Friday, October 21, 2022

24 Rabiulawal 1444: Apa dilihat di Negeri Di Bawah Bayu...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')


SABAH - Negeri Di Bawah Bayu sungguh cantik. Alam semula jadinya segar dan memukau. Dalam dua kunjungan lalu (2006 dan 2014) penulis dan keluarga tumpukan perhatian di kawasan pelancongan Kundasang. Ranau dan Kota Kinabalu, tetapi kali ini dari Kota Kinabalu kami menuju Papar, Beaufort, Keningau, Sipitang, Sindumin sebelum masuk ke Lawas, Sarawak dan menjenguk sebentar pintu sempadan Brunei Darussalam.


Apa penulis lihat sepanjang perjalanan melalui Lebuh Raya Pan Borneo yang digegak-gempitakan itu? Dari Kota Kinabalu ke Papar sepanjang kira-kira 35 kilometer jalan raya atau lebih tepat lagi lebuh rayanya memang gah.


Lebuh raya dua lorong pergi dan dua lorong balik itu setanding dengan lebuh raya di Semenanjung, namun satu hal unik di Sabah, ada orang berniaga kecil-kecilan seperti menjual buah-buahan dan sayur-sayuran di tepi lebuh raya...Ya itu budaya orang di sana, mana sama dengan kita. Lain padang lain belalangnya. Namun yang paling 'best' lebuh raya ini bebas tol!


Sampai di pekan Benoni, dekat Papar, lebuh raya yang 'cantik' itu 'ghaib' sudah. Digantikan dengan jalan lama di selang seli dengan laluan projek lebuh raya Pan Borneo yang dalam pembinaan. 


Maka 'berjalanlah' kereta kami di atas jalan raya yang sebahagiannya baik namun banyak pula yang berlubang-lubang, belum bertar dan yang paling 'adventurous' (mencabar) melalui jalan berbatu kelikir - ehhh macam pengembaraan 'camel' (unta) pula!


Memandu di jalan raya di Sabah ini, baharulah 'kita orang luar Sabah ini' mengerti mengapa orang Negeri Bawah Bayu ini 'asyik-asyik' dengan kenderaan 'four wheel drive' (pacuan empat roda) mereka. Sebahagian mereka 'tak main' dengan kereta-kereta sedan...itu di KK (Kota Kinabalu) bolehlah, tetapi di pedalaman ini lebih baik ada kenderaan-kenderaan perkasa itu. Kalau nasib tak baik 'kereta biasa' hatta berjenama hebat pun boleh patah 'absorber'-nya!


Keadaan jalan raya yang buruk itu bukan dilihat oleh 'mata ini sahaja' tetapi disahkan oleh media massa tempatan Sabah. Sebuah akhbar tempatan, melaporkan bahawa keadaan jalan raya utama menghubungkan beberapa daerah di Sabah semakin membimbangkan dan bahaya kepada pengguna.


Ketua Wiramuda Star Sabah, Kong Soon Choi menjelaskan perkara itu berkata, kerosakan pada permukaan jalan raya utama di beberapa lokasi sangat bahaya kepada pengguna dan perlu pembaikan yang berkualiti.


Katanya, dakwaan beberapa pengguna yang memberikan gelaran-gelaran negatif tentang kerosakan jalan raya di Sabah bukan suatu lawak jenaka bahkan ia menggambarkan kemarahan mereka yang boleh diterjemahkan kepada imej kementerian berkenaan.


“Pelbagai gelaran negatif dilemparkan pengguna yang marah dengan kerosakan jalan raya. Ada yang menggelarkan jalan seperti di bulan, jalan raya periuk api dan bermacam lagi khasnya di media sosial, " tegasnya.


Keadaan jalan raya yang buruk ini memang 'memalukan' orang Sabah terutama yang tinggal berhampiran Sarawak yang ada pintu masuk ke Brunei Darussalam. 'Memalukan' satu hal tetapi yang lebih penting menafikan hak rakyat untuk menikmati kemakmuran negara dengan Sabah dianugerahi kekayaan melimpah ruah dari segi sumber alam seperti minyak, gas dan hasil hutan. Sekarang ini nak pilihan raya, maka akan sibuklah lagi isu jalan raya ini.


Apabila memasuki Sarawak dari Sabah, seseorang itu akan perasan jalan raya di kawasan pedalaman Sarawak di Lawas adalah lebih baik daripada di pedalaman Sabah. Ini bukan untuk mengata...tetapi apa penulis saksikan! Tetapi 'penglihatan sahaja' tidak selalu benar...jadi pembaca boleh membetulkannya jika aku tersalah...Maaf ya, jika itu benar-benar kesilapan...


Kata seseorang, jalan raya pantai barat Sabah ini turut digunakan oleh orang Brunei, mereka juga ada yang ke KK dan tak kurang juga ke Sipitang untuk singgah makan sate di sebuah deretan kedai di pekan itu, ya ada hampir 10 gerai sate di situ! Kalau jalan buruk, malulah kat orang Brunei tu!


Satu lagi hal yang penulis lihat di tepi-tepi jalan raya di Sabah ini, semakin banyak pula binaan 'Cross' (Salib) besar yang 'menjulang' ke langit yang nampak dari kejauhan...dahulu pada kunjungan saya pada 2006 dan 2014, tak perasan pun...sekarang agak banyak....ya apa sebenarnya sudah berlaku? Penulis perlukan pencerahan tentang apa yang dilihat di Sabah ini...

No comments: