DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
RAMADAN Kareem. Alhamdulillah kita kembali semula ke bulan paling mulia, Ramadan. Semoga Ramadan kali ini adalah yang terbaik bagi pembaca dan hamba yang daif ini.
Kali ini izinkan hamba berceloteh mengenai perkara yang mungkin kurang sedap didengar sebahagian kita iaitu berkaitan anjing dan syaitan yang ada hadis menyatakan makhluk ini dirantai pada bulan Ramadan.
Sebuah hadis sahih diriwayatkan oleh Yahya menerusi Abu Suhayl ibn Malik yang bermaksud: "Jika masuknya bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.” - Hadis Riwayat Al-Bukhari
Berkenaan anjing pula, dikatakan syaitan suka berupa anjing hitam. Diriwayatkan daripada Ibni Abas r.a.: “Seorang perempuan membawa anaknya kepada Nabi s.a.w., dia berkata ya Rasulullah sesungguhnya anak saya ini dihinggapi penyakit gila dan tidak sedar diri. Penyakit itu datang waktu makan tengah hari dan pada waktu makan malam.
Lalu Rasulullah s.a.w. menyapu dadanya dan berdoa. Tiba-tiba budak itu muntah dan keluar daripadanya seperti anak anjing hitam yang baharu lahir terus melarikan diri.”
Ada satu ungkapan mahsyur dalam dunia kewartawanan yang kerap dijadikan panduan dalam penulisan terutamanya di kalangan wartawan baharu - kalau anjing gigit posmen itu bukan berita; yang beritanya adalah posmen gigit anjing!
Perkara 'berkaitan anjing ini' saya pelajari puluhan tahun lalu dalam kelas kewartawanan asas, tetapi kini ketika 'cuba-cuba belajar mengkoreksi diri' melalui kelas pengajian di masjid dan surau; sungguh terkesan di hati saya apabila pada suatu malam seorang tok guru mengingatkan jemaah dengan berkata: "Kalau anjing gigit kita...kita gigit anjing balik. Macam posmen gigit anjing. Ini kerja bodoh. Sebaliknya berilah anjing makan tulang, lekalah dia, maka selamatlah kita!"
Teringat pula saya satu lagi panduan ulama: "Kalau anjing mengancam kita, salah satu jalan penyelesaian ialah panggillah tuan anjing itu, tahulah dia untuk 'mententeramkan' anjingnya.
Ulama mengaitkan perumpamaan ini tentang bagaimana kita mahu menyelamatkan diri daripada godaan dan gangguan iblis serta syaitan. Makhluk ini adalah hamba Allah SWT jua, maka kita memohonlah kepada Allah SWT untuk menyelamatkan diri kita daripada gangguan hamba-Nya yang jahat itu.
Berdoalah kita kepada Allah SWT seperti membaca tauz (A'uzubillah). Kita pun memohon pada Allah agar melindungi kita daripada segala gangguan syaitan ketika menghadapi maut. "Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan nafsuku dan daripada kejahatan sekalian makhluk yang melata di atas muka bumi yang hanya Engkau berkuasa ke atasnya."
Apa dimaksudkan tok guru dengan 'kebodohan menggigit anjing yang menggigit kita'? Anjing diibaratkan orang berperangai jahat seperti gemar membuat fitnah dan mengumpat. Kalau orang membuat fitnah ke atas diri kita, apa yang patut kita buat? Apakah dengan memfitnahnya balik? Kalau begitu, kita pun 'sekelas' pembuat fitnah tadi, kita pun macam anjing jua...
Tok guru berkata, ulama besar jika tahu ada orang memfitnah atau mengumpatnya akan mengucapkan terima kasih kepada sang pemfitnah malah memberinya hadiah. Ini kerana tukang fitnah telah memberinya 'pahala percuma' di akhirat nanti. Malah jika pahalanya sudah habis, dosa si kena fitnah akan dipikulkan ke pundaknya.
Senang cerita, jika anjing mahu gigit kita, lemparkan saja tulang, anjing itu akan meninggalkan kita sebaliknya mengejar tulang tadi. Masalahnya, kata tok guru, sebahagian besar daripada kita bukan melempar tulang tadi sebaliknya menyimpan tulang itu pada tubuh kita.
Yalah, kita menyimpan tulang tadi - antara lain sifat jahat seperti riyak, takabur, bakhil, kedekut, dan syok sendiri kononnya diri baik. Apabila tulang sudah 'melekat' pada diri kita, maka 'anjing' (syaitan) akan sentiasa mengejar kita. Malah kita menjadi tumpuan syaitan dan segala bentuk kejahatan.
Sebenarnya, tok guru mensyarakahkan ilmunya berdasarkan pandangan Imam Al-Ghazali. Ketika mendengar kuliahnya saya tak perasan tetapi lama kemudian melalui pembacaan baharulah saya tahu kisah sebenarnya,
Seorang murid bertanya kepada gurunya (Imam Al-Ghazali) “Syeikh, bukankah zikir membuat seseorang beriman lebih dekat kepada Allah Ta’ala dan syaitan akan berlari menjauh darinya?”
“Benar,” jawab Imam Al-Ghazali.
“Namun kenapa ada orang yang semakin rajin berzikir semakin dekat dengan syaitan atau kesyaitanan?”
Gurunya yang diberi gelaran Hujjatul Islam inipun menjawab:. “Bagaimana pendapatmu, jika ada orang yang mengusir anjing namun dia masih menyimpan tulang dan berbagai-bagai makanan kesukaan anjing disekitarnya?”
“Tentu, anjing itu akan kembali datang setelah diusir," jawab si murid.
Imam al-Ghazali menjelaskan, “Demikian juga dengan orang-orang yang rajin berzikir tapi masih menyimpan pelbagai penyakit hati dalam dirinya. Syaitan akan terus datang dan mendekati bahkan bersahabat dengannya.
"Penyakit-penyakit hati itu adalah kesombongan, iri hati, dengki, syirik, bersikap/berkata kasar, riyak, merasa soleh, merasa suci, ghibah, marah dan berbagai-bagai penyakit hati lainnya.
Ketika penyakit-penyakit itu menghinggapi diri seorang hamba, maka syaitan terlaknat akan senantiasa datang, mengakrabkan diri. Kemudian menjadi sahabat karibnya.
Sudah tentu kita tak mahu syaitan menjadi sahabat karib kita pada Ramadan ini, malah buat selama-lamanya. Sehubungan itu, lemparkan segera segala tulang dan makanan kesukaan anjing (syaitan) daripada tubuh kita!
No comments:
Post a Comment