Monday, April 19, 2021

Ramadan 7, 1442: Sejarah Melayu sarat khazanah keilmuan (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23)



Penulis kerap menekankan agar generasi muda, terutama anak-anak di bangku sekolah, menguasai bahasa Inggeris. Apabila dapat menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa (bahasa Melayu dan Inggeris), tentulah 'saham' mereka tinggi. Jika dapat menguasai tiga atau lebih banyak bahasa lagi baik, tentulah peluang dan masa depan mereka terutama dalam kerjaya semakin terbuka.


Dalam kehidupan harian (biasa) pun seseorang itu akan mendapat banyak kelebihan jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Misalnya jika seseorang itu ke perpustakaan awam, mereka yang hanya dapat membaca dalam bahasa Melayu, bahan bacaan (termasuk akhbar) yang dapat baca adalah yang berbahasa Melayu saja, sedangkan yang menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dapat membaca kedua-duanya.


Biasanya akhbar berbahasa Inggeris jarang menjadi rebutan, jadi seseorang itu boleh membacanya dengan santai. Itulah contoh mudah kelebihan seseorang yang dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Tetapi perlu diingat bahawa sekalipun mampu menguasai banyak bahasa, seseorang itu sewajarlah mencintai bahasanya lebih daripada bahasa lain; kecualilah bahasa Arab kerana ia bahasa al-Quran; setiap Muslim diajar agar mencintainya sekalipun tidak faham.


Akhbar-akhbar berbahasa Inggeris di negara kita kerap menyiarkan pandangan individu dan kumpulan mengenai mengapa subjek Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa Inggeris. Antara hujah yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris adalah bahasa ulung sains dan teknologi manakala bahasa Melayu seperti diungkapkan sesetengah pemimpin 'terlalu muda' dalam bidang ini.


Betulkah sains dan teknologi 'terlalu muda' di kalangan orang Melayu? Jika dlihat daripada perspektif Barat, memanglah demikian, tetapi mengapa tidak disorot daripada kaca mata dan nilai orang Melayu sendiri. Sesuatu yang dianggap maju oleh orang Barat, tidak semestinya dianggap maju oleh orang Melayu, dan demikian juga sebaliknya. Barat kaya dengan khazanahnya, demikian juga orang Melayu kaya dengan khazanahnya, jadi mengapa terus dicop bahasa Melayu 'terlalu muda' dalam sains dan teknologi.


Pada pendapat penulis, dunia Melayu sudah terlalu lama dijajah sehingga anak bangsanya sendiri tidak tahu atau sengaja tidak mahu mengambil tahu akan kehebatan bangsa termasuk bahasanya. Mereka mencela bahasa sendiri, enggan membantu memperkayanya sebaliknya bersandar kepada pemahaman bahawa Barat adalah paksi segala-galanya termasuk sains dan teknologi.


Bayangkan ramai yang menyokong penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik, menjadikan alasan entri istilah teknologi bahasa Melayu dalam enjin pencarian internet amat berkurangan berbanding bahasa Inggeris, tanpa mereka membuat sesuatu untuk membaikinya. Memang betul mungkin nisbahnya 1: 100, tetapi apakah kita boleh berbangga dengan 'kehebatan' bahasa Inggeris, sedangkan bahasa sendiri dicampak ke tepi?


Bagi membuktikan masyarakat dan bahasa Melayu tidak kurang hebatnya dari segi kemajuan teknologi, pencarian penulis akan perkataan dalam teks Sejarah Melayu yang diusahakan oleh WG Shellabear, menunjukkan wujud sejumlah istilah berkenaan. Sejarah Melayu bukan teks mengenai teknologi, jadi apabila ia turut memuatkan entri berkaitan, bermakna orang Melayu juga hebat sebagai pencipta.


Antara perkara yang dimuatkan dalam teks Sejarah Melayu adalah 'rentaka' iaitu sejenis meriam yang dapat diputar-putar. Apakah benda ini, apakah orang Melayu sudah mengkajinya? Kemudian disebabkan oleh kehebatan orang Melayu dalam ilmu layar (laut), dinyatakan banyak jenis kapal seperti lanca, kerakah, ghalis, ghali, fusta, baluk dan sebagainya. Apakah 'benda-benda' ini boleh dicari dalam enjin pencarian internet sehingga orang Melayu sendiri sanggup memperleceh bahasanya?


Kemudian ada istilah peralatan penting dalam ilmu pelayaran, peperangan dan kehidupan seperti batu tolak (teluk) bara, ali-ali, rangan, sikin, tirkash dan sebagainya. Adakah orang yang kerap mengkritik kekurangan bahasa Melayu tahu akan makna perkataan-perkataan ini? Jika tidak tahu, janganlah bercakap sombong, silalah rujuk Sejarah Melayu dan kitab-kitab lama lain.


Dalam bab politik, termasuk krisis Perlembagaan yang hebat diperkatakan, apakah orang Melayu yang beriya-iya bercakap macam bertih goreng itu sudah merujuk kepada kitab lama termasuk Sejarah Melayu?


Sejarah Melayu memuatkan kisah permulaan akan keturunan kebanyakan Raja-Raja Melayu yang ada hari ini. Dalam 'Alkisah Cetera Yang Kedua' Sejarah Melayu, ada dimuatkan 'perjanjian antara rakyat dan raja' yang antara lain mencatatkan:


"Maka sembah Demang Lebar Daun (kepada Sang Sapurba). "Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak."


Maka titah Sang Sapurba, "Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu, Tuanku?"


Maka titah Sang Sapurba, "Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah."


Maka titah Sang Sapurba. "Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu." Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.


Jikalau ada seorang raja memberi memberi aib seorang hamba Melayu, maka alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya."

No comments: