Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya." (Maksud ayat 26-27 Surah Al-Isra')
DAHULU apabila seseorang atau pihak terasa terhutang budi, dia akan mengungkapkan 'jutaan terima kasih'. Ungkapan ini biasa kita temui pada bahagian akhir surat ataupun dinyatakan seseorang pada permulaan atau pengakhiran ucapannya sebagai tanda penghargaan kepada pihak berkenaan.
Namun sekarang saya terlihat dan terdengar ungkapan 'berbilion terima kasih'.
Tidak tahulah saya sama ada perkembangan ini sesuatu yang positif atau negatif, yang jelas ungkapan itu lahir daripada kecenderungan sesetengah pemimpin dan media yang gemar mengumumkan projek berbilion-bilion ringgit. Apabila pemimpin mengumumkan projek, kerap terkeluar daripada mulutnya berbilion-bilion ringgit.
Agaknya bagi masyarakat terutama orang Melayu dahulu, angka tertinggi yang biasa padanya adalah jutaan sebab itu timbul ungkapan 'jutaan terima kasih' tetapi pemimpin telah mengajar mereka 'mengenal' angka bilion sebab itu kini ada pula ungkapan 'berbilion terima kasih'.
Seorang pengkaji budaya dan bahasa Melayu yang hanya mahu dikenali sebagai Cikgu Zu berpendapatan perubahan 'angka' yang dipadankan pada ucapan terima kasih membayangkan bahawa masyarakat kini semakin materialistik yang melihat keberuntungan sebagai matlamat mereka.
"Pemimpin menggegarkan minda mereka dengan projek berbilion-bilion ringgit, jadi mereka memuntahkannya kembali dengan mengungkapan ucapan berbilion terima kasih dan berbilion tanda penghargaan," katanya.
Bagi beliau ada kesan positif dan negatif daripada perkembangan ini tetapi yang negatif lagi banyak kerana 'budaya kebendaan' sudah terlalu jauh meresap dalam kehidupan masyarakat.
"Nilai-nilai murni dalam masyarakat semakin terhapus, orang kini melihat kepada wang ringgit semata-mata, anda ada ribuan atau jutaan ringgit itu mungkin dianggap masih kecil kerana generasi baharu hebat memperkatakan berbilion-bilion ringgit," katanya.
Perubahan ungkapan ini mengingatkan kita bahawa ada pemimpin bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing, kini mereka gemar menonjolkan diri serta memikat rakyat dengan sebutan projek berbilion-bilion ringgit.
Kedudukan dan pangkat dan kuasa menjadi impian. Semua berebut jawatan tertinggi. Matlamat menghalalkan cara, yang penting aku berada di kemuncak kuasa. Jadi tidak hairan lagi jika bukan jutaan ringgit bertukar tangan tetapi kini berbilion-bilion ringgit.
Merebut jawatan di puncak yang menjanjikan akses kepada wang berbilion-bilion ringgit menyebabkan banyak perkara tidak diingini berlaku. Sekalipun ini membabitkan orang politik, rakyat menderita akibatnya.
Apabila banyak wang, tenaga, dan fikiran digunakan untuk bergaduh dan menaikkan diri sendiri, bila agaknya rakyat dapat ditolong. Jika inilah halnya sepanjang masa, maka wang berbilion-bilion ringgit itu akan masuk ke kantung mereka atau dimanfaatkan untuk rakyat? Jika untuk rakyat baguslah, izinkanlah saya dan pembaca ucapkan BERBILION terima kasih!
No comments:
Post a Comment