Monday, October 3, 2022

6 Rabiulawal 1444: 16 Sept pesta, 18 Sept ribut landa Melaka...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Maksud Surah Ar-Rum: 21)


KETIKA sambutan Hari Kemerdekaan (Kebangsaan) Malaysia ke-65 pada 31 Ogos lalu, pemimpin dan rakyat negeri Hang Tuah berkumpul dan berselawat beramai-ramai pada malam ambang kemerdekaan di Dataran Masjid Al Azim - lebih 10,000 orang hadir. Ya, Melaka berselawat, itulah 'tagline'nya pada malam itu.


Pada malam 16 September pula, pada sambutan Hari Malaysia ke-59 peringkat kebangsaan di Dataran Pahlawan Bandar Hilir, pemimpin negara, negeri dan rakyat (dilaporkan 50,000 orang hadir sedangkan jangkaan hanya 20,000 orang), dijamu majlis hiburan patriotik dan persembahan tempatan termasuk dondang sayang yang bercampur lelaki perempuan.


Malaysia boleh atau 'serba boleh'; Melaka pun 'serba boleh'. Berselawat boleh, berdondang sayang dan berjoget pun boleh.Semuanya dibuat pada ketika ada pula suara-suara yang mahu memartabatkan ajaran dan pengamalan Islam.


Penulis mengutip dan mengulang siar berita media tempatan mengenai apa yang berlaku di Melaka pada 16, 17 dan 18 September. Pada 16 September, Melaka berpesta; pada 17 September, Melaka TV mencatatkan Al Quran itu panduan, Sunnah itu jalan. Setiap ayat terkandung dalam kalam Ilahi mempunyai mesej dan pesanan tersirat yang perlu dihayati setiap Muslim.

Semoga penganjuran Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran di negeri dapat menarik lagi dan menggalakkan orang ramai untuk sama-sama menghayati dan membudayakan al-Quran.


Pada awal pagi 18 September pula, hujan ribut melanda Melaka - sejumlah kampung di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah dilanda banjir. Malah sejumlah pokok dan binaan struktur ringan seperti kanopi dan papan iklan gergasi (billboard) juga tumbang. Kejadian pokok tumbang di Telok Mas adalah serius, rumah dihempap...ya nama Telok Mas ada disebut dalam pesta Hari Malaysia...'pendondang sayang' lelaki ketika ditanya berasal dari mana...jawab beliau.....dari Telok Mas.


Demikianlah, apabila 'time' berdondang sayang dan berjoget, berbondong-bondonglah orang Melaka termasuk pemimpinnya berjoget. Apabila musim berselawat berbondong-bondong juga orang Melaka dan pemimpinnya berselawat. Malah siap berjubah dan berketayap putih! Ertinya kedua-duanya boleh. Melaka boleh. Malaysia boleh. Berjoget boleh berselawat pun boleh. Hebat orang Melaka malah orang Malaysia...mereka serba boleh.


Dahulu, pemimpin Melaka ada berkata program Joget 1Malaysia akan terus diadakan dalam usaha mempertahan seni budaya masyarakat Melayu. Kata mereka joget adalah tarian yang diterima oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini dan tarian itu harus dikekalkan keagungan sejak dahulu hingga sekarang...


Bagi sesetengah orang di Melaka termasuk pemimpinnya joget satu kemestian dalam majlis keramaian dan ditarikan secara berpasangan, berkumpulan dan beramai-ramai yang juga dikenali sebagai joget lambak atau cak kun cak. Pada kebiasaannya persembahan joget diiringi oleh alat-alat muzik akordian, biola, rebana dan gong.


Seorang ustaz dalam tazkirahnya di sebuah masjid yang saya hadiri menyatakan kekesalan dengan tindakan pihak berkuasa menghidupkan semula amalan jahiliah orang Melayu seperti joget lambak atau cak kun cak.


Cak kun cak hebat di Melaka suatu ketika dulu tetapi diperangi secara habis-habisan oleh ulama pada tahun-tahun 1960-an sehingga 1980-an, tetapi pemimpin masa kini melihatnya sebagai satu cara terbaik memperhebatkan industri pelancongan seterusnya meraih pendapatan tinggi kepada rakyat dan negara, kononnnya.


Menghidupkan semula amalan jahiliah orang Melayu ini, adalah sesuatu yang malang bagi masa depan bangsa ini yang sewajarnya diperkasakan bukan saja untuk kebahagiaan dunia tetapi juga akhirat. Tidak guna digembar-gemburkan akan ketuanan Melayu sedangkan hakikatnya bangsa ini mahu dilekakan kembali dengan amalan yang bukan saja mendatangkan penderitaan di akhirat tetapi juga di dunia.


Kini bangsa Melayu menghadapi masalah sosial paling kronik. Permasalahan seperti meningkatnya kes penyalahgunaan dadah, cerai, bunuh, membunuh diri, berzina dan pelbagai maksiat lain bukan saja membabitkan muda-mudi tetapi juga golongan veteran yang sewajarnya bersiap sedia menjadi penghuni kubur.


Tetapi nampaknya cara hidup lama dihidupkan kembali oleh pihak berkuasa, menjadi tarikan utama golongan ini untuk kembali berjoget dan berdondang sayang menyamai zaman 1960-an, malah lebih teruk daripada itu. Orang Melayu nampaknya mahu dinostalgiakan kembali dengan zaman kelekaan itu, seterusnya melupakan permasalahan serius dihadapi bangsa ini pada zaman serba mencabar sekarang.


Bagi kita, sesetengah pemimpin Melayu ini sengaja meleka-lekakan bangsanya agar mereka dan suku sakat mereka terus berkuasa ‘dulu, kini dan selamanya’. Apabila rakyat didendangkan kononnya kehidupan mereka penuh kemewahan, kemudian disogokkan dengan majlis-majlis keramaian pemuas nafsu. maka akan terus tertidurlah bangsa ini dijajah bangsanya sendiri.


Bangsa ini akan hanyut dengan aneka maksiat bentuk baharu; dahulu ada permukiman tujuh hari tujuh malam jika anak pembesar berkahwin di mana acara seperti joget lambak dan sabung ayam diadakan, kini orang Melayu dihanyutkan pesta sana, pesta sini yang mungkin berlangsung dua atau tiga hari dengan kemuncak diadakan konsert di mana muda-mudi bebas bercengkerama. Pergaulan bebas membawa natijah buruk, jumlah anak-anak luar nikah terlalu tinggi dan tidak gentarkah kita akan balasan yang menunggu di akhirat nanti? Malah di dunia lagi, kita sudah saksikan akibatnya...

No comments: