Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
DISEBABKAN saya ke Tanah Suci secara bersendirian, kadang-kadang timbul juga rasa cemas jika tidak menemui teman yang sesuai apabila berada di sana.
Bagaimanapun kebimbangan itu tidak berasas kerana sebaik saja berada dalam perut pesawat Saudi Airlines, saya sudah temui jiran (penumpang sebelah saya) yang begitu peramah dan baik hati.
Sejam sebelum kapal terbang mendarat, dia memberitahu saya, dia sudah nampak tanah padang pasir dan bukit-bukau yang kemerah-merahan, membayangkan keadaan panas terik yang akan kami alami semasa mengerjakan haji pada tahun 1423 Hijrah itu.
Di Jeddah kami dapati banyak bendera negara seperti China, India, Pakistan, Indonesia dan Malaysia bagi memudahkan jemaah negara-negara berkenaan berkumpul.
Dari Jeddah kami dibawa dengan bas ke Makkah. Di kota suci ini, kami menginap di Hotel Muhajiren II.
Bagi memudahkan pengenalan, tempat penginapan kami dikenali Maktab 85, Rumah Ketupat manakala nombor bilik saya 105 - tetapi saya dan beberapa rakan disuruh mendiami bilik 1005 di tingkat 10.
Dua hari kemudian kami disuruh pindah ke tingkat satu dan mendiami bilik 105 seperti dijadualkan.
Untuk berpindah sudah tentu merumitkan lebih-lebih lagi apabila terpaksa menggunakan lif.
Bagi mereka yang banyak barang, tentulah amat membebankan apabila disuruh berpindah.
Bagi diri saya yang pernah sakit pinggang, kesakitannya berulang, maklumlah saya sudah menjangkau usia 60-an.
Tetapi elok juga berpindah ke tingkat satu. Namun tingkat satu bukan bermakna kami tidak perlu 'menapak'. Nama saja tingkat satu, sebenarnya bilik kami terletak di tingkat tiga.
Saya gembira kerana tidak payah menggunakan lif yang sentiasa sesak tetapi terpaksalah menapak 64 anak tangga.
Di sini diuji kesabaran seseorang. Di Hotel Muhajiren II, hanya terdapat dua lif. Kalau satu digunakan untuk mengangkut makanan, terpaksalah kami menunggu lama.
Saya juga bersyukur kerana keadaan bilik tidak terlalu sesak. Saya sepatutnya tinggal bersama-sama dua jemaah lain (tiga orang sebilik), tetapi seorang jemaah lebih senang menetap sebilik dengan sanak-saudaranya.
Seorang jemaah haji yang menetap di bilik 104 (jiran kami) menarik perhatian saya.
Bapa empat anak ini sungguh bijak dan menambah semangat sesiapa yang mendengar kisahnya.
Jemaah ini bercerita bagaimana dia dan anak-anak serta isteri bersusah-payah menabung bagi membolehkan mereka menunaikan fardu haji serentak.
Sebelum ini orang kampungnya menyebut-nyebut dia mendapat duit pampasan manakala ada yang berkata dia menggunakan wang perolehan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan dia anak beranak ke Tanah Suci.
Sebelum ke Tanah Suci, dia mengadakan kenduri doa selamat dan menjemput kenalan, sahabat, sanak-saudara dan jiran-jiran.
Pada hari berkenaan, setelah jemputannya mengambil tempat masing-masing, bakal haji ini tidak berlengah-lengah bangkit lalu memberi ucapan alu-aluan.
Selain meminta maaf, dia kemudian membocorkan rahsianya dengan berkata: "Sebenarnya Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang serta sekalian yang hadir, kami pergi ke Makkah ini bukannya dengan duit ganjaran atau KWSP atau mendapat duit terpijak, tetapi hasil penabungan untuk anak-anak.
"Apabila mereka lahir saja, saya lekas-lekas membuat tabungan di Tabung Haji.
"Hasilnya, kalau sebulan RM50, dalam masa 21 tahun sudah tentu dapat pergi haji kerana sudah ada lebih RM10,000 seorang," katanya gembira lalu meminta imam masjid membaca doa selamat. - MUZAFFAR
No comments:
Post a Comment