Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
SAYA dipindahkan dari wad sementara ke wad biasa kira-kira jam 9.00 malam. Seorang pembantu hospital membawa kerusi roda datang, dia menyuruh saya berkemas dan akhirnya saya disorong ke wad berkenaan. Seronok juga disorong begitu!
Ya, satu perjalanan 'berbaloi' selepas penat menunggu lebih lima jam. Saya ingat dapatlah saya berehat dan tidur di wad yang selesa pada malam itu, tetapi oh tidak...saya 'dikerjakan' sepanjang malam.
Doktor demi doktor (tidak saya ketahui pakar atau tidak), jururawat, pelajar kejururawatan datang silih berganti. Seorang lagi pembantu hospital dengan kerusi roda pun turut berkunjung, katanya, dia mahu membawa saya ke bilik X-ray.
Saya katakan, saya sudah dua kali menjalani X-ray pada siang tadi. Dia berkata ini arahan doktor, maka terpaksalah saya akur. Namun seronok juga apabila disorong kali kedua dengan kerusi roda di sepanjang laluan pejalan kaki sedangkan hakikatnya saya boleh berjalan sendiri.
Jam 3.00 pagi, doktor pakar yang berkunjung, membawa perkhabaran gembira. Saya akan dibedah pada keesokan hari, katanya. Namun saya perlu mula berpuasa mulai jam itu juga. Pesakit yang akan menjalani pembedahan terutama membabitkan bius perlu berpuasa. Bukan makan sahaja tak boleh, minum pun tak boleh.
Teringat di benak saya, kali terakhir saya makan adalah jam 7.00 petang ketika berada di wad sementara. Itu pun makan roti ban yang sempat dibeli di kedai serbaneka hospital. Dan sekarang tempoh berpuasa sudah bermula...
Doktor mengingatkan bahawa saya akan dibedah berdasarkan 'kekosongan' yang ada. Mereka mendahulukan pesakit yang ada temu janji dan pesakit kecemasan seperti wanita mahu bersalin dan mangsa kemalangan.
Jadi sejak jam 3.00 pagi itu, bermulalah detik menunggu dan menunggu saya yang nampaknya macam tak berpenghujung. Saya ingat giliran saya akan sampai sebelum jam 12 tengah hari...tetapi tidak...tak langsung ada khabar berita.
Saya terus menunggu dan menunggu. Jam 7.00 pagi itu bermakna sudah 12 jam saya tak jamah makanan. Sebelum itu, pada waktu subuh seorang adik saya datang ke hospital, dia membawa ketulan jagung rebus. Aiseyman, orang kena puasa, buat apa dibawa makanan pula...tetapi maafkanlah dia kerana mungkin dia tak tahu. Saya 'pass' makanan itu kepada seorang jaga.
Jam 7.00 petang itu saya pun belum dipanggil. Masya-Allah sudah 24 jam saya tak makan. Saya teringat kata 'nurse' kalau awak dah makan, tak ada 'can' (chance) awak nak dibedah. Awak kena terus puasa...kalau tak kita 'repeat' (ulang) prosedur ini hari esoknya.
Apabila sudah 24 jam tak makan dan minum, saya dah macam nak pengsan. Tanda-tanda 'hyppo' sudah datang - dahi sudah berpeluh, badan pun sama. Kepala sudah pening...namun saya terus bertahan. Apabila sudah 'desperate' (tertekan) sangat, saya gigit-gigit bibir saya dan menelan kulit bibir. Saya basahkan mulut dengan air liur dan telan...ya seumur hidup saya tak pernah puasa sebegini lama...
Saya cuba-cuba tidur tetapi tak boleh. Mana boleh tidur kalau perut kosong...Tadi petang ketika pembantu hospital membawa 'ration' makanan malam kepada pesakit lain, terasa macam makanan itu sudah masuk ke mulut saya. Hakikatnya, tidak, saya telan air saja melihat rakan-rakan sewad makan.
Saya hampir-hampir menyerah kalah...ya roti ban kan ada dalam beg saya, boleh saja saya 'bahamnya'. Air dalam botol-botol pun ada, minumlah saja... tetapi saya tak sanggup mengulang prosedur ini esok...jadi sabar dan terus sabar. Namun sampai bila?
Memang betul saya sentiasa berzikir sepanjang dugaan ini - ia sangat membantu tetapi apabila teringat kisah Nabi Yunus a.s. yang terlantar dalam perut ikan nun...ketahanan saya meningkat mendadak.
Ya, awak baru tak makan minum 24 jam, tetapi Nabi Yunus itu bukan saja tak makan minum tetapi berada dalam tiga kegelapanan - dalam perut ikan, dalam lautan gelap dan malam pekat yang ada riwayat berkata selama 40 hari
Awak sabar sikit lagi, insya-Allah giliran awak akan sampai. Nabi Yunus selamat, sebab apa? Inilah hamba-Allah yang sentiasa mengingati Tuhannya.
Nabi Yunus terus berzikir dan bermunajat - La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin yang bermaksud: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”
BERSAMBUNG
No comments:
Post a Comment