Thursday, April 29, 2021

Ramadan 17, 1442: 'Awek perasan cantik' di lebuh raya... (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan 

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 


MALAYSIA dan Maghribi adalah antara negara paling tinggi kadar kemalangan jalan raya manakala yang terendah adalah Norway dan Malta. 


Di Malaysia, pihak berkuasa dikatakan sudah buntu menangani masalah ini kerana pada setiap kali operasi keselamatan jalan raya pada musim perayaan, jumlah kemalangan dan kematian terus meningkat. 


Pelbagai faktor dikaitkan dengan peningkatan kemalangan jalan raya; pada tulisan kali ini saya mengajak pembaca yang pihak berkuasa berfikir di luar kotak; memuhasabah akan kebarakahan dan keselamatan serta jaminan Allah ketika berada di jalan raya terutama lebuh raya. 


Dahulu, sebagai pengguna lebuh raya yang hampir saban hari menaiki bas ekspres (tidak memandu sendiri), saya berpeluang memandang bebas panorama keindahan alam termasuklah iklan-iklan gergasi (billboard) di sepanjang lebuh raya. 


Daripada banyak-banyak iklan barangan dan perkhidmatan dipaparkan di 'billboard' berkenaan, sebahagiannya mempamerkan gambar-gambar gergasi wanita yang ada daripadanya dalam aksi tidak senonoh, misalnya ada iklan seorang wanita muda lagi cantik sedang memeluk sebatang kayu bulat yang besar. 


Ada pula wanita yang sedang melompat, bajunya terangkat sehingga menampakkan pusatnya, ada gambar wanita sedang sedap tidur di atas tilam katilnya dan paling dahsyat (pada pendapat saya), gambar wanita berpakaian seksi yang memfokuskan tepian bahagian sensitif tubuh (juga sentitif pada pandangan mata lelaki) seperti ketiaknya. Iklan ini bukan satu tetapi saya sedari ada beberapa buah sepanjang lebih 100 kilometer perjalanan saya itu. 


Terpandang iklan-iklan ini, saya 'tertunduk malu' (terutama ketika berpuasa), terasa sebal di muka; inikah gambaran luaran (yang dapat dilihat secara fizikal termasuk oleh pelancong asing) sebuah negara Islam yang sering diuar-uarkan itu? 


Saya pernah berjumpa seorang pelancong dari Afrika Selatan yang berkata dia datang ke Malaysia semata-mata untuk menyaksikan dan mengalami sendiri 'kesyahduan' Islam di sini; jadi apa katanya jika terpandang iklan gergasi wanita menunjukkan ketiak? 


Berdasarkan pengalaman saya, iklan-iklan provokatif seperti ini tidak saya temui ketika berada di lebuh raya negara maju seperti Britain; mungkin mereka sedar kehadiran 'awek-awek yang menunjukkan ketiak' ini adalah bahaya kepada keselamatan pengguna lebuh raya. 


Pihak berkuasa manakah yang bertanggungjawab ke atas iklan-iklan gergasi ini? Sebagai pengguna lebuh raya yang terpaksa 'mengorek' wang bagi membayar tol (dalam dalam kes bas ekspres, membayar tambang), saya berpendapat saya berhak untuk menyatakan bantahan terhadap pengeksploitasi tubuh wanita di tepi lebuh raya ini. 


Saya tidak rela mata saya dibiarkan untuk menatap ketiak wanita ketika saya menggunakan lebuh raya. 


Saya bayar tol untuk mendapatkan perkhidmatan lebuh raya yang bagus dan bukan untuk melihat ketiak atau pusat wanita! 


Mungkinkah kemalangan terus meningkat kerana cara hidup jahiliah kita yang mengundang kemarahan Allah SWT? Mana adalah barakahnya kehidupan dan jaminan keselamatan jika ketiak dan pusat wanita sudah dipamerkan di sepanjang lebuh raya!


No comments: