Saturday, April 30, 2022

Ramadan 28, 1443: Sakit bersalin...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"...dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), untuk menjelaskan dan (juga memberi) petunjuk serta rahmat dan pengkhabaran gembira bagi orang-orang yang tunduk kepada-Nya." (Maksud Ayat 89 Surah an-Nahl)


HAMPIR jam 12.00 tengah malam, datang dua orang jururawat yang menolak katil beroda  menghampiri katil saya di wad. Alhamdulillah. Giliran saya ke wad bedah sudah sampai. Ya selepas 'berpuasa' hampir 29 jam! 


Mereka meminta saya yang sudah 'mamai' menukar pakaian. Mengenakan pakaian hospital berwarna hijau dengan tali pengikatnya di bahagian belakang. Pakaian lain, hatta seluar dalam pun kena tanggal.


Selepas berbaring di katil, saya pun ditolak kedua-dua 'misi' itu, melalui  laluan yang saya tak tahu ke dewan bedah. Saya pandang lampu di siling, lampu demi lampu dilepasi, ehh lama juga untuk dewan bedah.


Saya dapat rasakan saya tidak berdaya apa-apa lagi. Serahkan saja diri pada tindakan dua orang jururawat itu. Terpulang kepada mereka...tiba-tiba saya dapat rasakan seolah-olah saya ditolak di atas usungan keranda untuk dibawa ke kuburan saya. Wahai diri, serahlah diri pada Allah bukan pada jururawat.


Menyedari kemungkinan itu, saya pun memanjatkan doa ke hadrat Ilahi, dan membaca apa sahaja ayat-ayat al-Quran yang saya tahu. Saya minta ampun pada Allah dan saya memberi ampun kepada semua orang termasuk anak isteri. Sekalipun tersangat bimbang 'kemungkinan' akan mati, saya masih mendengar perbualan dua 'misi' itu.


Mereka berkata saya adalah pesakit terakhir akan dibedah pada hari itu (maklumlah jam sudah hampir 12.00 tengah malam). Yalah, jururawat, doktor dan pakar sudah bertungkus lumus sepanjang hari...kini mereka mahu menyelesaikan kes terakhir hari itu.


Namun ketika mereka bercerita perkara itu, tiba-tiba bunyi siren ambulans bergema kuat.  Salah seorang 'misi' itu berkata...ini mesti ada kes kecemasan baharu. Ketika itu saya rasakan diri ini sudah ditolak menghampiri pintu dewan bedah. Di situ terdapat banyak peralatan, kelihatan ramai petugas berpakaian khas sibuk bekerja, ada yang menaip di skrin komputer - ada yang membicarakan sesuatu.


Ya saya menunggu masa sahaja untuk ditolak masuk. Detik-detik berlalu, tiba-tiba katil saya ditolak ke tepi. Petugas hospital menolak sebuah katil lain di kedudukan katil saya tadi. Saya tak ada kesanggupan dan daya untuk mengiring dan melihat siapakah di atas katil itu.


Namun saya dapat mendengar rintihan si pesakit. Saya mengagak ini tentu kes ibu susah bersalin. Sesekali dia bersuara; "Nurse, tolong saya nurse, saya dah tak tahan ni." Selepas itu suasana sepi. Mungkin jururawat-jururawat yang banyak pengalaman itu tahu hal itu 'biasa' sahaja.


'Jiran' saya itu terus merayu...nurse, nurse tolong saya. Sakitnya nurse. Saya dapat rasakan seorang jururawat datang kepada si pesakit dan berkata: Sabar-sabar, kejap lagi..masuk bilik nanti hilang sakit...Banyakkan ingat Allah.


Sejurus jururawat itu pergi, si pesakit merintih lagi. Nurse, nurse tolong saya. Saya dapat rasakan seorang jururawat datang, dia berkata: "Kejap lagi. Kejap lagi doktor sampai. Sabar-sabar."


Suara pesakit terhenti sebentar....tetapi kembali merintih. Nurse, nurse tolong saya. Sebenarnya, katil saya dan katil pesakit itu amat rapat. Saya yang sedang sakit dan 'sudah lama tak makan' (laparlah) tiba-tiba dapat melupakan sakit saya...ya rupa-rupanya sakit seorang ibu nak bersalin tetapi tak dapat bersalin secara biasa (perlu dibedah), memanglah sangat dahsyat. Tahap sakitnya hanya dia dan Allah yang tahu. Demikian juga kesakitan ibu semasa melahirkan kita atau isteri kita melahirkan anak kita...hanya dia dan Allah yang tahu...


Patutlah pihak hospital mengutamakan pesakit ini dan 'menolak' saya ke tepi. Teringat saya kata-kata seorang nurse sebelum ini - kita perlu utamakan kes kecemasan seperti ibu bersalin sebab kita berusaha menyelamatkan dua nyawa (si ibu dan anak)...ya, ya saya insaf...dalam kes saya, ia hanya membabitkan saya sahaja dan kalau dilambatkan pembedahan pun risikonya tak tinggi.


Tetapi 'si budak ni' (saya ingat berdasarkan jeritannya pada nurse dia mungkin kali pertama 'nak beranak'...telah mengganggu fikiran saya. Mahu sahaja saya berkata perkara ini kepadanya (ya saya boleh berbuat demikian sebab katil kami sangat dekat sedangkan jururawat jauh dan sibuk dengan tugas mereka) tetapi tak terdaya saya luahkan...


"Wahai anak, bersabarlah. Memang beranak sakit (waduh macamlah saya pernah beranak) tetapi ingat-ingatlah bahawa anak akan melahirkan insan yang akan meramaikan umat Nabi Muhammad s.a.w. Insya-Allah anak itu nanti akan jadi pejuang agama Allah...ya berdoalah...tak banggakah anak jika anak itu nanti akan jadi insan soleh atau solehah yang bukan sahaja dapat berbakti kepada ibu bapa tetapi juga negara dan agamanya."


Saya pun nak kata: "Tahu tak nak, pakcik kena korbankan giliran pakcik masuk bilik bedah kepada kamu. Kamu diutamakan, pakcik ditolak ke tepi. Jadi berbanggalah anak untuk melahirkan si anak itu...insya-Allah dia akan membawa banyak kebaikan kepada kita."


Saya nak ucapkan kata-kata ini tetapi tak mampu, maka tak terluahlah isi hati ...tak lama kemudian si pesakit wanita itu ditolak ke dalam bilik bedah menyebabkan diri ini MASIH MENUNGGU...Bersabarlah...kepada pembaca diucapkan Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.


BERSAMBUNG

No comments: