih berhati-hati, diharapkan Presiden baharu Amerika lebih matang dalam menghadapi isu membabitkan umat dan dunia Islam. Hari ini berdasarkan perkembangan semasa, dunia terus dihantui keganasan dan sesuatu amat dikesali dan memedihkan ia terus ditudingkan kepada apa didakwa 'pengganas Islam' seperti dilakukan ramai pemimpin Barat termasuk Amerika, tetapi satu hakikat yang disembunyikan kezaliman semakin menjadi-jadi ke atas umat Islam.


Contohnya amat jelas, rejim Israel semakin ganas ke atas umat Islam Palestin (malah sejumlah negara Islam seperti Emiriyah Arab Bersatu - UAE - sudah mengiktiraf Israel), rejim Beijing semakin ganas ke umat Islam Xinjiang, rejim India mengganasi umat Islam Kashmir, manakala rejim Myanmar (Burma) membiarkan keganasan ke atas orang Islam Rohingya sekali pun negara itu kini dipimpin pemenang Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi.


Sehubungan itu, diharapkan Presiden Amerika yang baharu, dapat memahami umat dan dunia Islam dan bagi orang Islam sempena bulan Rabiulawal yang mulia sekarang ini marilah kita bersama-sama berdoa agar Presiden Amerika tidak lagi melumurkan tangannya dengan darah anak-anak di dunia Islam seperti Afghanistan, Palestin dan Iraq seperti dilakukan presiden-presiden Amerika terdahulu.


Sunday, November 15, 2020

Rabiulawal 29, 1442: Jenayah menjadi-jadi, hukum Allah penyelamat manusia (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


PADA suatu majlis ilmu antara waktu maghrib dan isyak di sebuah masjid berhampiran kediaman saya tidak lama dulu, tok guru mengingatkan bahawa setiap Muslim tidak akan terlepas daripada ditanya usaha mereka dalam menunaikan kewajipan agama termasuklah menjayakan hukum jenayah Islam yang terbahagi kepada tiga iaitu hukum hudud, qisas dan takzir.


Tok Guru berkata, dalam menunaikan kewajipan beragama ini ada yang boleh dilakukan sendiri seperti solat dan ada yang tidak boleh dilakukan sendiri, ia membabitkan negara seperti melaksanakan hukum jenayah hudud, qisas dan takzir. Sekalipun ia membabitkan pihak berkuasa, tidak ada Muslim yang terlepas daripada ditanya oleh Allah SWT mengenai peranannya dalam pelaksanaan hukum jenayah ini, kata tok guru.


"Jadi kepada orang awam seperti kita ini, apa kita boleh buat untuk menghadapi pertanyaan Allah nanti?" tanya tok guru yang sendiri menjawab: "Pertama, kita mesti mengaku bahawa hukum-hakam ini wajib ke atas diri kita kerana ia difardukan Allah sama seperti sembahyang dan puasa. Kedua kita mesti berniat untuk melaksanakannya tetapi memohonlah keampunan bersungguh-sungguh kepada Allah kerana tidak ada daya untuk melakukannya.


"Ketiga kita hendaklah mendoakan agar pemimpin yang memerintah kita hari ini terbuka hatinya untuk melaksanakan hukum Allah ini. Kita berdoa bersungguh-sungguh agar mereka dapat menerima Islam sepenuhnya."


"Keempat," kata tok guru, "kita hendaklah membantu sedaya upaya jika ada pihak yang berusaha ke arah melaksanakan hukum-hakam ini, dan yang kelimanya kita tidak pula berusaha menggagalkan pihak yang mahu melaksanakannya termasuklah membantu pihak berkenaan," kata tok guru.


Tok guru mengingatkan selalulah berbuat kebajikan dan jika kita tidak boleh berbuat baik, janganlah berbuat jahat kerana itu sudah dikira ibadat juga. Jika kita tidak mampu membuat kebajikan, jangan pula menghalang orang yang mahu berbuat kebajikan.


Berbicara mengenai bab hudud ini, sebagai seorang Muslim saya dengan rendah diri ingin mengingatkan diri sendiri dan pembaca bahawa ini hukum Allah, setiap Muslim perlu ada niat dan usaha untuk melaksanakannya dan sebagai penulis saya menyatakannya secara terbuka dalam kolum ini.


Hari ini kes jenayah berleluasa. Kenapa jenayah menjadi-jadi? Kenapa orang tidak takut melakukan jenayah? Kenapa suami tergamak mencurah asid atau mengelar kemaluan isteri? Mengapa orang tidak takut berzina dan membuang bayi?


Jawapannya, kata ustaz, kerana hukam-hakam Allah SWT yang menciptakan manusia tidak tertegak. Dalam hukum-hakam Allah ada kehidupan, itu jaminan-Nya tetapi kita tidak mengendahkannya. Kita berlaku zalim, menggubal dan menuruti hukum-hakam berasaskan nafsu-nafsi manusia. Apabila manusia berani menolak hukum-hakam Allah, mereka sudah menempa kebinasaan diri.


