Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucapkan tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Surah al-Israa’, ayat 44)
BAGI orang ramai yang sudah biasa berurusan di hospital awam terutama di bandar-bandar besar, mereka sedia maklum bahawa wad hospital sentiasa penuh.
Pesakit yang perlu rawatan segera, kerap dimasukkan ke wad sementara. Hal inilah yang saya lalui - saya dimasukkan ke wad itu, menunggu masa dipindahkan ke wad sebenar.
Alhamdulillah wad sementara itu berhampiran dengan tandas dan surau - jadi tiada masalah untuk seseorang pesakit membersihkan diri dan mengerjakan solat apabila tiba waktunya. Namun saya perhatikan sejumlah pesakit yang daripada wajah mereka menggambarkan mereka orang Islam, tidak ambil cakna pun.
Disebabkan saya diberikan sebuah katil di sudut bilik, 'jiran' saya tak ramai. Di katil sebelah kiri saya terbaring seorang anak remaja ditemani ayahnya. Dalam perbualan kami, si bapa mendakwa anaknya, seorang pelajar tingkatan dua diserang penyakit saraf (anggota badannya lemah-lemah) selepas dia disuntik dos kedua vaksin Covid-19. Yalah, itu dakwa beliau, kita mana tahu?
Remaja itu betul-betul tak bermaya di katilnya. Ketika waktu maghrib, si bapa yang agak saya dalam usia 60-an, tak bergerak pun nak pergi solat. Saya ajak si bapa, tiada respons pun.
Apabila dimasukkan ke wad, hatta ke wad sementara ini, kerap juga doktor, jururawat, petugas hospital lain termasuk doktor dan jururawat pelatih malah pelajar kejururawatan datang 'memeriksa' kita. Mereka dengan tugas masing-masing, 'tak senang' kita dibuatnya. Ingat boleh tidur dan berehat tetapi tidak! Di wad kerap juga jururawat kejutkan kita yang sedang syok tidur untuk makan ubat!
Doktor datang untuk bertanya 'apa sakit' dan memeriksa 'tempat' kita sakit, jururawat pula asyik-asyik nak 'check' paras gula dalam darahlah, nak ambil sampel darahlah dan yang paling tak tahan dia orang buat 'tapak' di balik tangan untuk disalurkan ubat atau air ke dalam tubuh kita melalui tiub berbotol. Tapak itu kekal sepanjang kita dalam rawatan di hospital...itulah macam mana nak ambil wuduk. Yalah, kena belajar kaedahnya...
'Budak-budak' pelajar daripada kolej perubatan dan kejururawatan pun tak kurang sibuknya. Bagi doktor pelatih (housemanship) dan pelajar perubatan, kita tahu daripada bentuk soalan ditanya mereka seperti permintaan menceritakan latar belakang sejarah perubatan kita, ada tak anggota keluarga kita yang kencing manis ke, ada yang sakit jantung ke ada yang kena prostat ke, ada yang sakit barah ke...hai macam-macam soalan mereka untuk dilayan.
Kemudian apabila dikunjungi pelatih kolej kejururawatan, 'asyik-asyik' mereka nak ambil bacaan suhu kita, nak periksa bacaan gula dalam darah kita dan ada sekali itu hal ini memeranjatkan saya - pelatih kejururawatan itu menunjukkan 'skill' kepada anak muridnya bagaimana melipat selimut di kaki saya dengan betul!
Memang betul keberadaan di hospital, menyedarkan kita bahawa keadaan di 'rumah sakit' sebenarnya 'penuh dengan kemeriahan'. Hospital taklah 'sunyi sepi' seperti tanah perkuburan yang kita sangka.
Tatkala masuk ke wad sementara saya sudah terasa hal itu - si petugas di wad (tak tahulah saya dia jururawat ke atau pembantu lain) membebel sana membebal sini, pesakit si nyonya tua asyik turun naik katil dan bersuara 'nak balik, nak balik' dan dengan kunjungan 'gerombolan' pelajar perubatan dan kejururawatan yang bertanya itu dan ini menyebabkan kita tak senang duduk apatah lagi tidur dengan syok!
Bagi orang perempuan pula (saya bukan perempuan yang ada pengalaman ini tetapi diceritakan wanita yang dekat di hati saya), tatkala melahirkan anak (bersalin), kadang kala mereka tiada 'privacy' langsung.
Tatkala mereka bertarung nyawa itu, datanglah sekumpulan pelajar dan perubatan atau kejururawatan untuk 'menyempurnakan' proses belajar mereka secara 'live'. Apa yang berlaku di bilik bersalin tidaklah saya ketahui, tetapi ada 'seseorang' menceritakan kepada saya ukuran pembukaan kemaluan tatkala mahu melahirkan pun perlu mereka pelajari.
Suatu ketika dahulu, seorang kaum kerabat wanita saya memilih untuk melahirkan anaknya (bersalin) di rumah. Maka waris pun memanggil bidan di sebuah klinik kesihatan di kampung seberang untuk ke rumah.
Betul bayi itu selamat dilahirkan di rumah tetapi apa dilihat orang kampung...bidan itu datang dengan dua van sarat dengan pelajar-pelajar sekolah perbidanan itu - yalah mereka nak belajar...jadi meriahlah tatkala anak itu dilahirkan tetapi jarang orang memikirkan bagaimana perasan si ibu apabila dikerumuni 'manusia lain' ketika dia pada saat-saat mencemaskan itu - ya ketika bertarung antara hidup dan mati.
BERSAMBUNG
No comments:
Post a Comment