Sunday, April 4, 2021

Syaaban 21, 1442: Refleksi 14: Menjelang Ramadan, nyahkan 'Firaun, Abu Jahal' daripada diri...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w


Renungan


"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


TUGAS wartawan seumpama posmen, demikian saya dan rakan-rakan selalu diingatkan seorang pensyarah kewartawanan puluhan tahun lalu. Hantar saja surat (laporan) kepada penerima (pembaca), jangan sesekali 'memasukkan fikiran atau pendapat' sendiri dalam sesuatu laporan itu.


Lapor seperti apa yang kamu nampak, katanya, jangan pandai-pandai membuat tambahan. Namun hal ini menjadi amalan dalam penulisan berita, tidak dalam penulisan bentuk lain seperti komentar, ulasan dan ruangan pojok.


Apabila semakin matang dalam dunia penulisan, sebahagian wartawan kanan sudah ada kolum masing-masing. Mereka berkomentar dalam ruangan pojok dan dalam banyak kesempatan, selalunya mereka menyuarakan pendapat sendiri terhadap isu semasa tertentu termasuklah keadaan sosial masyarakat. 


Ada yang menyentuh jati diri generasi baru yang semakin terhakis sifat mulia seperti terlalu mementingkan diri sendiri, tidak sabar, tamak haloba dan sebagainya. 


Benar, tugas penulis adalah 'menyuluh' hal ehwal masyarakat, kemudian membentangkannya untuk tatapan dan renungan kumpulan sasaran (seperti pembaca). Namun teramat jarang, penulis 'membedah siasat' dirinya sendiri; sebagai contoh apabila dia menulis menyatakan sifat sabar semakin terhakis di kalangan orang awam, sebenarnya diri kita sendirilah yang tak sabar. Jika kita menuding jari menyatakan seseorang itu salah, tiga jari kita akan menuding ke arah kita, menunjukkan kitalah yang bersalah.


Ibrahim Adham, seorang tokoh sufi termasyhur dalam menyatakan 10 sebab mengapa doa kita ditolak, antara lain berkata: "Kamu sibuk menceritakan/melihat akan keburukan orang, tetapi kamu tidak melihat pun keburukan diri kamu." 


Jadi, apabila kita katakan orang tidak sabar, hakikatnya kitalah yang tidak sabar. Memang betul, apabila seseorang rakan kita ditimpa sesuatu musibah, kita ucapkan kepadanya, "bersabarlah." Namun, apabila berada di kedudukan kawan kita itu, adakah kita 'dapat bersabar' seperti yang kita pinta rakan kita lakukan? 


Seorang cendekiawan berkata setiap orang dibekalkan nafsu. Nafsu diibaratkannya bagai kuda liar. 'Kuda liar' ini ada dalam diri kita. 'Kuda liar' ini mendesak diri kita mencontohi tokoh pengikut hawa nafsu seperti Firaun, Hamman, Qarun dan Abu Jahal. Semua tokoh ini pakar dalam bidang masing-masing, misalnya Firaun dari segi kekuasaan manakala Qarun dari segi kekayaan. 


Semua orang mahu berkuasa dan kaya, ternama, disanjung dan sebagainya. Jadi sifat Firaun, Hamman, Qarun dan Abu Jahal ada dalam semua orang. Semua orang berpotensi jadi Firaun dan 'teman-teman seangkatannya'. Nafsu mendorong ke arah itu. Itulah sebabnya kita sebagai orang berakal dan beramal (beragama) diperlukan untuk menundukkan (menjinakkan) 'kuda liar' bernama nafsu itu. 


Apabila kuda liar dapat dijinakkan, maka dapatlah kita menunggangnya. Menggunakannya ke arah kebaikan. Namun tidak mudah kita menjinakkan nafsu sebab wujud makhluk lain sebagai penghasut; itulah iblis dan syaitan daripada kalangan jin dan manusia. Malah, walaupun nafsu sudah dapat dijinakkan, tak mustahil seseorang itu tewas di tangan iblis dan syaitan pula yang tersangat ingin melihat kita berakhir di neraka Allah SWT.


Sekalipun 'Firaun, Hamman, Qarun dan Abu Jahal' ada dalam diri kita, tidak ramai orang menyedarinya. Malah mungkin ramai yang tak tahu pun. Seorang ulama berkata, kita jangan perasaan kita baik dan orang lain tak baik, hakikatnya jika kita berbuat baik itu pun atas pertolongan Allah SWT.


Sebenarnya, hati dan diri kita pun kita tak terkawal. Itulah sebabnya antara lain orang beriman selalu berdoa, yang antara lain bermaksud: "Ya, Tuhanku, tolong jangan lepaskan diriku pada diriku sendiri...Ya Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku..." 


Berbalik kepada 'kisah Firaun, Hamman, Qarun dan Abu Jahal'; kita janganlah lihat orang itu dan ini sebagai Firaun dan 'teman-temannya'. Renungi-renungilah sedalam-dalamnya dan apabila hidayah mula masuk ke dalam diri, kita akan menginsafi diri penuh ketakutan bahawa sebenarnya 'akulah Firaun penindas pekerja di pejabat'; 'akulah Abu Jahal yang bikin onar dalam rumah tanggaku'; 'akulah Qarun yang gila mengumpul harta sehingga tak mengerti apa itu siang dan malam' dan 'akulah Hamman yang kuat membodek asalkan kedudukan tetap terjamin'. 


Jadi tak payahlah kita cakap atau tulis orang itu Firaun, Hamman, Abu Jahal dan Qarun; tetapi mengakulah akulah Firaun, akulah Abu Jahal, akulah Hamman dan akulah Qarun dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk menyingkirkan 'mereka' daripada diri ini sebelum terlambat apabila diri ini dijemput Ilahi!

No comments: