Thursday, April 28, 2022

Ramadan 26, 1443: Beri peluang remaja ‘lepak’ (iktikaf) di masjid

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


TIDAK lama dahulu, saya ke KL menemui sahabat dan membereskan urusan lain. Saya solat berjemaah subuh di sebuah masjid. Selepas imam berdoa tanpa berwirid, seorang petugas menggesa jemaah keluar segera kerana dia mahu mengunci masjid. Beliau mendakwa itu arahan jabatan agama kerana tidak mahu ‘insiden tak diingini’ berlaku di masjid.


Kira-kira jam 8.00 pagi saya singgah di sebuah masjid lagi untuk solat dhuha. Pintu masjid tersergam indah ini semuanya dikunci. Jadi tak dapatlah saya masuk ke ruang solat hatta ke tandas sekalipun. Terpaksalah saya berpuas hati dengan solat di atas jubin ‘sejuk’ di beranda masjid.


Ketika  waktu menghampiri zuhur saya singgah lagi di sebuah masjid. Malangnya masjid di kawasan perniagaan sesak ini pun belum dibuka. Semua pagarnya bermangga. Mungkin masjid ini hanya dibuka sejurus sebelum masuk waktu zuhur.


Demikianlah ‘suasana’ masjid di ibu kota malah boleh dikatakan di seluruh negara. Masa masjid ditutup lebih lama daripada dibuka. Mungkin masjid digunakan pada masa solat lima waktu, masa lain sentiasa ditutup.


Terfikir di benak saya, jika masjid terutama di ibu kota dan bandar besar lain ‘sentiasa’ ditutup (tidak mesra kepada orang ramai) bagaimanakah masjid dapat berfungsi sebagai  pusat kegiatan orang Islam.


Saya ambil contoh mudah di kawasan kediaman rumah pangsa yang sesak di KL, anak-anak tidak betah duduk di rumah yang sempit dan pada cuti sekolah ini mereka akan ‘merayau-rayau’ dan ‘melepak’ di sana sini. Mereka ‘melepak’ di pusat membeli-belah dan pelbagai tempat yang kurang sihat.


Daripada anak-anak melepak di persekitaran kurang baik apa kata pihak berkuasa membuka masjid untuk anak-anak ‘melepak’ di persekitaran rumah Allah ini. Selain pelbagai aktiviti boleh dianjurkan, ‘time’ solat kita ajak anak-anak ini tunaikan solat berjemaah. Selama ini kita bercakap mengenai gejala buruk remaja dan ‘retua’ seperti kes penagihan dadah yang tinggi, kelahiran anak tak sah taraf yang hampir mencapai setengah juta orang tetapi apakah langkah kita telah buat untuk membendungnya?


Adakah kita sudah beri alternatif kepada anak-anak muda daripada melepak dan terbabit dalam kegiatan kurang sihat? Saya berpendapat salah satu kaedah tanpa memerlukan modal besar adalah dengan menjadikan masjid mesra orang ramai (TIDAK DIKUNCI) di mana remaja dan ‘retua’ boleh ‘melepaskan perasaan’ dan menghabiskan masa mereka secara sihat di sini.


Ya, kenapa kita tidak makmurkan masjid-masjid kita; firman Allah SWT: “Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS. at-Taubah:18) 


'Memakmurkan’ masjid adalah daripada kata dalam bahasa Arab yang antara lain bermaksud mendiami, menetapi, menyembah, mengabdi (berbakti), membangun (mendirikan), mengisi, memperbaiki, mencukupi, menghidupkan, menghormati dan memelihara.


Persoalannya mengapa kita tak memakmurkan masjid-masjid kita yang gah tersergam indah itu tetapi kerap MENGUNCINYA? Jadi apabila gejala buruk kian teruk, salahkan diri kita sendiri kerana tidak bertindak menepati kehendak Illahi.

Adakah masjid-masjid kita sekarang ini didirikan atas dasar takwa atau untuk kebanggaan? Berkenaan masjid yang didirikan di atas dasar takwa, Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 108, bermaksud: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.”


Demikianlah, wahai pihak berkuasa pada ketika masyarakat kita kronik dengan permasalahan sosial sekarang ini, kembalikanlah fungsi masjid – imarahkan rumah Allah itu termasuk menarik golongan muda yang sebahagiannya selama ini melihat rumah ibadat sebagai tempat 'transit' golongan KRU (kumpulan rambut uban) dan RTM (rehat tunggu mati) meluangkan masa sebelum dipanggil Illahi!


Subhanallah, sedarlah adalah lebih baik untuk remaja dan 'retua' kita ‘lepak’ (iktikaf) di masjid daripada ‘lepak’ di pub, disko dan pelbagai tempat kurang elok lain. Jadi beri peluang anak-anak ‘lepak’ di masjid cuti sekolah dan raya ini; oleh itu JANGAN DIKUNCI masjid atau pagarnya!

No comments: