Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud Surah Al-Asr 1-3
KEHIDUPAN berumah tangga (keluarga) tidak dapat lari daripada membicarakan bab persekolahan. Ini kerana anak-anak akan memasuki alam persekolahan - tempohnya panjang; 10-15 tahun iaitu daripada sekolah rendah ke universiti.
Baru-baru ini dunia pendidikan kita gempar dengan pengedaran buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ di sekolah-sekolah. Kementerian Pendidikan bertindak pantas menyekatnya dengan berkata langkah itu adalah berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata tindakan itu dibuat atas nasihat Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab dalam kawalan bab percetakan. Menurutnya, sebarang komik politik, buku politik atau propaganda untuk diedarkan ke sekolah perlu melalui saluran betul, merujuk KDN
Ia kerana, KDN mempunyai akta tersendiri bagi mengawal pengedaran bahan bercetak. Kenyataan Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa kementerian itu tidak pernah memberi kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran buku komik tersebut.
Berceloteh mengedar pengedaran dan pemilihan buku-buku bacaan di sekolah, tidak lama dulu saya menerima surat ini yang dihantar oleh seorang peminat.
Antara lain beliau menulis: Ketika di zaman persekolahan, kami dianjurkan oleh guru-guru Bahasa Inggeris (BI) untuk menyediakan buku-buku cerita yang dianggap dapat membantu kami dalam memperbaiki 'skill' dan tatabahasa kami.
Antara bacaan ringan yang menjadi pilihan kami ialah karya RL Stine (Fear Street) dan Christopher Pike. Saya penuh yakin para peminat puas hati setiap kali membaca karya mereka yang penuh 'trill' dan mencabar minda.
Namun begitu, sebaiknya kita perlu sedar akan misi lain yang dibawa melalui karya mereka, selain karya itu sendiri. Kita mengimport bahan bacaan tersebut dari Barat, dan dalam pada itu bermakna kita juga mengambil cara hidup mereka masuk ke dalam negara dan akar budaya kita sendiri.
Walaupun karya mereka tidak selucah mana, kita didedahkan kepada budaya 'orang putih; tanpa kita sedari. 'Kissing', 'hugging', dan seks bebas menjadi mainan hidup mereka yang dapat kita pelajari.
Mereka menghalalkan perhubungan insan berlainan jenis dengan alasan 'platonik' semata-mata - padahal ada saja yang bertukar arah ke 'passionate', dan kesannya kita terikut-ikut dengan budaya ini.
Mungkin sudah tiba masanya, pada cendekiawan bahasa Inggeris kita khususnya, tampil dengan karya lebih 'suci' dan seterusnya dapat mendidik anak bangsa kita sendiri.
Suatu hari nanti, Malaysia mungkin ada 'The Man of Letters' yang tersendiri. Dan beliau dapat menjadi 'William Shakespeare Malaysia', insya-Allah. - Farhana
No comments:
Post a Comment