Monday, April 12, 2021

Syaaban 29, 1442: Melayu gagal dakwah orang Cina (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. di dalam hadis riwayat Ibnu Hibban, bermaksud: "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, tidur pada pakaiannya malaikat. Maka ia tidak bangun (ketika terjaga) kecuali berkata malaikat (berdoa): "Ya Allah berilah keampunan kepada Hamba-Mu si fulan (disebut nama oleh malaikat dalam doanya ini) kerana sesungguhnya ia telah tidur dalam keadaan suci."


RAMADAN KAREEM, selamat menyambut Ramadan, semoga kita semua diberkati-Nya. Amin.


FIRDAUS Wong daripada Perkim memukau hadirin pada sesi ceramahnya yang menekankan kewajipan seseorang Muslim untuk berdakwah, di sebuah masjid berdekatan rumah saya tidak lama dahulu. 


Walaupun masa diperuntukkan adalah antara maghrib dan isyak, Firdaus ‘terbabas’ daripada tempoh ditetapkan. Seusai ceramahnya, Firdaus memberi peluang kepada hadirin bertanyakan soalan; saya tidak melepaskan kesempatan itu dengan menyoal kenapa orang Melayu gagal dalam ‘dakwah’ mereka kepada orang Cina kerana kata saya, kini ada hanya lebih kurang 60,000 Cina Muslim daripada 8 juta orang Cina di Malaysia.


Beliau membetulkan angka yang saya beri, katanya kini hanya adalah lebih kurang 40,000 Cina Muslim di kalangan 28 juta rakyat negara ini. Ya, angka ini sungguh kecil, mengapa tidak tertariknya orang Cina kepada Islam, mungkinkah orang Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti tidak langsung berdakwah kepada orang Cina? 


Dalam soalan saya kepada Firdaus, saya menekankan bahawa mengikut teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara, penduduk rantau ini diislamkan oleh pertamanya, saudagar Arab; keduanya saudagar India dan ketiganya oleh saudagar dan penjelajah Cina dengan contoh utamanya Laksamana Cheng Ho yang beberapa kali belayar melalui laut kawasan ini untuk ke Makkah bagi menunaikan haji.


Ya, dulu orang Cina terbabit mendakwah orang Melayu, maklumlah Islam dikatakan telah sampai ke negara China pada abad ke-7 sedangkan di Alam Melayu, rakyat kerajaan besarnya seperti Sriwijaya masih beragama Hindu dan Buddha. Jadi orang Melayu sebahagiannya diislamkan oleh orang Cina tetapi kenapa hari ini orang Melayu sebagai penduduk asal rantau ini tidak berjaya menarik jutaan orang Cina kepada Islam? 


Firdaus menjelaskan sesetengah watak dan sikap semula jadi orang Melayu itu seperti mudah tersenyum, peramah manakala anak-anak menunjukkan penghormatan kepada orang tua seperti mencium tangan ibu bapa, menambat hati kaum lain tetapi malangnya beliau mengakui orang Melayu tidak membuat kerja-kerja dakwah; ramai yang mengemukakan alasan seperti tidak pandai (tiada ilmu) dan tiada masa. Beliau mengingatkan adalah penting untuk setiap Muslim mencari ilmu, memahaminya, mengamal dan seterusnya menyampaikannya (berdakwah).


Benarkah hal-hal berkaitan Islam tidak sampai kepada orang Cina? Dalam dunia moden apatah lagi pada era perkembangan teknologi komunikasi ini, perkara ini dirasakan mustahil tetapi sebagai manusia, ‘personal touch’ (jalinan peribadi) adalah amat perlu kerana situasi ini boleh menyentuh kalbu bagi membuka laluan seseorang itu mendapat hidayah Illahi. 


Pada pandangan saya, ketika seorang dua pemimpin parti politik Cina hebat menyerang Islam seperti memperlekehkan hukum hudud adalah amat penting untuk orang Islam yang cintakan agamanya berperanan untuk menerangkan Islam kepada rakan-rakan Cina mereka. Merekalah diharapkan untuk melakukan ‘personal touch’ , adalah amat merugikan jika sudah bertahun-tahun kita berkawan dengan orang bukan Islam tetapi tidak pernah menerangkan hal berkaitan Islam kepada mereka.


Bolehkah kita biarkan pemimpin bukan Islam yang jahil Islam (mungkin benci Islam) berleluasa memberi gambaran mengenai apa didakwanya sebagai keburukan ajaran Islam? Sesungguhnya pemimpin seperti ini tidak layak bercakap pasal Islam tetapi mengapa kita tidak lakukan sesuatu sebelum ‘percakapan mulut busuk mereka’ masuk ke dalam minda rakan-rakan bukan Islam kita?


Adalah malang jika kita menganggap hal agama adalah soal ‘taboo’ yang tidak boleh dibicarakan sesama rakan. Menyampaikan adalah tugas kita, untuk memberi hidayah itu ‘kerja’ Allah SWT. Tetapi kalau tidak menyampaikan, kita sudah berlaku khianat; seorang sahabat pernah menceritakan betapa seorang pemuda Cina Malaysia yang ‘menemui’ Islam di Amerika ketika menuntut di sana begitu marah sekali kepada rakan Melayunya di Malaysia yang tidak pernah memberi penjelasan mengenai Islam kepadanya.


Firdaus tidak meminta kita (orang Melayu-Islam) melakukan tugas yang berat-berat dalam berdakwah; cukuplah kita bermula dengan menunjukkan akhlak dan contoh baik, mencetak dan mengedar risalah penerangan atau al-Quran terjemahan bahasa Cina dan kalau itu pun kita tidak mampu lakukan, berilah bantuan kewangan kepada pihak yang menjalankannya seperti Perkim!

No comments: