Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya ialah waktu ia sujud, oleh kerananya maka perbanyaklah doa ketika itu." (Sahih Muslim)
KIRA-KIRA 20 tahun lalu, antara buku terlaris di Amerika Syarikat (US bestseller) adalah 'The Surrendered Wife' (Isteri Yang Menyerah) karya Laura Doyle. Saya ada membuat komentar mengenai hal ini dalam salah satu artikel saya.
Kinokuniya yang memasarkan buku ini mencatatkan: The Surrendered Wife : A Practical Guide for Finding Intimacy, Passion, and Peace with a Man [Paperback] by Doyle, Laura (pembaca boleh membuat pencarian di internet).
Mengenai sinopsis buku dicatatkan: "Explains how women can build a harmonious marriage by learning to trust their husbands, express their own needs while respecting their husband's choices, and giving up unnecessary control and responsibility." (Membicarakan bagaimana isteri boleh membina sebuah perkahwinan harmonis dengan belajar memberi kepercayaan kepada suami, meluahkan keperluan mereka di samping menghormati pilihan suami dan melepaskan kawalan dan tanggungjawab tidak diperlukan).
Sebagai buku terlaris di Amerika apatah lagi membicarakan sebuah isu kontroversial, tentulah ada banyak pihak memberi komentar. The Observer ada mencatatkan: "So a fish does need a bicycle'...according to a new US bestseller, there's only one way to keep Mr Right - just don't tell him when he's wrong."
(Menurut buku terlaris di Amerika (ketika itu), hanya ada satu cara untuk mengekalkan kasih sayang suami anda - jangan tegur jika dia membuat kesilapan. Suami anda mungkin berkata seekor ikan itu memerlukan sebuah basikal dan sekalipun kenyataan itu 'betul-betul bangang' (bodoh = tolol)). anda sebagai isteri mengiyakan atau diamlah sahaja).
Buku dengan cetakan pertama habis 100,000 naskhah dalam masa singkat, menceritakan detik cemas Laura apabila mendapati suaminya, John, 'membuang tabiat' - menghabiskan banyak masa menonton televisyen bagi mengelak daripada bercakap dengan beliau.
Laura mula 'muhasabah' diri, dan mendapati pasangan paling bahagia di wilayah kediaman beliau di California adalah membabitkan si isteri yang paling patuh kepada suaminya.
Beliau bertekad untuk menjaga lidahnya, sentiasa bersopan, bermuka manis, menyediakan makanan, menuangkan minuman, menghormati, malah memandikan (bukankah ada diriwayatkan Nabi Muhammad s.a.w. dan isteri baginda. Aisyah, pernah mandi bersama) serta membiarkan John membuat keputusan - persis seorang suami tradisional.
Hasilnya?
Laura tersangat berjaya sehingga ramai isteri datang 'berguru' dengan beliau menyebabkan dia terpaksa menganjurkan seminar mengenai 'penemuannya' itu.
Jelaslah seorang suami (lelaki) tak kira di Barat atau Timur mendambakan isteri yang dapat membelai tetapi tidak mengawal kehidupannya. Pakar berkata, kepatuhan seorang isteri adalah kunci kejayaan sesebuah rumah tangga.
Bagaimanapun Laura memberi ingatan keras bahawa 'penyerahan' hanya perlu diberikan kepada 'lelaki baik'. "Jangan sesekali 'menyerah' kepada lelaki yang mendera kamu dan anak kamu secara fizikal, terbabit dalam penagihan bahan bahaya ataupun yang tidak setia," tulis Laura.
Buku Laura secara jelas menyatakan seorang isteri atau suami perlu menyatakan kasih sayangnya pada masa itu juga, Jangan tunggu lama-lama, sehingga suami atau isteri sudah melarikan diri atau sudah tiada di dunia lagi (mati), baharu mahu menyata atau membuktikan kasih sayang.
No comments:
Post a Comment