Ambil contoh ketegasan hukum qisas. Hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.


Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga. Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.


Allah SWT berfirman maksudnya: " Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya." (Surah al-Maidah ayat 45)


Dengan tidak tertegaknya hukum-hakam Allah ini, masyarakat tidak menjadi gerun; tidak ada ketakutan bagi mereka melakukan jenayah. Cuba bayangkan bagaimana gentarnya anggota masyarakat untuk membunuh jika mereka tahu pengakhiran mereka dibunuh juga, pencurah asid akan menerima pembalasan dicurah asid ke mukanya pula manakala yang mengelar tubuh mangsa, akan dikelar juga tubuhnya.


Masyarakat juga perlu disedarkan akan mahalnya diat (denda) yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta; jika seekor unta RM3,000, nilaian diat adalah RM300,000!


Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.


Demikianlah hukum-hakam Islam adalah untuk menjaga keselamatan semua; Islam menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Apabila itu terjaga, terselamatlah semua, bukankah kedatangan Rasulullah s.a.w membawa rahmat kepada seluruh alam. Jadi mengapa kita menolak hukum-hakam-Nya? Tidak sombong dan takaburkah kita?

Saturday, November 14, 2020

Rabiulawal 28, 1442: Fikir-fikirkanlah jika hutang atasi aset...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya." (Surah Al-Kahfi, ayat 109) 


KETIKA ini salah satu kelas pengajian mingguan di masjid berhampiran rumah saya membicarakan bab faraid. Pelajaran bab ini sudah berlangsung beberapa minggu, mutakhir ini ustaz menerangkan bagaimana menguruskan harta pusaka si mati. 

Sebelum memfaraidkan harta pusaka oleh waris, perlulah dibereskan daripada harta si mati beberapa urusan seperti belanja mengurus jenazah, kemudian dibayar hutang kepada Allah (seperti fidyah puasa dan badal haji) serta hutang sesama manusia, menunaikan wasiat, kemudian diselesaikan harta sepencarian membabitkan isteri/suami dan apabila semua perkara-perkara berkaitan dapat dibereskan, barulah harta si mati dibahagikan mengikut hukum faraid. 

Ustaz itu kemudian memberikan contoh pengiraan pembahagian harta pusaka. Tidak menjadi masalah besar jika harta pusaka si mati mengatasi hutangnya tetapi apa akan terjadi jika hutangnya lebih banyak daripada harta yang ditinggalkan, tentunya pewaris akan 'pucat muka' dan terkebil-kebil biji mata mereka. 

Katakan si mati meninggalkan harta yang keseluruhannya bernilai RM500,000 tentunya pewaris seperti anak, isteri dan sebagainya menyangkanya banyak dan tertanya-tanya berapa yang akan mereka perolehi daripada bahagian masing-masing tetapi selepas disemak hutang si mati berjumlah RM600,000; pendeknya hutang lebih banyak daripada aset; apa akan terjadi selepas itu? Berputih matalah anak isteri. 

Tentunya waris tidak keruan, mereka sebenarnya bukan dapat harta pusaka, sebaliknya perlu membereskan hutang sebanyak RM100,000. Membereskan hutang itu tanggungjawab waris, tetapi apa akan terjadi jika waris tidak dapat membayarnya? "Menjadi kewajipan pihak berkuasa (seperti Baitulmal) untuk melangsaikannya," kata ustaz. 

Demikianlah dalam kehidupan ini, terutama pada zaman orang banyak berhutang sekarang ini seperti penggunaan pelbagai kad kredit, dikhuatiri seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan mempunyai beban hutang yang terlalu banyak. 

Tentunya si mati 'sudah selamat' dimasukkan ke dalam kubur (dari sisi pandangan dunia) tetapi keluarga yang ditinggalkan akan menanggung bahana berpanjangan. Hakikatnya bukan saja keluarga saja yang menderita di dunia, si mati juga menghadapi 'masalah yang tersangat hebat' di alam barzakh disebabkan hutangnya itu apatah lagi mereka yang sengaja tidak mahu membayar hutang atau melengah-lengah atau mencari dalih mengelak diri daripada membayarnya. 

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi." Sabda Baginda lagi, bermaksud: "Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya." (Hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An- Nasai, dan Ibn Majah) 

Sekalipun ancaman terhadap orang berhutang adalah besar tetapi berhutang seolah-olah sudah menjadi budaya masyarakat kita. Hampir semua kegiatan jual beli berhutang. Beli rumah hutang. Beli kereta hutang. Beli televisyen hutang. Beli perabot hutang. Beli barangan runcit dan ikan pun hutang. Malah makan di warung pun hutang dengan ditulis dalam buku 555. 

Jadi tidak takutkah jika kita mati nanti meninggalkan aset banyak bernilai RM500,000 tetapi hutang kita sekeliling pinggang berjumlah RM600,000! Kita bukan menyenangkan anak isteri yang ditinggalkan sebaliknya menyusahkan mereka! Ya Allah, Kau ampuni dosa hamba-hambamu ini.