Apa dilihat di Negeri Di Bawah Bayu...
Bahagian 2
DI Kota Kinabalu (KK), saya menetap di Hotel Raia, Sembulan. Teringat saya pada kunjungan lalu, bangunan ini adalah Hotel Tabung Haji...ya itu sudah menjadi sejarah. Ada pantun Melayu berbunyi:
Asal kapas menjadi benang.
Dari benang dibuat kain.
Barang lepas usah dikenang.
Sudah menjadi hak orang lain.
Kata bijak pandai pula, anak sungai lagikan berubah inikan pula hati (harta) orang...Penulis melihat sendiri tulisan di bawah perkataan Raia Hotel - A hotel owned by Urusharta Jamaah Sdn Bhd (A wholly owned company of Minister of Finance Incorporated).
Penulis memilih menginap di hotel ini atas beberapa sebab. Antaranya kerana ia terletak berdekatan dengan Masjid Negeri Sabah. Mudah ke masjid ini, berjalan kaki pun boleh. Ada jalan 'short cut' (pintasan) melalui kawasan gelanggang futsal dan Kompleks Majlis Agama Islam Negeri Sabah (MUIS).
Mengenai Masjid Negeri ini ada perkara 'mencengangkan' penulis. Pada kunjungan lalu, penulis mengerjakan solat waktu yang dilangsungkan di tingkat atas sekarang di tingkat bawah pula.
Memanglah, beberapa masjid besar di Sabah ada dua tingkat...tetapi nampaknya 'orang tak berapa muda' seperti penulis tak larat nak naik tingkat atas...bagus juga jika didirikan solat waktu di tingkat bawah...al-maklumlah dah tak ada 'power' nak naik tingkat atas lima kali sehari!
Perkara ini boleh dijadikan bahan renungan pembina-pembina masjid pada masa depan...rancanglah dewan solat utama masjid di tingkat bawah, tingkat atas boleh dibuat kegunaan lain. Ini disebabkan kebanyakan pengunjung masjid golongan veteran...kaki dan lutut dah lemah untuk 'menongkat naik'!
Sebuah lagi hotel di KK yang saya menginap adalah Le Meridien di seberang jalan kawasan sesak pasar jualan pinggir laut Kota Kinabalu. Jika hotel di Jalan Tun Fuad Stephens ini menyediakan 'kemewahan dunia' dari pelbagai segi seperti penginapan dan makanan, di seberang jalan adalah 'wajah sebenar' Kota Kinabalu.
Kedai dan gerai jualan ada yang tersusun bagus, ada yang tidak, menjadi tumpuan pelancong dan warga tempatan untuk mendapatkan barangan buah tangan seperti kuih cincin Sabah malah udang kara yang boleh dibekukan sebelum dibawa pulang.
Gerai-gerai makanan pun banyak, pada malam hari nampak bercahaya disebabkan banyak lampu neon, tetapi terpulang kepada pengunjung nak makan atau tidak kerana sesekali ada penulis terserempak tikus menampakkan diri sebelum menghilang!
Apa yang menyedihkan, dari celah-celah kedai dan gerai akan muncul kanak-kanak berpakaian lusuh dan berwajah suram menyuakan kepada pengunjung aneka jualan seperti paket-paket buah-buahan potong yang 'tak lagi segar' sebagai bahan jualan. Tak sampai hati, hulurkanlah RM1 dua, walaupun tak ambil buah dihulur.
Dari hotel boleh didengari suara azan dari masjid atau surau berhampiran. Ya itu adalah azan dari Surau Sinsuran...dalam keadaan sesak dan kelam-kabut orang berniaga atau melakukan segala macam urusan dunia, di situ juga ada tempat beribadah untuk menenangkan jiwa. Ya, saya juga perlu ke sana, mencari kedamaian hati, terutama di subuh hari yang waktu masuk subuhnya 5.00 pagi.
Jemaah surau ini ramai, waktu maghrib boleh dikatakan sesak (full house); terfikir di kepala penulis pihak berkuasa boleh tak naik taraf surau ini biar jemaah dapat beribadah dalam keadaan selesa.
Sejak kunjungan dahulu penulis sehingga sekarang keadaan Surau Sinsuran kelihatan tidak terurus dengan pengudaraan dan sistem lampunya lemah ditambah karpet yang lusuh dan keadaan surau yang tidak diselia dengan baik,
Gelagat pengunjungnya pula beraneka ragam seperti mengambil kesempatan tidur dalam surau...mungkin surau ini tak pernah tutup agaknya...beroperasi 24 jam sama seperti gerai-gerai makanan dan minuman yang penulis lihat terang benderang ketika menuju ke surau untuk solat subuh.
Dalam perjalanan ke surau, penulis lihat sekumpulan anak-anak Sabah (depa kata budak-budak Filipina) dalam usia lebih kurang kurang 10 tahun sedang bermain permainan baling duit syiling. Dia orang letakkan duit syiling di tengah-tengah bulatan, dan kemudian mengikut giliran memangkah duit syiling (macam main gasing)...duit syiling yang terpelanting keluar itu menjadi milik mereka.
Waduh-waduh ini sudah seperti bermain judi, apatah lagi dimainkan pada jam 4.00 - 5.00 pagi. Apa nak jadi dengan budak-budak ini...sekalipun mereka didakwa 'budak luar', alangkah baiknya pada usia mentah begitu mereka dapat melakukan perkara bermanfaat untuk masa depan mereka.
Mulai jam 6.30 pagi, tetamu di Le Meridien sudah boleh menghadap makanan mewah antarabangsa termasuk dari hasil laut Sabah yang beraneka ragam itu, tetapi bagi budak-budak yang bermain pangkah duit itu, ke mana agaknya mereka pergi apabila siang menjelma...Sama-samalah kita fikir-fikirkan.
No comments:
Post a Comment