Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
BAGI pembaca yang 'rapat' dengan hospital seperti pesakit kencing manis (diabetes) seperti saya tentu tahu bahawa setiap kali diminta menjalani pemeriksaan (ujian) kesihatan, kita diminta berpuasa.
Demikian juga bagi pesakit yang akan menjalani pembedahan atau endoskopi, mereka diminta berpuasa. Malah tempoh berpuasa lebih lama daripada mereka yang membuat ujian darah. Demikian ada hikmah besar dalam ibadah puasa yang kita jalani sekarang ini, dalam dunia perubatan istilah ini pun sangat terkenal.
Berceloteh pasal hospital dan sakit, teringat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas; Nabi s.a.w. bersabda, bermaksud: "Perguna 'lima' sebelum datang 'lima' - masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kamu berada (kaya) sebelum jatuh papa (miskin), masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati."
Kehidupan satu perjalanan cukup singkat; masanya diibaratkan berteduhnya seorang pengembara di bawah sebatang pokok sebelum berangkat pergi. Hidup perlu diisi segala keperluannya, apabila bertemu Allah nanti tidaklah kita membawa tangan kosong, atau lebih malang, membawa onar dan keburukan diri.
Dalam usia 60+ sekarang ini, seseorang yang peka tentu perasan ada daripada rakan-rakan kita sudah meninggal dunia dan ada yang sakit-sakit seperti diri ini?
Pada usia 'tak berapa muda ini' badan kerap sengal-sengal manakala pelbagai 'penyakit tidak berjangkit' seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan gaut (gout) mula menyerang.
Sebagai seorang 'tak berapa muda', eloklah saya celotehkan pembaca terutama yang masih muda supaya mempergunakan sepenuhnya masa muda apatah lagi pada Ramadan ini untuk melakukan ibadah semaksimumnya, yalah sebelum kamu jatuh sakit, menjadi tua dan mati.
Apabila sudah tua, apatah apabila penyakit 'sudah datang', sukar menunaikan ibadat dengan selesa. Misalnya, jika Allah SWT uji kita dengan 'kerap-kerap kencing' atau 'kencing tak tos' atau tak boleh kencing (kerana pembesaran prostat -atau ada batu karang, nauzubillah), tahulah kita tinggi rendah dunia ini.
Baharu-baharu ini nak dijadikan cerita, saya yang disahkan berpenyakit prostat dan berbatu karang dalam pundi kencing sejak setahun lalu, secara tiba-tiba mengalami 'detik-detik mencemaskan'.
Suatu hari serpihan batu dari pundi kencing sebesar seulas biji kacang tanah telah masuk ke saluran kencing dan terperangkap di depan alat sulit saya. Alhamdulillah saya boleh kencing, tetapi terasa begitu sakit dan pedih. Air kencing bukan memancut ke depan, tetapi bercabang-cabang.
Sudah tentu saya menjadi panik. Namun seperti saya celotehkan tadi, saya masih boleh kencing...saya ada menyaksikan ada pesakit prostat dan batu karang yang tak boleh kencing walaupun terdesak nak kencing...
Situasi ini sudah tentu amat menyakitkan...mereka segera dikejarkan ke hospital di mana pembantu perubatan akan memasukkan tiub panjang melalui saluran kencing terus ke pundi kencing dan pesakit akan memakai beg air kencing yang dibawa bersama ke mana-mana mereka pergi.
Dalam kes saya, saya tak segera ke hospital tetapi menunggu keesokan hari. Setahun lalu ketika menjalani rawatan prostat dan batu karang saya ke hospital swasta tetapi kali ini saya ke hospital besar. Salah satu sebabnya, kos rawatan di hospital swasta tinggi dan masa menunggu pun tersangat lama...ialah macam hospital kerajaan juga.
Pagi-pagi lagi, saya dihantar isteri ke unit kecemasan hospital. Saya mungkin antara pesakit terawal pada hari itu. Didaftarkan jam 8.00 pagi, hampir jam 9.00 baharu dipanggil ke bilik doktor. Selepas diperiksa doktor, saya diarah ke sana sini - buat X-ray, masuk ke bilik doktor lain yang katanya pakar kemudian ditemuramah oleh doktor-doktor 'housemanship' agak saya.
Akhirnya, jam 12.00 tengah hari saya masih 'tersadai' di sana. Saya sudah banyak kali ke tandas. Air kencing asyik-asyik nak keluar sedangkan ada batu di depan kemaluan. Jadi saya kencing dalam keadaan air seni itu keluar 'bercabang-cabang'. Sakitnya diri sendiri yang tahu. Petugas hospital ada bertanya...daripada skala 10, sakit pakcik kat mana...takkan saya nak cakap 10..saya cakap 5 iaitu sakit yang sederhana...masih boleh bertahan.
Dari jam 12.00 tengah hari ke 2.00 petang, banyak lagi perkara yang saya diminta lakukan...isi borang, buat ujian itu ini seperti ujian jantung, daftar masuk wad dan akhirnya menjalani ujian Covid-19 (dicucuk hidung).
Jam 3.00 petang saya dimasukkan ke wad sementara. Petugas berkata wad tiada kosong. Ada lebih kurang 15 pesakit dalam wad ini. Ada pelbagai pesakit - ada seorang nyonya tua yang asyik-asyik bangun dari katilnya dan merintih-rintih - "nak balik, nak balik."
Petugas seorang wanita dalam keadaan 'tension' agaknya - membebel sana, membebel sini. Ahh, dah jadi macam pasar pula keadaan di wad 'temporary' ini.
BERSAMBUNG
No comments:
Post a Comment