DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan,
2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu/
3. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1,000 bulan.
4, Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya yang mengatur segala urusan.
5. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (Al-Qadar, Kemuliaan, Surat ke-97)
Bersyukur ke hadrat Yang Maha Kuasa kerana masih diberi-Nya kesempatan pada bulan Ramadan penuh barakah ini untuk terus berbakti kepada-Nya termasuklah menitipkan sedikit sebanyak teguran dan nasihat.
Ya nasihat itu bukan untuk pembaca saja malah untuk kami sendiri yang sebagai manusia tentunya banyak kesalahan dan dosa. Hanya kepada-Nya kita memohon keampunan dan diterima ibadat kita yang tersangat sedikit itu, insya-Allah.
Dalam menjalani ibadah Ramadan ini, kita perhatikan masih ramai anak-anak gadis (wanita) kita sekalipun mengenakan tudung tetapi mendedahkan sebahagian aurat mereka seperti leher, lengan dan kaki.Sebahagian lagi suka mengenakan pakaian ketat termasuklah jeans sendat yang dipadankan dengan baju-T singkat.
Tentunya mereka tidak mematuhi kehendak Islam sepenuhnya dalam bab menutup aurat sekalipun bertudung kerana Allah SWT melalui Surah Al-Azhab ayat 59 yang bermaksud: “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: ‘Hendaklah mereka menghulurkan tudung ke seluruh tubuh mereka, supaya mereka lebih mudah dikenali orang, kerana itu mereka tidak diganggu…’”
Muslimat diminta menutup aurat sepenuhnya tetapi sesetengah orang bijak pandai hari ini termasuk aktivis wanita menempelaknya dengan mendakwa perempuan yang berpakaian sedemikian juga tidak terlepas daripada tindakan jahat lelaki dan buktinya sejumlah wanita berjilbab juga dirogol. Jadi soal pakaian bukan penyebab jenayah seksual, dakwa mereka.
Di sini kita ingin tegaskan cara berpakaian dan penampilan wanita merangsang seksual lelaki. Ini adalah lumrah, bohonglah namanya jika lelaki normal tidak teransang dengan pembawaan seseorang wanita. Namun penampilan seksi seorang wanita tidak mudah mengundang dia dirogol kerana dia berada di khalayak ramai. Seorang perogol akan hanya bertindak jika terbuka kesempatan bagi mereka; penjahat ini tidak peduli sama ada mangsanya berpakaian seksi atau bertudung litup; yang penting mereka fikir mereka dalam keadaan selamat ketika melakukannya. Itulah sebabnya, perogol bertindak apabila bakal mangsa bersendirian termasuklah dalam bas, di lorong gelap dan di rumah sendiri.
Selain perogol, pencuri juga akan memikirkan diri mereka selamat sebelum melakukan kejahatannya. Tidak ada pencuri yang mencuri di khalayak ramai. Tetapi jika dia sudah hampir tertangkap dan dikejar orang, pencuri juga akan mencari helah dengan menjerit “pencuri…pencuri” dengan harapan orang lain pula akan dikejar.
Hampir semua kejahatan dilakukan seseorang atau sesuatu pihak itu ketika orang lain tidak sedar kerana penjahat pun tahu memikirkan keselamatan diri. Hanya sedikit orang berani melakukan kejahatan di depan orang ramai seperti merompak dan mengamuk.
Perogol tidak merogol sekalipun di depannya ada gadis seksi paling cun, dia tetap ‘bersabar’ menunggu peluang. Kalau tidak ada peluang, bakal mangsa dibiarkan pergi sekalipun dia begitu ‘bergetah’ (ganjaran lumayan jika kejahatan berhasil) dengan air liur perogol sudah melelehi di pipi, mangsa lain akan didapati; tunggulah bila mereka lalai nanti.
Kata pepatah Melayu, orang yang sudah berak di tepi jalan, mana mahu mengaku; malah pencuri yang sedang dikejar orang pun pandai melolong, “pencuri…pencuri!” Bahkan kini semakin ramai manusia alim-alim kucing; depan orang bukan main baik, manja dan sopan lagi kucing kepala hitam; tetapi belakang orang, lauk dalam tudung saji 'ditarbusnya'!
No comments:
Post a Comment