DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya." (Yusuf: 2)
SUATU pagi kira-kira dua tahun lalu seekor anak kucing kurap datang ke rumah saya. Kucing berwarna oren, berkudis dan dengan telinga luka-luka itu mengiau-ngiau kuat, badannya tergigil-gigil. Saya mengangkat lalu membawanya ke belakang rumah. Saya ambil nasi lebihan semalamnya, meramas-ramasnya menjadi lembik lalu memberikannya makan.
Sambil makan dengan rakus, mungkin kerana terlalu lapar, anak kucing itu mengeluarkan bunyi aneh, sekali sekala memandang saya, mengucapkan terima kasih, agaknya. Disebabkan di rumah saya sudah ada sejumlah kucing, anak kucing itu dikira 'pendatang'; biasanya si pendatang tidak disukai kehadirannya oleh kucing-kucing sedia ada.
Namun 'Si Oren' tidak diusir pula, malah disayangi oleh kucing-kucing lain. Mungkin perangainya bagus - ia tidak 'sombong' tetapi dengan cepat dapat menyesuaikan diri. Malah sesekor kucing jantan gemuk yang dipanggil Momok, cukup baik dengannya malah dia membenarkan Si Oren tidur di bawah perutnya sambil menghisap teteknya walaupun ia kucing jantan!
Hari pantas berganti minggu; kemudian bulan bertukar tahun. Si Oren yang dulunya anak kucing kurap bertukar comel, gemuk dan gagah perkasa pula. Si Oren menjadi kesayangan ramai. Isteri dan anak-anak saya selalu memanggilnya 'Oren, Oren, Oren' dan ia pula seakan tahu 'namanya' Oren kerana ia datang apabila dipanggil dengan panggilan itu.
Oren disayangi semua tetapi itu tidak menghalangnya daripada 'memenuhi naluri jantannya' apabila ia sudah dewasa. Oren mula menujukkan sikap suka kepada kucing betina, dan tak lama selepas itu 'pandai pula menghilangkan diri sehari dua'.
Kata anak-anak saya, Si Oren pergi jumpa 'girlfriend'nya - seekor kucing comel milik seorang ustazah yang tinggal berdekatan. Hai, boleh tahan juga 'Si Oren' bekas anak kucing kurap itu, 'ada hati bercinta' dengan kucing ustazah!
Daripada 'menghilangkan diri' sehari dua, lama kelamaan Oren 'hilang' dalam tempoh agak lama, kemudian balik sebentar dan kemudian hilang lagi. Ya, kau pergi jua, wahai Si Oren...kau sudah dewasa; bukankah ada madah berbunyi: "rumah kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang, semasa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang!"
Sama seperti perjalanan hidup Si Oren, dalam kehidupan bekeluarga, anak-anak kita yang membesar akhirnya pergi jua seorang demi seorang. Mereka ke sekolah berasrama penuh, kemudian universiti, membina penghidupan baru selepas berkahwin dan akhirnya pasangan suami isteri yang semakin tua menjadi 'pengantin veteran' (tinggal berdua) di rumah. Kediaman yang bagaikan mahligai sekalipun akan menjadi sepi selepas semua anak-anak melangkah pergi.
Apabila hal ini berlaku, ramai orang, terutama yang sudah berusia dan tinggal sebatang kara pula selepas suami atau isteri masing-masing meninggal, 'termenung' di muka pintu mengenang nasib terutama pada bulan Ramadan mulia ini apatah lagi apabila dekat Hari Raya.
Ketika 'meronda keluar masuk' beberapa kampung terutama pada waktu petang (selepas Asar) dapat saya saksikan pemandangan orang tua sama ada lelaki dan perempuan (ada berkerusi roda) termenung di jendela dan juga di halaman rumah. Mungkin mereka teringat anak cucu, balikkah mereka Aidilfitri nanti? Ya, anak cucu mereka sudah pergi membawa penghidupan masing-masing...persoalannya balikkah mereka di hari mulia.
Dalam satu tazkirah yang saya hadiri baru-baru ini, sang ustaz 'mengusik' jemaah dengan berkata "jangan-jangan orang tua yang kerinduan itu adalah ahli jemaah sendiri." Maka dia pun menambah usikan dengan menyanyikan lagu Allahyarham P Ramlee.."di hari raya terkenang daku akan si dia..."
Namun sang ustaz 'mematikan' dengan pantas 'kisah sedih' itu dengan berkata: "Wahai tuan puan, termenung begini bukanlah ibadat. Ia tidak perlu dibuat pada bulan mulia ini. Sebaliknya tuan puan perlu bertakfakur, misalnya sambil duduk-duduk itu ulang-ulangkan membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) dan fikir-fikirkannya sambil merenung alam ini.
Bertakfakur tentang kebesaran Allah sangat dituntut. Misalnya, sambil duduk-duduk di jendela melihat alam, renungi dan hayatilah ayat 'Fa-biayyi alaa'i Rabbi kuma tukadzdzi ban' (Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?) yang banyak kali diulang dalam Surah Al-Rahman.
Ya, segala yang kita sayangi, termasuk kucing (dalam kes saya Si Oren), suami atau isteri dan anak-anak kita akan pergi jua, maka hentikan 'minat kita' untuk termenung sana termenung sini, sebaliknya pertingkat amalan termasuklah bertakfakur di bulan mulia ini kerana 'kita juga akan pergi jua'..
No comments:
Post a Comment