Sunday, October 9, 2022

12 Rabiulawal 1444: Asatizah hati-hati dalam percakapan, perbuatan (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Pesanan Nabi Isa a.s.

Nabi Isa a.s. bersabda, bermaksud: Bermula empat perkara tiada yang akan didapatkannya kecuali dengan usaha yang bersusah payah:

1

Diam daripada berkata-kata perkara-perkara yang membawa kejahatan dan perbuatan yang sia-sia dan ia merupakan permulaan daripada segala ibadat.

2

Berusaha merendahkan diri di dunia ini.

3

Memperbanyakkan zikir mengingati Allah Taala.

4

Sedikit mempunyai sesuatu harta kekayaan di dunia ini. (Sumber: Hidayah Januari 2012/Safar 1433)


"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." (Surah At-Taubah, ayat 105) 

Nabi yang kita kasihi, Muhammad s.a.w. tidak makan dhab. Tetapi baginda tidak melarang umatnya makan dhab, Sehubungan itu dijadikan hukum boleh makan dhab. Nabi s.a.w. tidak solat sunat sebelum maghrib, tetapi tidak melarang sahabat melakukannya. Jadi boleh solat sunat sebelum maghrib.

Ulama adalah pewaris Nabi s.a.w. Orang kita menggelarkan golongan agamawan sebagai ustaz dan ustazah. Pada sepanjang zaman, perilaku (percakapan dan tindakan) ustaz dan ustazah (asatizah) menjadi perhatian dan ikutan masyarakat.

Sekarang ini masih musim kenduri (selepas berakhir era PKP). Pada hujung minggu, adalah orang buat kenduri kahwin, kenduri arwah, kenduri 'cukur jambul dan sebagainya'. 

Seorang ustazah melangsungkan perkahwinan anaknya. Di rumah ustazah ada pelamin berhias indah, dia mahu sandingkan anak perempuan dengan menantu baharunya. Pada hari 'langsung', anak dan menantu ustazah di pelamin 'ditepung tawarkan' dan 'direnjis-renjis'. 

Perkara ini berlaku di rumah ustazah, jadi orang kampung pun buat kesimpulan, bolehlah dirikan pelamin di khalayak ramai, termasuk di laman rumah, manakala pengantinnya direnjis-renjis dan 'ditepung-tawarkan'. Hai, bukankah ustazah yang buat, kata mereka, takkan mereka tak boleh pula. 

Seorang ustaz pula diundang ke majlis 'cukur jambul'. Apabila bayi 'disuakan' kepadanya, sang ustaz pun menggambil gunting dan menggunting sedikit rambut bayi lalu mencelupkan tangannya beserta helaian rambut tadi dalam air buah kelapa. Apabila ustaz membuat perkara itu, orang kampung pun membuat kesimpulan, boleh sahaja majlis cukur jambul cara sedemikian; kan ustaz yang buat... 

Demikianlah betapa kuatnya pengaruh golongan agamawan kepada masyarakat, kata seorang tokoh agama dalam majlis tazkirahnya yang saya hadiri baru-baru ini. 

Sehubungan itu beliau mengingatkan ustaz dan ustazah (asatizah) untuk berhati-hati dan cermat dalam sebarang tindakan mereka termasuklah dari segi percakapan supaya sentiasa sejajar dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Ini kerana percakapan dan tindakan mereka akan menjadi ikutan masyarakat. 

Sempena musim Maulidur Rasul sekarang ini, tokoh agama ini memberi peringatan kepada penganjur majlis sambutan supaya tidak berlebih-lebihan menyemarakkan karnival mereka misalnya meneruskan persembahan nasyid dan pelbagai pengisian lain sekalipun laungan azan bagi solat waktu sudah berkumandang di udara.

"Hentikan semua ini, sambutlah seruan azan dan utamakan untuk pergi solat," katanya. 

Hakikatnya, tiada hal yang lebih penting daripada memenuhi panggilan Illahi untuk solat apabila aungan azan kedengaran, lebih-lebih lagi pentas karnival adalah di sebelah masjid atau berkongsi kawasan dengan masjid. 

Beliau bimbang jika itu dilakukan, anak-anak muda akan membuat kesimpulan "bolehlah meneruskan program mereka sekalipun sudah kedengaran azan kerana ustaz dan ustazah pengelola karnival pun buat perkara yang sama." 

Demikianlah betapa kuatnya pengaruh ustaz dan ustazah hatta golongan agamawan lain seperti tok imam dan bilal dalam kehidupan masyarakat kita. 

Golongan agamawan dihormati, apa saja percakapan dan tindakan mereka dilihat sebagai 'pengesahan' (approval) untuk mereka melakukan sesuatu. 

Jadi adalah teramat penting untuk golongan agamawan berhati-hati dalam percakapan dan tindakan mereka. 

No comments: